Kisah Susan Kuhnhausen: Jururawat Yang Mengalahkan Pembunuh Upahan

Pada awal September 2006, nama Susan Kuhnhausen mula menjadi perhatian di Amerika Syarikat. Dia bukanlah seorang selebriti, ahli politik, mahupun tokoh terkenal tetapi seorang jururawat yang bekerja keras di sebuah hospital di Portland, Oregon. Namun kehidupannya yang biasa bertukar menjadi kisah luar biasa apabila dia berjaya menewaskan penyerangnya dengan tangannya sendiri.
Susan Kuhnhausen dilahirkan pada tahun 1959. Sebagai seorang wanita dewasa,dia memilih kerjaya sebagai jururawat yakni pekerjaan yang memerlukan kesabaran, ketahanan mental dan keberanian untuk berdepan dengan pelbagai situasi kritikal di bilik kecemasan. Keperibadiannya dikenali sebagai seorang yang penyayang tetapi juga tegas, sifat yang akan terbukti menyelamatkan dirinya suatu hari nanti.

Susan pernah berkahwin dengan seorang lelaki bernama Michael James Kuhnhausen tetapi rumah tangga mereka tidak bahagia. Michael digambarkan sebagai seorang yang murung, pemarah dan gagal mengurus kehidupannya dengan baik. Dia sering kehilangan pekerjaan, mempunyai sifat negatif dan bergantung sepenuhnya kepada Susan. Perkahwinan mereka yang semakin dingin akhirnya membawa Susan membuat keputusan untuk berpisah. Walaupun sudah berpisah secara fizikal, ikatan perkahwinan mereka masih sah dari segi undang-undang ketika itu.
Keputusan Susan untuk meninggalkan Michael menimbulkan kemarahan mendalam dalam diri lelaki itu. Michael tidak dapat menerima penolakan tersebut. Dia bahkan mula memupuk kebencian yang mendalam. Dalam keadaan terdesak dan marah, Michael akhirnya merancang jalan keluar yang paling kejam iaitu mengupah seorang pembunuh upahan untuk menamatkan hidup isterinya.
BMichael menghubungi seorang lelaki bernama Edward D. Haffey, seorang penagih dadah dan bekas banduan yang mempunyai sejarah jenayah. Dia menjanjikan bayaran kepada Haffey untuk membunuh Susan. Pada 6 September 2006, rancangan tersebut dilaksanakan.
Hari itu, Susan baru sahaja pulang dari tempat kerja di hospital. Seperti kebiasaannya, dia masuk ke rumahnya di daerah Portland. Namun sesuatu terasa tidak kena. Tidak lama kemudian, seorang lelaki asing tiba-tiba muncul dari dalam rumah. Itulah Edward Haffey yang bersenjata dengan tali dan niat membunuh. Haffey menyerang Susan dengan kasar, cuba menjerutnya menggunakan tali. Susan bagaimanapun tidak mudah menyerah. Sebagai seorang jururawat bilik kecemasan, beliau sudah terbiasa dengan tekanan dan keadaan panik. Tubuh Susan mungkin tidak sebesar lelaki itu tetapi pengalaman dan tekad untuk terus hidup memberikannya kelebihan.
Pertarungan sengit berlaku di ruang tamu rumah tersebut. Susan menjerit, melawan dan menggunakan segala kekuatan yang ada. Ketika Haffey cuba mencekiknya, Susan menggigit, menumbuk dan meronta tanpa henti. Dalam situasi pergelutan yang panjang, Susan akhirnya berjaya membalikkan keadaan. Menggunakan seluruh tenaga, dia merampas tali yang digunakan oleh penyerangnya lalu menggunakannya semula untuk menjerut leher Haffey. Selepas bergelut beberapa minit yang mendebarkan, Susan akhirnya berjaya menewaskan Haffey. Lelaki itu rebah tidak bernyawa di dalam rumahnya sendiri. Walaupun keletihan dan trauma, Susan telah menyelamatkan dirinya daripada percubaan pembunuhan yang terancang.

Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, mereka menemui mayat Haffey di rumah Susan. Siasatan segera dilakukan dan bukti yang ditemui dalam kereta Haffey membawa kepada penemuan yang mengejutkan. Di dalam kenderaan itu, terdapat nota dan dokumen yang menunjukkan kaitan terus dengan Michael Kuhnhausen. Polis akhirnya menahan Michael dan siasatan membuktikan bahawa dialah yang merancang serta mengupah Haffey untuk membunuh isterinya.
Michael dituduh atas cubaan membunuh dan konspirasi jenayah. Pada tahun 2008, Michael Kuhnhausen mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman 10 tahun penjara. Walau bagaimanapun, dia tidak sempat menjalani hukuman penuh. Pada tahun 2014, ketika masih berada dalam penjara, Michael meninggal dunia akibat penyakit kanser. Bagi Susan, ia menandakan penutup kepada babak paling gelap dalam hidupnya.
Catat Ulasan for "Kisah Susan Kuhnhausen: Jururawat Yang Mengalahkan Pembunuh Upahan"