Kisah Amit Jethwa yang Dibunuh kerana Tegak Keadilan

Pada tahun 2010, Jethwa telah mengambil langkah drastik apabila memfailkan petisyen awam di Mahkamah Tinggi Gujarat yang secara terbuka menamakan seorang ahli politik berpengaruh dari Parti Bharatiya Janata (BJP) iaitu Dinu Solanki sebagai antara individu yang terlibat dalam kegiatan perlombongan haram tersebut. Tindakan berani ini membawa risiko besar kerana dia menentang kepentingan mereka yang mempunyai kuasa, pengaruh dan sumber yang luas. Namun semangatnya untuk menegakkan keadilan dan kebenaran tidak pernah luntur sehinggalah pada hari dia dibunuh.

Pada 20 Julai 2010, Amit Jethwa ditembak mati secara kejam oleh dua lelaki bermotosikal betul-betul di luar kompleks Mahkamah Tinggi Gujarat di Ahmedabad. Serangan ini berlaku hanya beberapa hari selepas dia memfailkan petisyen terhadap Solanki dan pihak berkaitan. Pembunuhan itu mengejutkan negara dan mencetuskan kemarahan masyarakat sivil serta komuniti aktivis. Walau bagaimanapun, siasatan awal oleh pihak polis Gujarat dipertikaikan kerana dilihat tidak serius serta berat sebelah selain langsung tidak menyentuh kaitan Dinu Solanki meskipun motif pembunuhan dan petunjuk-petunjuk awal jelas menunjukkan kemungkinan peranannya.
Akibat tekanan berterusan daripada keluarga mangsa, aktivis dan media, Mahkamah Tinggi Gujarat akhirnya memerintahkan agar siasatan kes ini diserahkan kepada Biro Siasatan Pusat (CBI) pada September 2012. CBI kemudiannya membuka semula siasatan dan menemui bukti kukuh yang akhirnya membawa kepada penangkapan Dinu Solanki pada November 2013. Setelah bertahun-tahun perbicaraan yakni pada 7 Jun 2019, Mahkamah CBI menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Solanki dan enam lagi individu atas kesalahan membunuh serta berkonspirasi melakukan pembunuhan tersebut. Kemenangan ini disambut sebagai kejayaan besar dalam perjuangan menentang kekebalan politik terhadap jenayah.
![]() |
Dinu Solanki |
Cuma keadilan itu terbukti tidak kekal lama. Pada 6 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Gujarat membuat keputusan mengejutkan dengan membatalkan semua sabitan terhadap Dinu Solanki dan tertuduh lain lalu membebaskan mereka sepenuhnya. Dalam penghakimannya, panel dua hakim iaitu Hakim A.S. Supehia dan Hakim Vimal K. Vyas menyatakan bahawa siasatan oleh CBI adalah cetek serta berat sebelah manakala keseluruhan proses perbicaraan di mahkamah rendah pula dikatakan telah dijalankan dengan niat awal untuk mensabitkan tertuduh tanpa mempertimbangkan bukti secara adil dan seimbang.
Keputusan ini bukan sahaja membangkitkan kemarahan orang ramai malah turut mencetuskan rasa putus asa dalam kalangan aktivis dan keluarga mangsa. Mahkamah sendiri menyifatkan bahawa kes ini akan dikenang sebagai antitesis kepada prinsip Satyamev Jayate yang bermaksud Kebenaran Akan Menang. Dalam kes ini bagaimanapun kebenaran seolah-olah telah terkubur buat selama-lamanya dikalahkan oleh pengaruh kuasa dan kelemahan sistem keadilan itu sendiri.
Catat Ulasan for "Kisah Amit Jethwa yang Dibunuh kerana Tegak Keadilan"