Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Anders Behring Breivik : Insiden Serangan Dahsyat 22 Julai


      Pada 22 Julai 2011, Norway yang terkenal sebagai negara aman dan stabil digemparkan dengan serangan berdarah yang dilakukan oleh seorang lelaki bernama Anders Behring Breivik. Kejadian ini menjadi titik hitam dalam sejarah moden negara Scandinavia tersebut apabila 77 orang terkorban dalam serangan keganasan paling dahsyat selepas Perang Dunia Kedua di tanah Norway. 

     Anders Behring Breivik dilahirkan pada 13 Februari 1979 di Oslo, Norway. Breivik dibesarkan dalam keluarga yang berpecah di mana ibu bapanya berpisah ketika dia masih kecil. Breivik dibesarkan terutama oleh ibunya manakala hubungan dengan bapanya dilaporkan renggang. Sejak muda, dia dikenali sebagai seorang yang agak penyendiri, sukar membina hubungan rapat dengan rakan sebaya serta cenderung menghabiskan masa dengan permainan video, komputer serta melibatkan diri dalam dunia maya.

     Pada usia remaja, Breivik menunjukkan minat kepada politik dan mula membentuk pandangan dunia yang konservatif dan nasionalis. Dia pernah menyertai Progress Party Youth (sayap belia parti konservatif Norway), namun tidak aktif lama di dalamnya. Breivik kemudian cuba berniaga dalam bidang perisian dan produk pertanian organik tetapi usahanya gagal. Kegagalan dalam bidang sosial dan perniagaan ini dipercayai menyumbang kepada rasa kecewa dan keterasingan yang semakin mempengaruhi jiwanya.

     Breivik semakin terjerumus dalam ideologi sayap kanan ekstrem, anti-imigrasi dan anti-Islam. Dia percaya bahawa Eropah sedang dijajah melalui proses imigrasi Muslim dan menuduh pemerintah serta parti-parti politik demokratik berhaluan kiri sebagai pengkhianat bangsa. Pandangan ini tidak hanya terbatas kepada ucapan. Breivik bahkan menulis sebuah manifesto setebal lebih 1 500 muka surat berjudul 2083: A European Declaration of Independence. Dalam manifesto tersebut, Breivik mengkritik dasar multikulturalisme, mendakwa bahawa nilai tradisional Eropah sedang dihancurkan dan menyeru kepada perjuangan untuk menyelamatkan tamadun Barat. Tulisan itu juga memaparkan bagaimana dia merancang strategi keganasan yang lengkap dengan panduan teknikal membuat bom serta justifikasi ideologi untuk menggunakan kekerasan.


     Kejadian besar bermula pada petang 22 Julai 2011. Serangan Breivik dilakukan dalam dua fasa dengan perancangan rapi yang sudah dipersiapkan selama bertahun-tahun. Serangan pertama, letupan di Oslo. Pada jam 15:25 waktu tempatan, sebuah bom kereta meletup di kawasan kerajaan pusat Oslo yang berhampiran pejabat Perdana Menteri Jens Stoltenberg. Bom itu dirangkaikan oleh Breivik menggunakan baja ammonium nitrat yang diseludupinya dalam sebuah van. Letupan menggegarkan ibu kota, memusnahkan bangunan kerajaan termasuk Kementerian Kehakiman dan Pejabat Perdana Menteri serta mengorbankan 8 orang dan mencederakan lebih daripada 200 orang. Letupan itu menyebabkan panik besar. Orang ramai menyangka ia mungkin serangan pengganas antarabangsa khususnya oleh kumpulan radikal Islam kerana naratif global ketika itu banyak tertumpu pada ancaman al-Qaeda. Namun realitinya lebih mengejutkan kerana penyerang sebenar ialah seorang warga Norway berkulit putih dengan ideologi sayap kanan.

     Serangan kedua, pembunuhan beramai-ramai di Pulau Utoya. Beberapa jam selepas letupan, Breivik bergerak ke Pulau Utoya yang jaraknnua kira-kira 40 km dari Oslo. Di pulau kecil ini sedang berlangsung perkemahan belia Parti Buruh Norway dengan kehadiran ratusan peserta berusia antara 14 hingga 25 tahun. Breivik yang berpakaian seragam polis palsu tiba menaiki feri kecil dan memperkenalkan dirinya sebagai pegawai keselamatan yang dihantar untuk melindungi peserta daripada ancaman bom di Oslo. Maka dengan helah itu, dia mendapat akses penuh ke pulau. Tidak lama kemudian, Breivik mengeluarkan senjata api separa automatik dan mula menembak secara rambang ke arah peserta. Serangan berlangsung selama lebih satu jam sementara ramai remaja cuba melarikan diri ke hutan, menyelam ke dalam air atau bersembunyi di tebing berbatu. Namun Breivik terus mengejar dan menembak sesiapa sahaja yang ditemuinya. Serangan kejam itu meragut 69 nyawa dengan kebanyakannya remaja manakala ratusan lagi cedera dan trauma sepanjang hayat. Apabila polis khas tiba di lokasi, Breivik menyerah diri tanpa melawan.

     Breivik ditahan serta-merta selepas serangan dan dibawa ke ibu pejabat polis untuk disoal siasat. Dia mengaku bertanggungjawab penuh tetapi menolak untuk mengaku bersalah dengan alasan bahawa tindakannya adalah perjuangan politik yang sah. Pada tahun 2012, perbicaraan ke atasnya bermula di Oslo dan mendapat liputan antarabangsa. Breivik menggunakan peluang itu untuk menyampaikan ideologi dan justifikasi tindakannya termasuk memberi tabik Nazi di mahkamah. Pasukan psikiatri pada awalnya memberikan laporan bercanggah. Ada yang mendakwa Breivik mengalami gangguan mental namun akhirnya mahkamah memutuskan bahawa dia waras dan bertanggungjawab sepenuhnya.Breivik dijatuhi hukuman 21 tahun penjara dengan forvaring iaitu bentuk tahanan khas Norway di mana hukuman boleh dipanjangkan tanpa had selagi pesalah dianggap berbahaya kepada masyarakat. Dengan hukuman ini, Breivik berpotensi dipenjara seumur hidup.

     Kisah serangan Breivik ini turut diangkat ke layar. Filem 22 July (2018) arahan Paul Greengrass memaparkan serangan, perbicaraan Breivik dan perjuangan mangsa. Filem Norway Utoya: July 22 (2018) arahan Erik Poppe pula menekankan pengalaman mangsa. Beberapa dokumentari juga diterbitkan walaupun ada kontroversi kerana dianggap terlalu awal namun ia dilihat penting untuk memberi kesedaran tentang bahaya ekstremisme.

Catat Ulasan for "Kisah Anders Behring Breivik : Insiden Serangan Dahsyat 22 Julai "