Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MAYAT DITEMUI DI DERBY: WANITA POLAND YANG HILANG SEJAK 2010 DIPERCAYAI DIBUNUH


     Penemuan mengejutkan mayat manusia di taman sebuah rumah di Normanton, Derby telah mengubah status kehilangan Izabela Helena Zablocka iaitu seorang wanita Poland yang sudah tidak dapat dikesan sejak 15 tahun lalu kepada satu kes pembunuhan.

     Zablocka yang berusia 30 tahun ketika hilang kali terakhir berhubung dengan keluarganya di Poland pada 28 Ogos 2010. Dia telah berhijrah ke United Kingdom pada tahun 2009 untuk bekerja di sebuah kilang pemprosesan ayam, Cranberry Foods yang terletak di Scropton, Derbyshire. Waktu itu, dia tinggal di sebuah rumah di Princes Street, Normanton bersama beberapa individu lain. Walaupun keluarga Izabela cuba menghubunginya berkali-kali selepas kehilangan tersebut, tiada laporan rasmi orang hilang difailkan pada waktu itu. Usaha mereka untuk mencari Izabela tidak pernah terhenti sepenuhnya.

     Pada bulan Mei 2025, satu maklumat baharu yang diterima oleh pihak berkuasa Derbyshire telah membuka semula kes lama ini dan membawa kepada pelancaran siasatan pembunuhan. Maklumat tersebut membawa polis kembali ke alamat di Princes Street, lokasi terakhir Izabela diketahui menetap.

     Pada 2 Jun 2025 yakni selepas beberapa hari menjalankan pencarian di kawasan tersebut, pihak forensik telah menemui mayat manusia yang ditanam di bahagian taman rumah berkenaan. Walaupun proses pengesahan identiti secara rasmi masih dijalankan, pihak polis percaya mayat tersebut adalah milik Izabela Zablocka berdasarkan maklumat awal yang diperoleh. Polis telah pun memaklumkan ahli keluarganya di Poland mengenai penemuan ini dan mereka kini sedang menunggu keputusan akhir daripada ujian DNA serta siasatan lanjut forensik.

     Satu tangkapan telah dilakukan dalam perkembangan terbaharu kes ini. Seorang wanita berusia 39 tahun ditahan semula atas tuduhan membunuh manakala tiga lagi individu iaitu dua wanita berusia 39 dan 43 tahun serta seorang lelaki berusia 41 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan. Polis turut menyeru kepada orang ramai khususnya mereka yang mungkin mempunyai maklumat tentang pergerakan Izabela sekitar bulan Julai dan Ogos tahun 2010 agar tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.


     Crimestoppers UK, sebuah organisasi bebas yang membantu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa, telah menawarkan ganjaran sebanyak £20 000 (lebih RM120 000) kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat yang membawa kepada sabitan dalam kes ini. Ganjaran ini sah sehingga 27 Ogos 2025.

     Detektif Inspektor Kane Martin dari Pasukan Siasatan Jenayah Besar Derbyshire menyatakan bahawa pihaknya komited untuk mendapatkan keadilan buat keluarga Izabela.

    “Sudah terlalu lama keluarga Izabela menunggu jawapan. Kami tahu ramai pihak mungkin menyimpan maklumat penting sejak bertahun-tahun dan sekarang adalah masa untuk berkongsi apa sahaja yang anda tahu. Ini bukan sekadar kes jenayah, ini tentang memberikan penutupan kepada satu keluarga yang sudah lama menanggung derita,” katanya.

     Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa sebarang maklumat yang dikemukakan akan dikendalikan secara sulit, dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Crimestoppers atau talian khas yang disediakan oleh polis.

Catat Ulasan for "MAYAT DITEMUI DI DERBY: WANITA POLAND YANG HILANG SEJAK 2010 DIPERCAYAI DIBUNUH "