Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

JERUT ISTERI DENGAN SELIMUT HINGGA MATI


     INDONESIA – Sebuah kejadian ngeri telah berlaku pada awal Jun 2025 di mana seorang suami tergamak membunuh isterinya sendiri dengan cara menjerut leher mangsa menggunakan selimut. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Dusun Solongan, Desa Saletto, Kecamatan Simboro, Kabupaten Mamuju.

    Mangsa iaitu Mardina yang berusia 38 tahun dipercayai telah dibunuh di kediaman mereka sendiri dalam kejadian yang berlaku pada waktu malam ketika suasana di sekitar kampung itu tenang. Berdasarkan siasatan awal pihak polis, suspek didakwa bertindak sedemikian kerana dilanda rasa cemburu dan marah terhadap isterinya yang dikatakan masih menjalin hubungan dengan bekas suaminya atas alasan tertentu yang belum dijelaskan sepenuhnya kepada umum. Difahamkan hubungan mereka sebagai suami isteri sudah lama bergolak tetapi tiada siapa yang menyangka ia akan berakhir dengan kejadian pembunuhan.

     Menurut Ketua Polis Daerah Mamuju, pelaku dipercayai menjerut leher isterinya menggunakan selimut ketika mangsa sedang berada di bilik. Mangsa tidak sempat melawan atau meminta tolong kerana jerutan berlaku dengan pantas dan dalam keadaan senyap. Siasatan forensik mengesahkan bahawa punca kematian adalah akibat kekurangan oksigen selepas leher dijerat dengan kuat menggunakan selimut tebal yang biasa digunakan mereka semasa tidur.

     Apa yang lebih mengejutkan yakni selepas membunuh, pelaku tidak melarikan diri serta-merta. Dia sempat menutup tubuh isterinya dengan selimut yang sama, seolah-olah cuba menyembunyikan jenayah tersebut. Namun selepas menyedari kehadiran orang lain di rumah yang mula mencurigai keadaan, Bidin bertindak melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran untuk mengelakkan diri daripada ditahan pihak berkuasa.

     Penduduk kampung yang menyedari kejadian itu segera menghubungi pihak polis. Pasukan polis yang menerima laporan terus melancarkan operasi memburu suspek yang dipercayai masih berada dalam lingkungan kawasan hutan desa tersebut. Operasi membabitkan beberapa anggota polis dan sukarelawan kampung berjaya menemui suspek selepas kira-kira empat jam pencarian intensif dilakukan. Semasa penangkapan tersebut dibuat, suspek berada dalam keadaan gelisah dan ketakutan tetapi tidak memberikan sebarang tentangan.

     Walau bagaimanapun, proses penahanan tidak berjalan lancar sepenuhnya. Apabila penduduk kampung mengetahui bahawa suspek telah berjaya ditangkap, sebilangan besar mereka berkumpul dan cuba untuk menyerang pelaku. Rasa marah dan kecewa penduduk terhadap tindakan kejam suami terhadap isterinya menyebabkan suasana menjadi tegang. Mujur anggota polis yang bertugas berjaya mengawal keadaan dan membawa suspek keluar dari kawasan itu dengan selamat untuk dibawa ke balai polis bagi tindakan lanjut.

     Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lebih mendalam terhadap kes ini termasuk mengambil keterangan saksi-saksi yang berada berhampiran rumah ketika kejadian serta ahli keluarga terdekat mangsa dan pelaku. Menurut beberapa sumber, pasangan ini pernah bergaduh secara terbuka sebelum ini tetapi tiada siapa menyangka bahawa konflik tersebut akan berakhir dengan pembunuhan yang begitu kejam.

     Jenazah mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan kemudiannya diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian. Keluarga mangsa masih dalam keadaan terkejut dan trauma dengan kejadian tersebut. Mereka turut menyuarakan harapan agar pelaku dikenakan hukuman yang setimpal atas perbuatan zalim yang telah meragut nyawa seorang wanita yang juga ibu kepada beberapa orang anak.

     Pelaku kini bakal berdepan dengan hukuman berat mengikut undang-undang jenayah Indonesia atas kesalahan membunuh dan jika disabitkan kesalahan, dia berkemungkinan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atau hukuman mati yakni bergantung kepada keputusan mahkamah kelak.

Catat Ulasan for "JERUT ISTERI DENGAN SELIMUT HINGGA MATI"