Kisah Kematian Sindi Purnama Sari yang Benar-Benar Menyedihkan

Sindi dilaporkan telah mula sakit sejak Disember 2024 dan keadaannya semakin merosot sehingga tidak mampu bangun dari katil. Dalam keadaan yang amat lemah, Sindi memerlukan penjagaan rapi, sokongan moral dan bantuan fizikal untuk meneruskan kehidupan sehariannya. Dia bagaimanapun bukannya dijaga dan diberi perhatian tetapi sebaliknya dibiarkan dalam keadaan kotor, tidak dimandikan, tidak diberi rawatan perubatan dan tidak disuapkan makanan. Wahyu Saputra hanya meletakkan makanan di sisi katil isterinya tanpa memastikan ia dimakan walaupun dia tahu Sindi tidak mampu mengangkat tangan sendiri.
Lebih menyakitkan, Wahyu sendiri mengaku bahawa dia kecewa dan marah terhadap isterinya kerana tidak mendapat layanan hubungan intim selama lebih setahun. Malah, Wahyu pernah meminta hubungan kelamin daripada Sindi ketika wanita itu dalam keadaan terlalu lemah yakni satu tindakan yang dianggap tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan.
Selepas Sindi meninggal dunia, mayatnya dibawa ke Hospital Hermina Jakabaring untuk proses bedah siasat. Laporan perubatan tidak menemui sebarang tanda penderaan fizikal atau kecederaan luaran. Walau bagaimanapun, keadaan fizikal mayat menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat, dehidrasi dan jelas tidak terurus sekali gus menandakan bahawa mangsa telah lama hidup dalam pengabaian. Meskipun tiada keganasan fizikal secara langsung, perbuatan Wahyu dianggap sebagai satu bentuk kekerasan dalam rumah tangga iaitu kekerasan melalui pengabaian dan keengganan untuk memenuhi tanggungjawab asas sebagai suami.

Susulan insiden ini, pihak polis telah menahan Wahyu Saputra dan mengenakan dua pertuduhan jenayah ke atasnya. Pertama, dia didakwa di bawah Pasal 359 Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP) yang berkaitan dengan kelalaian yang mengakibatkan kematian seseorang, dengan hukuman maksimum penjara selama lima tahun. Kedua, Wahyu turut didakwa di bawah Pasal 9 ayat 1 dan 2 Undang-Undang No. 23 Tahun 2004 tentang Penghapusan Kekerasan dalam Rumah Tangga (UU PKDRT) yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun penjara atau denda maksimum 15 juta rupiah. Secara keseluruhan, Wahyu berpotensi berdepan dengan hukuman penjara sehingga lapan tahun tertakluk kepada keputusan mahkamah.
Lebih menyedihkan dalam kes ini, tiada usaha yang direkodkan daripada Wahyu untuk mendapatkan rawatan hospital atau perubatan untuk Sindi meskipun dia tahu keadaan isterinya semakin tenat. Malah, jiran-jiran sekitar turut menyatakan bahawa mereka menyedari keadaan Sindi tetapi tidak campur tangan kerana menganggap ia urusan peribadi rumah tangga.
Semoga keadilan ditegakkan untuk Sindi dan semoga kisah ini menjadi pengajaran kepada kita bahawa cinta dan perkahwinan bukan hanya tentang saat indah dan bahagia. Cinta sejati diuji ketika pasangan kita berada dalam keadaan paling rapuh dan memerlukan kita. Saat itulah, tanggungjawab, belas kasihan dan kemanusiaan sepatutnya muncul. Bukan keegoan, kemarahan atau pengabaian yang akhirnya meragut nyawa.
Catat Ulasan for "Kisah Kematian Sindi Purnama Sari yang Benar-Benar Menyedihkan"