KISAH PENIPUAN LUAR BIASA BELLE GIBSON

Pada tahun 2013, Belle Gibson iaitu seorang wanita muda dari Australia mula meraih perhatian ramai apabila mendakwa dirinya menghidap kanser otak tahap akhir. Lebih mengejutkan, dia mendakwa berjaya menyembuhkan penyakit tersebut tanpa rawatan moden seperti kemoterapi atau pembedahan. Belle sebaliknya hanya menggunakan diet sihat, gaya hidup seimbang dan rawatan alternatif. Kisah luar biasanya tular di media sosial dan diangkat sebagai sumber inspirasi oleh ramai individu terutamanya dalam komuniti kesihatan holistik. Belle ampil dengan penuh keyakinan yang memperlihatkan imejnya sebagai pejuang kesihatan dan survivor yang berjaya melawan penyakit maut secara semula jadi.
Melalui populariti tersebut, Belle melancarkan sebuah aplikasi gaya hidup bernama The Whole Pantry yang menyediakan resipi sihat, nasihat pemakanan dan panduan hidup semulajadi. Aplikasi ini mendapat sambutan hangat dan menjadi sangat berpengaruh sehingga syarikat teknologi gergasi Apple memilihnya untuk dipra-pasang dalam jam tangan pintar Apple Watch mereka. Pada masa yang sama, sebuah syarikat penerbitan ternama di Australia menerbitkan buku resipi Belle sekali gus menjadikannya sebagai salah satu nama yang paling cepat meningkat dalam industri gaya hidup dan kesihatan. Pada masa singkat, Belle berjaya membina empayar peribadi yang sangat menguntungkan yakni hasil daripada cerita peribadi yang menyentuh hati ramai.

Namun menjelang tahun 2015, reputasi Belle mula runtuh apabila beberapa wartawan mula menyiasat kebenaran ceritanya. Pelbagai keraguan timbul berkenaan status kesihatannya dan rekod perubatannya yang tidak dapat dibuktikan. Siasatan mendapati bahawa Belle tidak pernah disahkan menghidap sebarang kanser oleh mana-mana pakar perubatan. Lagi mengejutkan, dia turut didapati memalsukan dakwaan tentang sumbangan amal di mana dia sebelum itu mendakwa hasil jualan aplikasinya telah disalurkan kepada pelbagai organisasi kebajikan sedangkan sebahagian besar daripada janji tersebut tidak pernah ditunaikan. Penipuan ini mengundang kemarahan orang ramai yang berasa tertipu dan dikhianati. Pada tahun 2017, Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) membawa Belle Gibson ke mahkamah atas kesalahan memperdaya pengguna dan membuat dakwaan palsu. Mahkamah mendapati Belle bersalah dan mengarahkannya membayar denda melebihi AUD 400 000 (sekitar RM1 juta).

Menariknya, kisah luar biasa ini telah diangkat ke layar kecil melalui sebuah siri drama Netflix bertajuk Apple Cider Vinegar yang telah ditayangkan pada 6 Februari 2025. Siri ini menggambarkan perjalanan naik-turun Belle Gibson dari seorang pempengaruh kesihatan yang disanjung kepada penipu yang terdedah. Pelakon Kaitlyn Dever membawakan watak Belle dengan penuh emosi dan siri ini memberikan gambaran mendalam tentang manipulasi dalam dunia digital serta psikologi di sebalik penipuan yang kompleks. Ia menjadi peringatan kepada penonton bahawa tidak semua yang kelihatan indah di media sosial adalah benar.

Catat Ulasan for "KISAH PENIPUAN LUAR BIASA BELLE GIBSON "