Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH KEMATIAN PIA FARRENKOPT YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN


     Pada bulan Mac 2014, seorang kontraktor hartanah telah diarahkan oleh pihak bank untuk memeriksa sebuah rumah di Pontiac, Michigan, Amerika Syarikat. Pemeriksaan tersebut dibuat kerana rumah itu gagal membuat bayaran gadai janji selama beberapa bulan dan dikatakan tidak berpenghuni. Dari luar, rumah dua tingkat itu kelihatan seperti biasa sahaja. Tiada apa yang nampak mencurigakan, tiada tanda-tanda kerosakan dan rumput di halamannya tidak tumbuh liar seperti rumah terbiar. Walau bagaimanapun, segala-galanya berubah apabila kontraktor itu membuka pintu garaj.

     Di dalam garaj tersebut, terdapat sebuah kereta jenis Jeep Liberty yang lama tidak bergerak. Apabila pintunya dibuka, kontraktor itu terkejut besar apabila melihat mayat seorang wanita dalam keadaan hampir menjadi mumia duduk di tempat pemandu. Bau mayat tidak begitu kuat seolah-olah tubuh itu telah lama kering dan terbiar. Polis segera dipanggil ke lokasi dan siasatan pun dimulakan. Mayat itu kemudian dikenal pasti sebagai Pia Farrenkopf, pemilik rumah tersebut yang dipercayai telah meninggal dunia lima tahun lebih awal iaitu sejak tahun 2009.


     Penemuan ini mengejutkan ramai pihak. Bagaimana mungkin seorang wanita mati di rumah sendiri selama bertahun-tahun tanpa sesiapa pun menyedari? Tiada laporan orang hilang, tiada panggilan polis dan tiada sesiapa yang tertanya-tanya ke mana dia pergi. 

     Pia Farrenkopf ialah seorang wanita berdikari yang lahir pada tahun 1964 dan dibesarkan di New Jersey. Dia pernah bekerja sebagai kontraktor kewangan dan terlibat dengan syarikat-syarikat besar seperti Chrysler Financial. Walaupun pernah berjaya dalam kerjaya, Pia menjalani kehidupan yang sangat tertutup. Dia tidak berkahwin, tidak mempunyai anak dan sangat jarang berhubung dengan keluarganya. Malah, Pia pernah memilih untuk memutuskan hubungan dengan ahli keluarga atas sebab yang tidak diketahui secara umum.

     Jirannya pula mengenali Pia sebagai seorang yang pendiam dan jarang keluar rumah. Ada kalanya dia menyapa tetapi lebih banyak masa dihabiskan bersendirian. Jadi apabila Pia tidak lagi kelihatan selepas tahun 2009, jiran-jiran menyangka dia sedang bercuti panjang atau mungkin bekerja di luar negeri. Tiada siapa yang curiga kerana rumahnya tetap nampak hidup seperti lampu luar masih menyala, bekalan elektrik serta air tidak pernah terputus dan kadangkala halaman rumah dirapikan. Rupa-rupanya semua itu berjalan secara automatik.

     Apa yang ramai tidak tahu ialah Pia telah menetapkan sistem pembayaran automatik untuk semua bil rumahnya termasuk bil air, elektrik, cukai dan pinjaman rumah. Akaun banknya mempunyai jumlah yang besar, jadi semua bayaran terus dilakukan tanpa gangguan selama bertahun-tahun. Ini menyebabkan tiada sebarang notis tunggakan atau gangguan utiliti yang boleh mencetuskan syak wasangka. 


     Cuma apabila wang dalam akaunnya akhirnya habis, bayaran gadai janji mula tertunggak. Pihak bank yang menyedari kegagalan bayaran akhirnya mengambil tindakan untuk menyita rumah tersebut. Di sinilah kontraktor dihantar dan akhirnya menemui jasad Pia dalam keadaan menyayat hati. Dia terkurung dalam kereta sendiri di dalam garaj rumahnya dengan sendirian.

     Pihak berkuasa melakukan siasatan forensik tetapi menghadapi kesukaran kerana keadaan mayat yang sudah terlalu reput dan kering. Namun tiada tanda-tanda keganasan, luka luaran atau bukti jenayah. Pintu rumah tidak diceroboh, tiada barang hilang dan segala-galanya tersusun rapi. Polis percaya Pia mungkin mengalami masalah kesihatan seperti serangan jantung atau sesak nafas ketika duduk dalam kereta dan akhirnya meninggal dunia di situ. Namun disebabkan keadaannya, punca kematian sebenar tidak dapat dipastikan secara rasmi.

     Apa yang lebih memilukan ialah tiada seorang pun keluarga atau rakan yang mencarinya selama lima tahun itu. Adik-beradiknya kemudian tampil selepas berita tersebar tetapi mereka sendiri mengaku bahawa hubungan mereka dengan Pia memang telah lama renggang. Mereka menyangka Pia masih hidup dan memilih untuk tidak dihubungi kerana dia pernah berbuat begitu sebelum ini. Mereka tidak pernah terfikir bahawa dia sebenarnya sudah tiada.

Catat Ulasan for "KISAH KEMATIAN PIA FARRENKOPT YANG BENAR-BENAR MENYEDIHKAN "