Kisah Benar McFarland: Dari Ladang Ke Kejohanan Negeri

McFarland ialah sebuah bandar kecil di Kern County, California yang majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Mexico-Amerika. Sejak dahulu lagi, bandar ini terkenal sebagai kawasan pertanian yang bergantung kepada hasil kapas, anggur, sayur-sayuran dan buah-buahan. Kehidupan di McFarland tidak mudah kerana kebanyakan keluarga di sini bergantung sepenuhnya kepada kerja sebagai buruh ladang dengan pendapatan yang rendah. Anak-anak sering membantu ibu bapa mereka di ladang sejak kecil, ada yang terpaksa bekerja sebelum atau selepas waktu sekolah. Akibatnya, pelajaran bukanlah keutamaan bagi kebanyakan keluarga dan ramai remaja berisiko tercicir.
Pada awal 1980-an, seorang guru pendidikan jasmani bernama Jim White ditempatkan di McFarland High School. White bukanlah seorang jurulatih terkenal kerana dia sebelum itu pernah berpindah sekolah beberapa kali disebabkan sikap panas barannya. Kehadirannya ke McFarland dianggap sekadar tugasan sementara di sebuah sekolah yang kurang dikenali. Namun sesuatu yang tidak disangka berlaku. White mula menyedari bahawa anak-anak buruh ladang di bandar kecil ini memiliki sesuatu yang luar biasa. Mereka mungkin tidak mempunyai kasut larian yang mahal atau kemudahan moden tetapi mereka terbiasa dengan kerja keras di ladang, stamina tinggi dan disiplin yang sukar ditandingi.

Setiap hari, White melihat pelajarnya berlari dari rumah ke sekolah atau pulang dalam jarak yang jauh. Ramai juga yang bekerja berjam-jam di ladang tetapi tetap hadir ke kelas tanpa mengeluh. Dari situlah dia mula percaya bahawa jika potensi ini digilap, anak-anak McFarland boleh melangkah lebih jauh. Maka dengan semangat itu, White menubuhkan pasukan cross country pertama McFarland High School pada tahun 1987 meskipun sekolah tersebut tidak pernah mempunyai tradisi dalam sukan itu sebelum ini. Cross country ialah acara larian jarak jauh yang dijalankan di laluan semula jadi seperti tanah, rumput, bukit, ladang dan bukan di trek atau jalan berturap. Ia memerlukan stamina, ketahanan fizikal dan kekuatan mental kerana pelari perlu berlari menempuh pelbagai permukaan yang mencabar.
Pasukan awal ini dibarisi oleh pelajar-pelajar seperti Thomas Valles, Danny Diaz, David dan Damacio Diaz, Jose Cardenas serta Johnny Samaniego. Mereka datang daripada keluarga sederhana dan bekerja di ladang namun sanggup meluangkan masa untuk berlatih di bawah bimbingan White. Latihan mereka tidak mudah di mana setiap pagi dan petang mereka berlari merentasi jalan tanah, bukit dan ladang kapas. Jim White bukan sahaja melatih mereka secara fizikal malah menjadi mentor dan figura bapa kepada ramai pelajarnya terutama yang datang daripada keluarga bermasalah.
Hasil kerja keras ini mula membuahkan hasil. Pada tahun 1987, pasukan McFarland mengejutkan ramai apabila berjaya menjuarai California State Cross Country Championship, Division I-A yakni kejuaraan pertama mereka dalam percubaan pertama. Kemenangan ini dianggap luar biasa kerana datang daripada sebuah sekolah kecil di kawasan miskin yang langsung tidak dikenali dalam arena sukan negeri.


Perjalanan hidup pelari-pelari asal McFarland juga memberi inspirasi tersendiri. Thomas Valles misalnya, membesar dalam keluarga yang berpecah belah dan hampir tercicir daripada sekolah. Namun berkat bimbingan White, dia berjaya menamatkan pelajaran dan kemudian bekerja dengan California Department of Corrections and Rehabilitation serta sering dijemput memberi ceramah motivasi. Danny Diaz yang dalam pasukan asal dianggap pelari paling perlahan akhirnya membuktikan ketekunan lebih penting daripada bakat semata-mata. Dia kemudian berjaya menjadi kaunselor sekolah, membimbing generasi baharu di McFarland. Adik-beradik David dan Damacio Diaz pula menyambung pelajaran ke kolej sebelum kembali ke McFarland sebagai guru dan jurulatih cross country, menyumbang semula kepada tempat asal mereka. Begitu juga dengan Johnny Samaniego dan Jose Cardenas yang terus berkhidmat dalam bidang pendidikan.

Bagi Jim White sendiri, dia bersara daripada mengajar dan melatih pada tahun 2003 selepas lebih dua dekad bersama McFarland. Dia bagaimanapun tidak pernah meninggalkan bandar kecil itu. Kisah kejayaan lelaki ini kemudian diangkat ke layar perak melalui filem McFarland, USA arahan Niki Caro yang ditayangkan pada tahun 2015 dengan Kevin Costner melakonkan watak Jim White. Filem itu menggambarkan bagaimana anak-anak buruh ladang di McFarland bangkit menjadi juara meskipun terdapat beberapa olahan dramatik berbanding kisah sebenar.
Catat Ulasan for "Kisah Benar McFarland: Dari Ladang Ke Kejohanan Negeri"