Kanak-Kanak Lima Tahun Dipenggal di Hadapan Ibu, Suspek Dipukul Hingga Maut

INDIA – Satu kejadian ngeri berlaku di daerah Dhar, Madhya Pradesh apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun ditemui mati dalam keadaan ngeri selepas kepalanya dipenggal oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Kejadian itu berlaku pada siang hari di rumah keluarga mangsa. Lebih memilukan apabila kejadian tersebut berlaku di hadapan mata ibunya sendiri.
Menurut laporan polis, mangsa dikenali sebagai Vikas, seorang kanak-kanak kecil yang ketika itu sedang berada di rumah bersama ibunya. Tiba-tiba seorang lelaki bernama Mahesh yang berusia 25 tahun memasuki rumah mereka tanpa izin. Difahamkan keluarga mangsa tidak mengenali suspek dan tidak pernah melihatnya sebelum ini.
Ketika berada di dalam rumah, Mahesh dikatakan mencapai sebatang alat tajam seakan cangkul kecil yang terdapat di kawasan itu sebelum bertindak menyerang mangsa. Dalam sekelip mata, dia melibas senjata tersebut ke arah kanak-kanak berusia lima tahun itu sehingga mengakibatkan kecederaan parah di bahagian leher. Serangan itu begitu ganas sehingga menyebabkan kepala mangsa terpisah daripada badan.
Ibu mangsa yang menyaksikan kejadian mengerikan itu cuba menghalang perbuatan Mahesh namun turut cedera ketika cuba menyelamatkan anaknya. Jeritan si ibu akhirnya menarik perhatian jiran tetangga yang segera bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik menyedari kejadian yang berlaku, penduduk kampung bertindak pantas dengan menangkap suspek sebelum memukulnya beramai-ramai. Amukan orang kampung begitu kuat sehingga Mahesh mengalami kecederaan parah. Polis yang tiba di tempat kejadian membawa suspek ke hospital. Dia bagaimanapun dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan akibat kecederaan serius yang dialaminya.
Pihak berkuasa kini mengesahkan bahawa siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengalami masalah mental. Menurut keluarganya, Mahesh telah hilang dari rumah selama beberapa hari sebelum kejadian dan dikatakan mempunyai sejarah masalah kesihatan mental. Walau bagaimanapun, polis menegaskan bahawa siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesahkan punca sebenar tindakannya yang kejam itu.
Polis telah membuka kertas siasatan dan mayat mangsa telah dihantar untuk bedah siasat bagi menentukan butiran lanjut mengenai kecederaan. Selain itu, pihak berkuasa juga memulakan proses siasatan berhubung tindakan penduduk kampung yang memukul suspek hingga maut. Walaupun tindakan mereka dikatakan berpunca daripada kemarahan serta tidak mampu menahan rasa marah atas pembunuhan tersebut, pihak polis menegaskan bahawa undang-undang tetap perlu ditegakkan.
Catat Ulasan for "Kanak-Kanak Lima Tahun Dipenggal di Hadapan Ibu, Suspek Dipukul Hingga Maut"