Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Guy Goma: Lelaki yang Secara Tidak Sengaja Jadi Pakar di BBC


     Pada 8 Mei 2006, satu kejadian unik dan mencuit hati di saluran berita BBC News 24. Kisah itu melibatkan seorang lelaki bernama Guy Goma, warganegara Congo yang ketika itu berada di London. Goma sebenarnya hadir ke bangunan BBC Television Centre bukan untuk muncul di kaca televisyen tetapi hanya untuk menghadiri temuduga kerja dalam bidang teknologi maklumat sebagai penyokong IT. Nasibnya bagaimanapun berubah apabila satu kekeliruan berlaku di ruang menunggu.

     Ketika itu, BBC sedang merancang untuk menemubual seorang pakar teknologi bernama Guy Kewney berhubung kes mahkamah antara Apple Computer dan Apple Corps. Pertikaian tersebut menjadi isu hangat kerana melibatkan penggunaan jenama dan hak muzik digital. Malangnya, seorang staf BBC telah tersalah memanggil Guy Goma yang kebetulan mempunyai nama hampir sama dengan tetamu jemputan sebenar. Tanpa menyedari apa yang sedang berlaku, Goma dibawa masuk ke studio siaran langsung, dipasangkan mikrofon dan duduk di kerusi tetamu.

     Saat siaran bermula, penyampai berita Karen Bowerman memperkenalkan Goma sebagai Guy Kewney, wartawan teknologi. Wajah Goma yang terakam kamera jelas memaparkan kejutan, matanya terbeliak seolah-olah baru tersedar bahawa dirinya berada di tempat yang salah. Namun dalam keadaan tidak bersedia, dia tetap memilih untuk terus menjawab soalan dengan penuh keyakinan.

     Ketika ditanya bagaimana keputusan mahkamah antara dua syarikat besar itu akan mempengaruhi dunia internet, Goma dengan nada serius menjawab bahawa orang ramai akan terkejut dengan apa yang bakal berlaku. Dia menekankan bahawa masyarakat akan memerlukan sesuatu yang mudah dan cepat untuk digunakan sert kes tersebut akan memberi kesan besar kepada pengguna. Walaupun jawapannya kabur dan tidak teknikal, gaya penyampaiannya membuatkan ia kedengaran seakan-akan wajar. Karen Bowerman pula terus mengajukan soalan tambahan dan Goma menjawab dengan berhati-hati sambil mengangguk seolah-olah cuba mengekalkan kredibiliti.

     Sepanjang temu bual yang berlangsung selama beberapa minit itu, Goma jelas kelihatan sedikit gelisah namun tetap berusaha mengawal keadaan. Reaksi wajahnya nampak keliru tetapi dia yang cuba berpura-pura yakin. Orang ramai yang menonton ketika itu segera menyedari sesuatu tidak kena namun Goma berjaya mengekalkan situasi tanpa membuat sebarang kecoh atau berhenti bercakap.

     Temu bual tersebut dengan pantas menjadi tular di seluruh dunia. Ramai penonton mendapati situasi itu bukan sahaja melucukan tetapi juga mengagumkan kerana Goma mampu menjawab dengan spontan walaupun jelas bukan bidangnya. Rakaman video itu berulang kali dipaparkan di televisyen dan dimuat naik ke internet menjadikannya antara fenomena viral awal di YouTube.

     Cuma di sebalik populariti yang diperoleh, Goma sebenarnya tidak mendapat pekerjaan di BBC selepas menghadiri temuduga sebenar. Kehidupannya kembali seperti biasa meskipun namanya terus dikenang dalam sejarah media. Pada tahun-tahun berikutnya, dia beberapa kali muncul dalam rancangan yang mengimbas kembali peristiwa itu, dan ada juga cadangan daripada peminat supaya kisahnya diangkat ke layar perak. Video kejadian temu bual Coma tersebut boleh ditonton di sini : https://youtu.be/e6Y2uQn_wvc?si=fEJdnI4yLJkEnQoa

Catat Ulasan for "Kisah Guy Goma: Lelaki yang Secara Tidak Sengaja Jadi Pakar di BBC"