Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Penculikan Jessica Buchanan di Somalia

.    Pada penghujung tahun 2011, berlakunya kes penculikan seorang pekerja kemanusiaan warga Amerika Syarikat iaitu Jessica Buchanan yang ketika itu sedang berkhidmat di Somalia bersama Danish Refugee Council / Danish Demining Group. Jessica, 32 tahun bersama rakan sekerjanya dari Denmark yang bernama Poul Hagen Thisted telah diculik pada 25 Oktober 2011 di kawasan utara Somalia. Mereka disasarkan kerana bekerja di zon bergolak yang ketika itu dipenuhi ancaman lanun darat, militan dan kumpulan penjenayah bersenjata.

     Sejurus selepas diculik, Jessica serta Poul dibawa ke kawasan padang pasir tandus dan ditahan di bawah kawalan ketat kumpulan penculik. Sepanjang tiga bulan ditawan, mereka terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan. Mereka tidur di kawasan terbuka, kekurangan makanan serta air bersih dan sentiasa berada dalam keadaan cemas. Jessica menderita masalah kesihatan serius termasuk jangkitan buah pinggang yang semakin memburuk. Situasi itu menjadikan nyawanya berada dalam bahaya apatah lagi tanpa rawatan perubatan.

Gambar sekadar hiasan

     Namun yang paling mengejutkan Jessica ialah apabila dia mendapati salah seorang daripada penculik yang mengawalnya hanyalah seorang budak lelaki berusia 11 tahun. Pada awalnya, Jessica menyangka kanak-kanak itu berusia sembilan tahun kerana tubuhnya yang kecil. Dia bagaimanapun terperanjat apabila menyedari budak itu yang dikenali sebagai Abdulahi bukan sahaja sudah biasa mengendalikan senjata malah pernah terlibat dalam pembunuhan. Jessica mendedahkan bahawa budak kecil itu telah membunuh tiga orang.

     Kehadiran Abdulahi menambahkan lagi tekanan psikologi yang dihadapi Jessica. Dia menceritakan bagaimana suatu ketika, budak itu dengan tegas memegang pisau dan mengarahkan dirinya untuk bergerak dua inci ke kiri. Walaupun masih kecil, Jessica tahu dia tidak boleh mengambil mudah kerana budak itu memegang kuasa penuh di bawah lindungan kumpulan penculik. Lebih menakutkan, kanak-kanak itu juga memikul senjata AK-47 yang jauh lebih besar daripada tubuhnya, lengkap dengan ikatan peluru di bahu. 

    Sepanjang tempoh penculikan, pihak penculik membuat beberapa panggilan proof of life kepada pihak berkuasa dan keluarga untuk membuktikan bahawa Jessica dan Poul masih hidup. Rundingan tebusan turut dijalankan tetapi gagal mencapai persetujuan. Keadaan Jessica yang semakin tenat akibat jangkitan buah pinggang akhirnya memaksa pihak Amerika Syarikat membuat keputusan kritikal untuk melancarkan operasi penyelamatan ketenteraan.

    Hinggalah pada 25 Januari 2012 yakni tepat tiga bulan selepas penculikan, pasukan elit Navy SEAL Team Six (DEVGRU) melancarkan operasi dramatik. Seramai hampir 24 anggota SEAL diterjunkan dari pesawat C-130 di kawasan terpencil berhampiran lokasi penculik. Mereka kemudian bergerak secara senyap pada waktu malam untuk mengepung kem penculik. Dalam serangan kilat yang berlangsung hanya beberapa minit, kira-kira sembilan orang penculik berjaya dilumpuhkan. Jessica Buchanan dan Poul Hagen Thisted akhirnya ditemui dalam keadaan lemah tetapi masih hidup. Mereka segera dievakuasi menggunakan pesawat tentera ke lokasi selamat. Operasi penyelamatan itu mendapat perhatian dunia. Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Barack Obama di mana beliau dilaporkan menelefon sendiri bapa Jessica untuk menyampaikan berita gembira bahawa anaknya sudah dibebaskan dengan selamat. 

     Selepas insiden ini, Jessica Buchanan menulis memoir berjudul Impossible Odds: The Kidnapping of Jessica Buchanan and Her Dramatic Rescue by SEAL Team Six. Dalam buku tersebut, dia menceritakan secara terperinci pengalaman pahitnya ditawan termasuk saat-saat berhadapan dengan Abdulahi, budak lelaki 11 tahun yang menjadi simbol betapa kerasnya realiti hidup di negara bergolak. Jessica mengakui bahawa pertemuannya dengan kanak-kanak bersenjata itu meninggalkan kesan mendalam termasuk perasaan takut, sedih dan simpati bercampur-baur. Kini, bertahun selepas kejadian hitam itu, Jessica aktif sebagai penceramah motivasi dan advokat. 

Catat Ulasan for "Kisah Penculikan Jessica Buchanan di Somalia"