Mahkamah China Jatuhkan Hukuman Mati ke atas 11 Ahli Keluarga Ming dalam Kes Sindiket Scam Rentas Sempadan

CHINA — Sebuah mahkamah di bandar Wenzhou, wilayah Zhejiang menjatuhkan hukuman mati terhadap 11 individu yang merupakan anggota kanan kumpulan jenayah dikenali sebagai Keluarga Ming. Kes ini melibatkan sindiket penipuan dalam talian dan jenayah rentas sempadan yang berpangkalan di Kokang, utara Myanmar.
Menurut keterangan mahkamah, kumpulan yang diketuai oleh ahli keluarga Ming telah menjalankan operasi penipuan sejak tahun 2015 dan berjaya meraih keuntungan dianggarkan melebihi 10 bilion yuan (sekitar AS$1.4 bilion). Antara kegiatan yang terbongkar termasuk penipuan telekomunikasi, operasi kasino haram, perjudian atas talian, penyeludupan dadah serta aktiviti pelacuran terancang.
Selain penipuan kewangan, sindiket ini turut terpalit dengan tuduhan lebih berat termasuk pemerdagangan manusia, penyalahgunaan pekerja secara paksa kecederaan sengaja dan pembunuhan. Mahkamah dimaklumkan bahawa sindiket tersebut menggunakan pusat operasi tertutup atau pusat penipuan di Myanmar bagi menahan pekerja yang dipancing dengan tawaran kerja palsu. Mereka dikawal ketat, dihalang untuk melarikan diri dan bahkan ada yang ditembak ketika cuba kembali ke China.
Daripada keseluruhan tertuduh, 11 orang dijatuhi hukuman mati tanpa penangguhan termasuk nama-nama besar seperti Ming Guoping, Ming Zhenzhen dan Zhou Weichang. Lima lagi tertuduh turut menerima hukuman mati tetapi dengan penangguhan selama dua tahun manakala 12 orang lain dijatuhi hukuman penjara antara lima hingga 24 tahun. Beberapa individu turut dikenakan hukuman penjara seumur hidup.
Kes ini dianggap sebagai salah satu tindakan undang-undang paling tegas oleh China terhadap sindiket jenayah rentas sempadan. Pihak berkuasa menyatakan bahawa hukuman berat ini bertujuan memberi amaran jelas kepada sindiket lain yang masih beroperasi di kawasan perbatasan khususnya di wilayah yang longgar kawalan pemerintah seperti Kokang.
Pemerhati antarabangsa menilai kes ini sebagai bukti betapa seriusnya masalah penipuan yang semakin meluas di Asia Tenggara. Ribuan rakyat dari pelbagai negara termasuk China dilaporkan terperangkap dalam jerat tawaran kerja palsu sebelum dipaksa melakukan penipuan atas talian. Hukuman ke atas Keluarga Ming diyakini akan memberi kesan besar terhadap usaha rantau ini membanteras jenayah rentas sempadan.
Catat Ulasan for "Mahkamah China Jatuhkan Hukuman Mati ke atas 11 Ahli Keluarga Ming dalam Kes Sindiket Scam Rentas Sempadan"