Tiga Beradik: Hilang Selepas Lawatan Bersama Bapa, Ditemui Mati Di Tapak Perkhemahan

Pihak berkuasa tempatan mula mengesan kehilangan mereka selepas ibu kandung, Whitney Decker, gagal menghubungi anak-anaknya dan tidak menerima sebarang kemas kini daripada bekas suaminya. Whitney yang pada awalnya menyangka bahawa Travis hanya lewat menghantar anak-anak bertindak membuat laporan polis apabila hari berganti malam dan tiada khabar diterima. Pihak polis kemudian memulakan pencarian menyeluruh tetapi tanpa bantuan sistem AMBER Alert yang lazimnya diaktifkan dalam kes penculikan kanak-kanak.

Selepas hampir tiga hari hilang tanpa jejak, pihak berkuasa akhirnya menjumpai mayat ketiga-tiga kanak-kanak itu pada 2 Jun 2025 di kawasan Rock Island Campground, Douglas County yakni kira-kira 20 batu dari bandar Wenatchee. Penemuan tragis itu dibuat selepas polis menemui trak milik Travis Decker yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan berhampiran kawasan hutan. Di dalam trak tersebut, terdapat tempat duduk kanak-kanak, beberapa selimut, sisa makanan dan lebih meresahkan ialah kesan cap tangan berdarah yang sudah mulai kering pada permukaan dalaman pintu kenderaan.
Siasatan awal oleh pihak forensik mendapati bahawa ketiga-tiga kanak-kanak tersebut meninggal dunia akibat asfiksia iaitu keadaan di mana mangsa kekurangan oksigen yang membawa kepada kematian. Laporan autopsi menunjukkan tiada tanda-tanda dadah, racun atau serangan seksual tetapi trauma fizikal akibat dicekik atau ditutup saluran pernafasan secara paksa. Tidak ada kesan pergelutan ketara dan nereka dipercayai dibunuh seorang demi seorang dalam keadaan tidak berdaya.

Pihak berkuasa kini sedang memburu Travis Decker yang hilang tanpa jejak selepas insiden itu. Dia disenaraikan sebagai suspek utama dan dikeluarkan waran tangkap atas tuduhan pembunuhan darjah pertama dan penculikan tiga kanak-kanak. Menurut kenyataan polis, Travis dianggap berbahaya dan mungkin bersenjata. Orang awam diminta tidak mendekatinya sekiranya terlihat dan terus menghubungi pihak berkuasa dengan segera.
Travis Decker merupakan bekas anggota tentera yang pernah berkhidmat di luar negara dan difahamkan mengalami masalah kesihatan mental sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selepas berpisah dengan Whitney, dia tidak mempunyai kediaman tetap dan dipercayai hidup berpindah-randa dengan tidur dalam kenderaan atau berkhemah di lokasi terpencil. Walaupun dalam keadaan sedemikian, mahkamah masih membenarkan lawatan berkala bersama anak-anak tanpa pengawasan.
Dalam temu bual bersama media tempatan, Whitney Decker menyuarakan kesedihannya dan kemarahannya terhadap sistem undang-undang keluarga yang menurutnya gagal melindungi anak-anak. “Saya sudah maklumkan banyak kali kepada peguam dan mahkamah bahawa Travis tidak stabil. Namun mereka kata saya hanya emosional dan mahu memutuskan hubungan bapa-anak. Kini anak-anak saya telah tiada,” ujar Whitney dalam linangan air mata.

Sejurus selepas berita penemuan mayat tersebar, orang ramai mula mengadakan perhimpunan dan nyalaan lilin sebagai tanda solidariti. Kempen kutipan dana awam yang dilancarkan oleh seorang kenalan keluarga di platform GoFundMe berjaya mengumpulkan lebih USD 347 000 dalam masa dua hari untuk membantu kos pengebumian, yuran guaman dan sokongan psikologi untuk Whitney.
Reaksi terhadap tindakan polis yang tidak mengaktifkan AMBER Alert turut mendapat perhatian meluas. Menurut kenyataan Sheriff tempatan, pihak mereka tidak menemui bukti kukuh bahawa kanak-kanak itu diculik atau dalam bahaya segera ketika laporan awal dibuat. Walau bagaimanapun, selepas tekanan daripada media dan orang awam, pihak polis mengakui bahawa mereka mungkin terlepas peluang untuk bertindak lebih awal dan kini menyemak semula protokol tindakan kecemasan mereka.
Sementara itu, siasatan masih giat dijalankan. Beberapa agensi persekutuan termasuk FBI turut terlibat dalam pencarian Travis Decker yang dipercayai masih berada dalam kawasan barat laut negeri Washington. Pihak berkuasa turut mendapatkan bantuan orang awam dan telah melepaskan beberapa gambar serta maklumat fizikal Travis kepada media.
Catat Ulasan for "Tiga Beradik: Hilang Selepas Lawatan Bersama Bapa, Ditemui Mati Di Tapak Perkhemahan"