Bekas Guru Ganti Dijel 10 Tahun Atas Kesalahan Seksual Murid

AMERIKA SYARIKAT – Seorang bekas guru ganti di Hope Academy, Decatur, Illinois dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun selepas mengaku bersalah melakukan serangan seksual terhadap seorang murid berusia 11 tahun. Tertuduh iaitu Alley Bardfield yang berusia 34 tahun didapati bersalah atas pertuduhan serangan seksual terhadap kanak-kanak selepas siasatan mendapati dia menjalin hubungan terlarang dengan murid berkenaan.
Kes ini bermula apabila mangsa kerap dibawa ke rumah Bardfield atas alasan sesi bermain. Di situlah perbuatan jenayah berlaku. Siasatan pihak berkuasa turut mendedahkan bahawa Bardfield menghantar gambar lucah kepada mangsa melalui aplikasi Snapchat dan memindahkan sejumlah wang kira-kira USD700 (sekitar RM3300) melalui aplikasi CashApp.
Semasa prosiding, Bardfield cuba menuding kesalahan kepada mangsa dengan mendakwa kanak-kanak itu yang memulakan langkah seksual. Namun hujah tersebut ditolak oleh pihak pendakwa yang menegaskan bahawa tanggungjawab sepenuhnya terletak pada seorang dewasa, apatah lagi seorang guru.
Pada 7 Ogos lalu, Bardfield akhirnya mengaku bersalah. Mahkamah pada 25 September kemudian menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara selain mewajibkannya didaftar sebagai penjenayah seksual seumur hidup. Bardfield juga akan menjalani pengawasan wajib selepas dibebaskan dari penjara dengan tempoh minimum tiga tahun yang boleh dilanjutkan sehingga seumur hidup.
Hakim turut menolak sebarang cadangan hukuman ringan seperti percubaan kerana menganggap kesalahan itu amat serius. Bardfield bagaimanapun diberikan kredit terhadap tempoh tahanan sementara yang telah dijalani sebelum perbicaraan.
Pihak Hope Academy dalam kenyataan rasmi menyatakan rasa kecewa dengan insiden itu dan mengesahkan Bardfield tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan sekolah berkenaan. Pihak berkuasa Illinois menegaskan bahawa hukuman ini menjadi mesej jelas bahawa jenayah terhadap kanak-kanak tidak akan dikompromi dan akan dihukum setimpal dengan kesalahan.
Catat Ulasan for "Bekas Guru Ganti Dijel 10 Tahun Atas Kesalahan Seksual Murid"