Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Ryan Waller : Mangsa Tembakan yang Dianggap Suspek

     Pada 25 Disember 2006 bertempat di kota Phoenix, Arizona, Amerika Syarikat, berlaku satu kejadian jenayah pembunuhan kejam. Malam yang sepatutnya menjadi sambutan Krismas bertukar menjadi tragedi apabila pasangan muda iaitu Ryan Waller dan teman wanitanya Heather Quan, diserang di rumah mereka. Ryana yang ketika itu berusia 18 tahun merupakan seorang remaja biasa yang menjalani kehidupan sederhana manakala Heather baru berusia 21 tahun. 

     Kejadian bermula apabila Richmond Richie Carver, seorang bekas rakan serumah Ryan bersama bapanya yang dikenali sebagai Larry Carver bertindak menyerbu masuk ke rumah tersebut. Dilaporkan terdapat pertelingkahan lama antara Ryan dan Richie yang menimbulkan rasa dendam. Richie melepaskan tembakan ke arah Ryan melalui pintu rumah sekali gus menyebabkan peluru menembusi kepala mangsa. Walaupun ditembak, Ryan tidak mati serta-merta. Dia sebaliknya mengalami kecederaan parah yang mengakibatkan kerosakan serius pada otak. Selepas itu, Richie dan bapanya masuk ke dalam rumah lalu menembak Heather Quan yang sedang duduk di atas sofa. Heather maut di tempat kejadian manakala Ryan dibiarkan dengan kecederaan kritikal.

     Apabila polis tiba di lokasi, mereka mendapati Heather sudah tidak bernyawa sementara Ryan dalam keadaan keliru dan cedera parah. Namun kekeliruan berlaku apabila pihak polis menyangka Ryan mungkin pembunuh sebenar. Kecurigaan i ni timbul kerana Ryan masih hidup di sisi mayat Heather dan menjawab soalan secara tidak konsisten akibat kesan kecederaan otak. Dalam keadaan yang mengejutkan, Ryan tidak dibawa segera ke hospital. Dia ditahan di dalam kereta polis selama beberapa jam sebelum dibawa ke balai untuk disoal siasat.

     Di balai polis, Ryan disoal siasat hampir dua jam walaupun peluru masih bersarang di otaknya. Rakaman soal siasat menunjukkan dia kelihatan bingung, tidak dapat menjawab soalan dengan tepat malah ada kalanya jawapannya tidak masuk akal. Polis terus menekan dengan soalan seolah-olah dia suspek utama. Hakikat bahawa Ryan adalah mangsa sebenar hanya disedari setelah keadaan fizikalnya semakin teruk dan paramedik akhirnya dipanggil. Penangguhan rawatan kecemasan itu kemudian menimbulkan kritikan hebat terhadap pihak berkuasa kerana dianggap sebagai kecuaian serius yang mungkin memburukkan keadaan Ryan.

     Ryan menjalani pembedahan besar bagi membuang serpihan peluru di kepalanya. Walaupun terselamat, kecederaan itu meninggalkan kesan seumur hidup. Dia kehilangan mata kiri, mengalami kerosakan otak kekal, dan fungsi neurologi tertentu tidak lagi normal. Ryan berdepan masalah kawalan emosi, disfungsi kognitif serta kerap mengalami sawan. Keluarganya menyifatkan Ryan sebagai seorang yang berubah sepenuhnya selepas kejadian itu. Dari seorang remaja yang ceria, dia menjadi mangsa penderitaan fizikal dan mental akibat kecuaian pihak lain.

     Siasatan lanjut membuktikan bahawa Ryan bukan pembunuh tetapi sebaliknya mangsa utama. Pada tahun 2008, Richie Carver disabitkan bersalah atas tuduhan pembunuhan Heather Quan, cubaan membunuh Ryan serta pelbagai pertuduhan lain seperti pencerobohan bersenjata. Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa peluang parol. Bapanya, Larry Carver turut didakwa kemudian. Namun perbicaraan menghadapi halangan kerana undang-undang ketika itu melindungi pasangan suami isteri daripada dipaksa memberi keterangan antara satu sama lain. Kes ini mencetuskan pindaan undang-undang dikenali sebagai Heather’s Law yang membenarkan isteri terdakwa dipanggil menjadi saksi dalam kes jenayah berat. Selepas undang-undang ini dilaksanakan, Larry Carver akhirnya disabitkan kesalahan pada 2012 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

     Keluarga Ryan kemudian memfailkan saman terhadap Jabatan Polis Phoenix serta pihak berkuasa bandar atas dakwaan kecuaian dan salah laku dalam cara mereka menangani kes. Mereka berpendapat kelewatan memberi rawatan segera menyebabkan kecederaan Ryan menjadi lebih parah. Walau bagaimanapun, saman tersebut dilaporkan tidak berjaya dan akhirnya digugurkan sebelum melalui proses perbicaraan penuh. 

     Selepas bertahun-tahun menanggung kesakitan, Ryan terus berjuang dengan kesan kecederaan otaknya. Dia mengalami serangan sawan berulang kali yang berpunca daripada trauma lama. Pada 20 Januari 2016, Ryan meninggal dunia akibat komplikasi sawan yakni hampir 10 tahun selepas malam berdarah yang mengubah hidupnya. 

Catat Ulasan for "Kisah Ryan Waller : Mangsa Tembakan yang Dianggap Suspek"