Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Cinta 77 Tahun Berakhir : Kisah Penceraian Pasangan Tertua di Dunia

     Pada tahun 2011, satu kisah mengejutkan berlaku di Itali apabila seorang lelaki berusia hampir seabad mengambil keputusan untuk menamatkan ikatan rumah tangga yang telah terbina selama lebih tujuh dekad. Lelaki itu ialah Antonio C., berusia 99 tahun manakala isterinya pula bernama Rosa C. yang berusia sekitar 96 tahun. Mereka ketika itu telah berkahwin selama 77 tahun, suatu tempoh yang sangat panjang dan jarang berlaku sekali gus menjadikan mereka antara pasangan tertua yang pernah bercerai dalam rekod moden.

     Kisah mereka bermula pada tahun 1930-an. Antonio ketika itu seorang anggota Carabinieri, pasukan polis tentera Itali. Dia ditempatkan di Naples di mana dia bertemu dengan Rosa, seorang gadis tempatan. Perkenalan itu membawa kepada ikatan perkahwinan yang dilangsungkan tidak lama kemudian. Pasangan ini menjalani kehidupan berkeluarga seperti kebanyakan pasangan lain. Sepanjang usia perkahwinan mereka, mereka dikurniakan ramai anak, cucu dan cicit. Kehidupan mereka penuh dengan kisah suka duka termasuk menghadapi Perang Dunia Kedua dan pelbagai cabaran hidup di Itali pada abad ke-20.

     Namun pada usia yang sangat lanjut, hubungan mereka diuji dengan satu penemuan yang mengejutkan. Antonio menemui beberapa helai surat cinta lama yang tersimpan dalam sebuah laci di rumah mereka. Surat itu yang bertarikh sekitar tahun 1940-an mengandungi pengakuan hubungan sulit yang pernah berlaku antara Rosa dengan seorang lelaki lain. Setelah ditanya, Rosa akhirnya mengakui bahawa hubungan itu memang pernah berlaku lebih enam dekad dahulu.

     Bagi Antonio, meskipun perkara itu sudah lama berlalu, pengakuan tersebut sukar diterima. Bayangan pengkhianatan itu membekas dalam hatinya walaupun mereka telah hidup bersama hampir sepanjang hayat. Antonio dikatakan sangat marah dan berasa dikhianati sehinggakan dia membuat keputusan untuk menuntut perceraian. Keputusan ini mengejutkan ahli keluarga termasuk anak-anak dan cucu mereka kerana pasangan itu sudah terlalu lama hidup bersama dan ramai menyangka mereka akan terus bersama sehingga ke akhir hayat.

     Menurut laporan media Itali, ini bukan kali pertama rumah tangga mereka diuji. Sebelum ini, Antonio pernah meninggalkan rumah akibat perselisihan dengan Rosa dan tinggal bersama salah seorang anak mereka untuk sementara waktu. Namun pertelingkahan tersebut berjaya didamaikan. Apa yang membezakan kali ini ialah faktor bukti hubungan lama yang ditemui yang membuatkan Antonio berasa tidak mampu lagi meneruskan hidup bersama isterinya.

     Akhirnya, Antonio memfailkan penceraian pada tahun 2011 menjadikan mereka pasangan tertua di dunia yang berpisah secara rasmi. Kisah ini terus diingati kerana kelainannya bukan sahaja kerana usia lanjut mereka. Benarlah bahawa setua mana pun manusia, pastinya masih mampu berasa luka yang mendalam akibat pengkhianatan cinta.

Catat Ulasan for "Cinta 77 Tahun Berakhir : Kisah Penceraian Pasangan Tertua di Dunia"