KISAH PEMBUNUHAN KEJAM LIMA SEKELUARGA DI HUALIEN
![]() |
Kredit Gambar : Alex - Crime Story |
Rumah sepatutnya menjadi tempat perlindungan dan ketenangan bagi seorang anak. Namun pada tahun 2006 di Ji’an, Hualien, Taiwan, lima orang adik-beradik telah ditemui mati dalam keadaan memilukan di bilik mandi rumah mereka sendiri sekali gus menjadikan kediaman itu lokasi salah satu kes pembunuhan paling mengerikan dalam sejarah moden negara tersebut.
Kisah bermula pada 9 September 2006 apabila pihak polis dikejutkan dengan penemuan lima mayat kanak-kanak di sebuah rumah di Ji’an Township, Hualien. Semua mangsa merupakan anak kepada pasangan yang dikenali sebagai Liu Chih-chin dan Lin Chen-mi. Dua daripada mangsa adalah anak lelaki Liu hasil dari perkahwinan terdahulu dengan masing-masing berumur 17 dan 18 tahun. Tiga lagi ialah anak perempuan hasil perkahwinan Liu dan Lin yang berumur 12, 9 dan 8 tahun. Penemuan kelima-lima mayat ini dilakukan di dalam bilik mandi. Keadaan mayat-mayat tersebut cukup menyayat hati di mana tangan serta kaki diikat dengan dawai, mulut ditampal pita pelekat dan kepala ditutup dengan beg plastik. Lebih mengejutkan, pintu serta tingkap bilik mandi turut dilekatkan dengan pita pelekat seolah-olah ada cubaan untuk menghalang sesiapa daripada mendengar jeritan atau melarikan diri.
Siasatan awal mendapati tiada sebarang tanda pergelutan di tempat kejadian manakala hasil bedah siasat mengesahkan bahawa semua mangsa tidak diracun atau dibius terlebih dahulu. Ini menunjukkan mereka masih dalam keadaan sedar semasa dibunuh. Kaedah pembunuhan ini perlahan dan menyeksakan. Ketiadaan kesan pergelutan menimbulkan persoalan besar iaitu tentang bagaimana mereka boleh dibunuh tanpa melawan? Teori paling munasabah ialah mereka dibunuh seorang demi seorang dalam tempoh yang berbeza yakni mungkin dalam beberapa hari bagi mengelakkan yang lain menyedari atau bertindak melawan. Ini juga membuka kemungkinan bahawa si pelaku adalah individu yang dikenali dan dipercayai oleh mangsa dengan kemungkinan sama ada ibu atau bapa mereka sendiri. Lebih dahsyat, terdapat juga kemungkinan bahawa sebahagian daripada mangsa menyaksikan apa yang terjadi kepada adik-beradik mereka terlebih dahulu sebelum tiba giliran sendiri.
Pada waktu yang sama, ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut, Liu Chih-chin dan isterinya Lin Chen-mi dilaporkan telah hilang tanpa jejak. Pihak berkuasa segera melancarkan operasi mencari dan kereta pasangan itu ditemui berhampiran sebuah stesen kereta api. Walau bagaimanapun, tiada sebarang petunjuk lanjut mengenai keberadaan mereka. Di rumah keluarga itu, polis menemui beberapa nota tulisan tangan yang mendakwa anak-anak mereka telah diculik oleh sindiket tertentu. Namun, nota tersebut disyaki ditulis sendiri oleh salah seorang daripada pasangan itu sebagai helah untuk mengaburi pihak berkuasa.
Siasatan kemudiannya menemui bahawa Liu Chih-chin sedang menghadapi masalah kewangan yang serius, dengan hutang mencecah sehingga NT$3 juta (lebih RM430 000). Ini menimbulkan teori bahawa tekanan kewangan mungkin menjadi punca utama kepada tindakan drastik itu. Cuma ramai dalam kalangan penyiasat tidak rasmi meragui bahawa tekanan hutang semata-mata boleh membawa kepada pembunuhan kejam terhadap anak-anak sendiri terutama sekali apabila tiada rekod keganasan atau masalah mental direkodkan terhadap pasangan tersebut sebelum ini.
Kes ini menjadi semakin misteri apabila tidak ada sebarang kesan atau berita mengenai pasangan Liu dan Lin selama hampir sembilan tahun selepas kejadian. Namun pada bulan Jun 2015, satu penemuan mengejutkan berlaku apabila seorang pemburu menemui rangka manusia di kawasan hutan pergunungan berhampiran Ji’an yang tidak jauh dari lokasi asal rumah keluarga Liu. Pemeriksaan forensik dan ujian DNA mengesahkan bahawa rangka-rangka tersebut adalah milik Liu Chih-chin dan Lin Chen-mi. Di lokasi yang sama, pihak polis turut menemui beg tidur dan botol racun perosak buatan tahun 2006 sekali gus membawa kepada kesimpulan bahawa pasangan itu mungkin telah membunuh diri sejurus selepas membunuh anak-anak mereka.
Kesimpulan rasmi ini bagaimanapun tidak memuaskan ramai pihak. Spekulasi tentang kemungkinan pembunuhan ini dilakukan dengan bantuan pihak ketiga mula berlegar. Terdapat khabar angin yang mengaitkan seorang pegawai polis yang mempunyai urusan kewangan dengan Liu sebagai salah seorang individu yang mungkin terlibat secara tidak langsung. Wujud juga teori yang menyatakan bahawa Liu dan Lin mungkin telah dipaksa membunuh anak-anak mereka atas sebab tertentu sebelum akhirnya membunuh diri untuk menutup kebenaran.
Walaupun pihak berkuasa telah menutup kes ini sebagai satu insiden pembunuhan-bunuh diri, Rakyat Taiwan masih tidak dapat melupakan tragedi ini. Banyak persoalan kekal tidak terjawab seperti mengapa anak-anak itu dibunuh dengan cara yang begitu menyeksakan? Adakah Liu dan Lin benar-benar bertanggungjawab sepenuhnya atau mereka sendiri merupakan mangsa sesuatu konspirasi yang lebih besar? Jika benar mereka membunuh diri, mengapa mereka memilih untuk melakukannya dengan begitu jauh dari lokasi kejadian dan menunggu hampir seminggu selepas kematian anak-anak mereka?
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM LIMA SEKELUARGA DI HUALIEN"