Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM GIULIA TRAMONTANO

     Giulia Tramontano iaitu seorang wanita muda berusia 29 tahun berasal dari Sant'Antimo, Naples merupakan seorang ejen hartanah yang disifatkan sebagai berdikari dan peramah. Dia tinggal di Senago, sebuah bandar kecil di pinggir Milan, Itali bersama kekasihnya yang dikenali sebagai Alessandro Impagnatiello yakni seorang pekerja bar yang bekerja di hotel mewah. Cuma di sebalik kehidupan yang kelihatan stabil dan bahagia, tersembunyi konflik yang selama ini tidak diketahui oleh orang ramai. Giulia sebenarnya sedang melalui tekanan emosional yang mendalam akibat masalah dalam hubungan mereka dan malangnya, masalah itu akhirnya membawa kepada pembunuhan paling menyayat hati di Itali pada tahun 2023.

     Ketika Giulia dilaporkan hilang pada 27 Mei 2023, keluarga terdekatnya mula berasa risau. Alessandro sebelum itu tampil membuat laporan polis dengan dakwaan kononnya Giulia keluar rumah selepas pertengkaran kecil dan tidak pulang-pulang. Namun sejak hari pertama penyiasatan, polis sudah mengesyaki sesuatu yang tidak kena. Tindak-tanduk Alessandro mencurigakan dan percakapannya sering berubah-ubah. Polis kemudian meneliti telefon bimbit, komputer dan kamera pengawasan sekitar kawasan perumahan dan dari situlah segala penipuan mula terbongkar.

     Siasatan mendedahkan bahawa Alessandro sebenarnya telah lama menjalinkan hubungan sulit dengan seorang wanita yang juga merupakan rakan sekerjanya. Wanita itu ialah seorang wanita muda yang berasal dari keluarga berdarah kacukan Itali dan Inggeris. Hubungan sulit ini bukan baru bermula tetapi sudah berlarutan sejak beberapa bulan. Giulia pada mulanya tidak tahu mengenai hubungan gelap itu tetapi sebaik mengetahuinya, dia nekad untuk bertemu sendiri dengan wanita itu dan menceritakan kebenaran. Pada hari sebelum pembunuhan, Giulia bertemu dengan wanita itu dan menunjukkan bukti-bukti bahawa dia sedang mengandung anak Alessandro. Dalam pertemuan itu, kedua-duanya menyedari bahawa mereka telah diperdaya oleh lelaki yang sama.

     Selepas pertemuan emosi tersebut, Giulia pulang ke rumah. Malangnya, Alessandro tidak menerima situasi itu dengan tenang. Berdasarkan siasatan, Alessandro dipercayai menjadi semakin terdesak apabila menyedari bahawa penipuannya telah terbongkar. Malam itu dengan niat yang telah dirancang lebih awal, dia bertindak ganas. Alessandro menikam Giulia sebanyak 37 kali dengan tusukan demi tusukan yang dilakukan ke arah leher, dada dan bahagian badan lain. Serangan itu begitu kejam dan tidak memberi peluang kepada Giulia untuk mempertahankan diri. 

     Pembunuhan itu bagaimanapun hanya permulaan kepada tindakan lebih kejam. Alessandro kemudian cuba untuk menghapuskan bukti jenayah. Dia cuba membakar mayat Giulia di dalam bilik mandi menggunakan bahan mudah terbakar. Apabila usahanya gagal, Alessandro menyimpan mayat Giulia di dalam ruang sempit di antara dua bangunan berdekatan rumah mereka. Beberapa hari selepas itu, dia berpura-pura mencari Giulia sambil menangis di depan kamera dan memberikan kenyataan kepada polis dan media. Alessandro kononnya bimbang akan keselamatan kekasihnya yang sedang hamil. Lakonannya berterusan selama beberapa hari sebelum polis akhirnya menjumpai tubuh Giulia dalam keadaan tragis.

     Hasil bedah siasat mendapati bahawa Giulia bukan sahaja ditikam dengan kejam tetapi sebelum itu dia telah diberi racun tikus secara senyap. Bahan itu turut ditemui dalam janin yang dikandungnya menandakan bahawa Alessandro telah cuba meracun Giulia dalam tempoh beberapa minggu sebelum pembunuhan. Bukan itu sahaja, rekod carian internet menunjukkan bahawa Alessandro telah melayari laman web yang mengajar cara-cara untuk membunuh tanpa jejak, cara membuang mayat cara membersihkan darah serta kesan biologi. Ini menandakan pembunuhan tersebut dirancang dengan teliti dan bukannya dilakukan dalam keadaan marah secara tiba-tiba.

     Perbicaraan terhadap Alessandro bermula pada Januari 2024 di Mahkamah Assize Milan. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa menampilkan bukti kukuh tentang kejamnya perbuatan tertuduh. Kes ini mencetuskan kemarahan orang ramai dan gelombang solidariti di seluruh Itali dengan pelbagai demonstrasi dan nyalaan lilin memperingati Giulia dan anak dalam kandungannya, Thiago. Keluarga Giulia hadir di setiap prosiding dengan penuh kesedihan dan tuntutan keadilan. Pada 25 November 2024, hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Alessandro Impagnatiello bersama tiga bulan pengasingan sel individu, hukuman yang dianggap wajar bagi pembunuhan berganda dan bersifat prameditasi. Mahkamah turut mengarahkan beliau membayar pampasan sebanyak 700 000 euro (sekitar RM3.6 juta) kepada keluarga mangsa sebagai ganti rugi. Seperti kebanyakan kes-kes besar lain, Alessandro telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah. Prosiding peringkat rayuan dijadualkan bermula pada 25 Jun 2025.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM GIULIA TRAMONTANO"