Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Sibongile Mani: Pelajar Universiti yang Tiba-Tiba Menjadi Orang Kaya Sekejap


     Pada tahun 2017, nama seorang pelajar universiti di Afrika Selatan, Sibongile Mani tiba-tiba menjadi tular di internet. Dia merupakan penuntut di Walter Sisulu University (WSU), sebuah institusi pengajian tinggi yang menampung ribuan pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana dan rendah. Seperti pelajar lain, Sibongile layak menerima bantuan kewangan daripada National Student Financial Aid Scheme (NSFAS), sebuah program kerajaan yang bertujuan menyalurkan dana sara hidup serta yuran pengajian kepada golongan pelajar miskin. Secara rutin, setiap bulan dia hanya menerima sekitar R1,400 (lebih kurang RM350) bagi menampung perbelanjaan asas seperti makanan, pengangkutan dan buku pengajian.

     Namun pada suatu hari yang tidak disangka-sangka, berlaku satu kesilapan besar dalam sistem pemindahan wang NSFAS. Akaun bank milik Sibongile tiba-tiba dikreditkan dengan jumlah yang amat luar biasa iaitu sekitar R14 juta (lebih RM3 juta). Jumlah ini jauh melangkaui apa yang sepatutnya diterima oleh mana-mana pelajar. Kesilapan teknikal ini mengubah hidup Sibongile dalam sekelip mata dan pada waktu itu, dia berhadapan dengan pilihan sukar sama ada melaporkan perkara tersebut atau mengambil kesempatan pada wang itu.


     Dalam tempoh lebih kurang 73 hari selepas wang itu masuk ke akaunnya, Sibongile dilaporkan telah membelanjakan lebih daripada R800 000. Wang tersebut digunakan untuk membeli pelbagai barangan mewah seperti beg tangan berjenama, pakaian mahal, kosmetik, barangan isi rumah dan juga alkohol. Dia bukan sahaja membeli untuk kegunaan sendiri tetapi turut memanjakan rakan-rakan dengan hadiah dan layanan mewah. Gaya hidupnya berubah mendadak yakni daripada seorang pelajar sederhana, dia mula dikenali di kampus sebagai gadis yang sentiasa bergaya, sering berbelanja besar dan menikmati kehidupan penuh glamor.

     Kemewahan itu bagaimanapun tidak bertahan lama. Perbelanjaan luar biasa yang dilakukan Sibongile mula menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pelajar lain serta pihak pengurusan universiti. Tidak lama kemudian, pihak berkuasa menyedari wujudnya kesilapan transaksi melibatkan dana NSFAS. Siasatan mendapati wang itu tersalah dimasukkan ke akaun Sibongile tetapi sebaliknya telah digunakan tanpa kebenaran. Tindakan ini dianggap serius kerana walaupun Sinbongile tidak mencuri secara langsung, dia menyedari wang tersebut bukan haknya dan masih menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

     Akibat perbuatannya, Sibongile dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan kecurian. Pada Mac 2022, Mahkamah Serantau East London mendapatinya bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun. Walau bagaimanapun, perbicaraan ini tidak berakhir di situ. Sibongile mengemukakan rayuan, dan pada November 2023, Mahkamah Tinggi Afrika Selatan membuat keputusan baharu.

     Dalam keputusan rayuan itu, hukuman penjara langsung dibatalkan. Sibongile sebaliknya dijatuhi hukuman lebih ringan dalam bentuk penjara tertangguh selama lima tahun dengan syarat dia tidak melakukan sebarang kesalahan berkaitan penipuan atau kecurian sepanjang tempoh tersebut. Selain itu, Sibongile turut diperintahkan menjalani tiga tahun pengawasan pemulihan iaitu melakukan 576 jam kerja amal, menghadiri program kaunseling dan tidak dibenarkan meninggalkan kawasan tempat tinggalnya tanpa kebenaran rasmi. Hukuman berbentuk pemulihan ini dianggap lebih sesuai kerana ia memberi peluang kepadanya untuk membetulkan kesilapan hidup dan kembali menyumbang kepada masyarakat.

Catat Ulasan for "Kisah Sibongile Mani: Pelajar Universiti yang Tiba-Tiba Menjadi Orang Kaya Sekejap"