Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Valdir Segato: Hulk Brazil yang Dihantui Obsesi Membesarkan Otot


     Valdir Segato dilahirkan pada tahun 1967 di Ribeirao Preto, Sao Paulo, Brazil. Tidak banyak yang diketahui tentang zaman kecilnya. Namun menurut beberapa sumber, dia melalui zaman remaja yang sukar. Pada usia muda, Valdir dilaporkan pernah terjerumus dalam masalah penyalahgunaan dadah yang menyebabkan tubuhnya menjadi kurus dan kesihatannya terjejas. Pengalaman itu meninggalkan kesan mendalam dalam hidupnya kerana selepas keluar daripada kancah tersebut, dia mula mencari cara untuk mengubah imej diri.

     Pada sekitar awal tahun 1990-an, Valdir mula melibatkan diri dengan aktiviti kecergasan dan bina badan. Walaupun pada mulanya Valdir melakukan latihan konvensional di gimnasium, dia kemudian terdedah kepada bahan kimia yang dikenali sebagai synthol iaitu sejenis minyak yang memberi kesan pembesaran otot secara cepat tanpa perlu melalui proses senaman berat. Pada peringkat awal, suntikan tersebut membuatkan tubuhnya tampak lebih berisi dan Valdir berasa lebih yakin dengan penampilan barunya. Rasa puas itu bagaimanapun bertukar menjadi obsesi.


     Menjelang tahun 2000-an, penggunaan synthol dalam kalangan penggemar bina badan mula menjadi isu kontroversi di Brazil. Valdir pula terus menambah dos suntikan dari semasa ke semasa hingga saiz otot lengannya dilaporkan mencecah lebih 60 sentimeter lilitan. Meskipun beberapa doktor pernah memberi amaran bahawa tindakannya boleh membawa maut, dia tetap mengabaikan nasihat tersebut. Baginya, penampilan sebagai lelaki berotot besar itu sudah menjadi identiti yang membolehkan dia dikenali orang ramai.

     Populariti Valdir meningkat secara mendadak selepas tahun 2016, apabila beberapa portal berita antarabangsa mula melaporkan kisahnya dengan gelaran Hulk Brazil. Laporan tersebut memaparkan perbezaan ketara tubuhnya berbanding ahli bina badan biasa serta menimbulkan isu mengenai bahaya suntikan minyak otot. Bermula daripada situ, Valdir mula menerima perhatian media sosial. Dia membuka akaun TikTok dan berjaya mengumpulkan lebih 1.6 juta pengikut. Di platform tersebut, Valdir sering mempamerkan otot-ototnya dalam pelbagai aksi sekali gus mengekalkan gelaran Hulk Brazil dalam kalangan peminat.


     Cuma sepanjang tempoh itu kesihatan Valdir semakin merosot. Jirannya pernah menyatakan bahawa dia sering mengadu sakit dan mengalami kesukaran bergerak dengan normal kerana beban otot yang tidak seimbang dengan tubuhnya. Walau bagaimanapun, Valdir tetap enggan menghentikan penggunaan synthol kerana bimbang akan kehilangan imej yang telah dibina bertahun-tahun.

     Akhirnya pada 26 Julai 2022 iaitu tarikh ulang tahunnya yang ke-55, tragedi menimpa. Pada pagi hari tersebut, Valdir dilaporkan meminta pertolongan jiran kerana berasa sesak nafas. Dia kemudian dikejarkan ke hospital, namun tidak dapat diselamatkan. Doktor mengesahkan kematiannya berpunca daripada serangan jantung sesuatu yang dipercayai berkait dengan penggunaan synthol jangka panjang. Kematian pada hari lahirnya itu menambahkan lagi sisi tragis dalam kisah hidupnya.

Catat Ulasan for " Kisah Valdir Segato: Hulk Brazil yang Dihantui Obsesi Membesarkan Otot"