Rancho Izaguirre: Tapak Gelap Kartel di Mexico

Pada awal Mac 2025, sekumpulan sukarelawan pencari orang hilang yang dikenali sebagai Guerreros Buscadores de Jalisco menemui bukti mengejutkan di Rancho Izaguirre. Mereka menemui ebih 1300 objek peribadi, termasuk pakaian lelaki, wanita serta kanak-kanak, kasut pelbagai saiz, seluar dalam, beg galas, dompet kosong dan telefon bimbit yang rosak. Penemuan ini menjadi tanda jelas bahawa ramai individu telah dibawa ke lokasi itu di mana sebahagian besar daripada mereka tidak pernah keluar semula.
Selain barang peribadi, sukarelawan juga menemui tulang manusia yang terbakar, serpihan rangka serta abu yang memenuhi kawasan tertentu di ladang tersebut. Beberapa lubang besar dan tungku pembakaran buatan turut dijumpai yang dipercayai digunakan untuk melupuskan mayat secara sistematik. Analisis tanah dan imej satelit menunjukkan konsentrasi abu yang tinggi sekali gus mengesahkan wujudnya pembakaran berulang kali.
Selain menjadi tapak pelupusan, Rancho Izaguirre juga berfungsi sebagai pusat latihan paramiliter. Terdapat bukti seperti kelongsong peluru, sasaran menembak dan ruang latihan taktikal. Hal ini menimbulkan teori bahawa kartel menggunakan ladang itu untuk melatih rekrut baru mereka menjadikan tempat itu gabungan penjara rahsia, pusat latihan dan kem pembunuhan.

Laporan siasatan mendedahkan bahawa Rancho Izaguirre berfungsi sebagai pusat rekrutmen paksa. Mangsa yang dibawa ke sana sering kali ditipu dengan janji pekerjaan sebagai buruh atau pekerja ladang. Ada juga yang diculik secara rawak di jalanan, terminal bas atau ditarik keluar dari rumah mereka. Sebaik tiba, mangsa diberikan pilihan kejam iaitu sertai kartel atau mati. Mereka yang bersetuju akan dilatih menggunakan senjata api, taktik peperangan gerila dan pemanduan kenderaan. Ada laporan bahawa sebahagian daripada mangsa dipaksa mengambil dadah sehingga menjadi ketagih bagi menjadikan mereka lebih mudah dikawal oleh kartel.
Namun bagi mereka yang menolak, nasibnya jauh lebih tragis. Mangsa akan dipukul, diseksa dan akhirnya dibunuh. Mayat mereka kemudian dibakar dalam tungku atau lubang yang disediakan. Penemuan barang peribadi dalam jumlah besar serta sisa manusia yang terbakar membuktikan berapa ramai yang menjadi korban operasi ini.

Selepas penemuan ini mendapat liputan meluas, pihak berkuasa Mexico melancarkan operasi besar-besaran. Seramai 15 individu ditahan termasuk anggota kartel dan beberapa pegawai polis tempatan yang dipercayai bersubahat dalam menculik serta menghantar mangsa ke ladang itu. Malah, Jose Murguia Santiago yang juga merupakan Datuk Bandar Teuchitan turut ditahan kerana dituduh mengetahui tentang kewujudan pusat itu tetapi gagal bertindak.
Dalam perbicaraan pertama, 10 lelaki didapati bersalah atas kesalahan penculikan, pembunuhan dan penghilangan paksa terhadap tiga mangsa. Mereka dijatuhi hukuman penjara selama 141 tahun dan 3 bulan setiap seorang serta diperintahkan membayar denda sebanyak 1.3 juta peso (sekitar RM360 000) kepada keluarga mangsa. Walaupun hukuman ini dianggap keras, ramai aktivis berpendapat ia masih belum cukup untuk menyingkap jumlah sebenar mangsa yang terlibat.

Ramai pihak pemerhati dan media menyifatkan Rancho Izaguirre sebagai kem penghapusan. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa Mexico berhati-hati untuk menggunakan istilah tersebut secara rasmi. Mereka menegaskan bahawa walaupun bukti pembakaran mayat memang wujud, tiada krematorium tetap ditemui. Apa yang ada hanyalah tungku sementara dan lubang pembakaran. Bagi kumpulan pencari orang hilang dan keluarga mangsa, istilah ini tidak penting. Bagi mereka, Rancho Izaguirre adalah bukti nyata kekejaman kartel dan kegagalan negara melindungi rakyatnya.
Catat Ulasan for "Rancho Izaguirre: Tapak Gelap Kartel di Mexico"