Gurauan YouTube yang Meragut Nyawa: Kisah Monalisa Perez dan Pedro Ruiz

Pada era digital masa kini, ramai yang berlumba-lumba mencari perhatian di media sosial. Bagi sesetengah individu, platform seperti YouTube dianggap sebagai peluang menjana pendapatan dan kemasyhuran. Cuma dalam keghairahan mengejar tontonan dan langganan, ada yang sanggup mempertaruhkan keselamatan diri demi kandungan yang sensasi. Inilah yang berlaku dalam kes menyayat hati melibatkan pasangan muda dari Minnesota, Amerika Syarikat iaitu Monalisa Perez dan Pedro Ruiz III di mana satu gurauan untuk video YouTube berakhir dengan tragedi berdarah yang meragut nyawa.
Pedro Ruiz dan Monalisa Perez sememangnya mempunyai impian besar. Kedua-duanya aktif dalam menghasilkan video untuk saluran mereka, merakam aktiviti harian sebagai pasangan muda dan ibu bapa kepada seorang anak kecil. Monalisa yang ketika itu berusia 19 tahun sedang hamil anak kedua mereka. Pedro pula seorang yang gemar mencuba perkara baharu dan sering bertindak sebagai pengarah kepada kandungan video mereka. Dalam usaha menambah tontonan dan meningkatkan jumlah pengikut, Pedro mula merancang aksi-aksi yang lebih berani dan mencabar. Malangnya, idea yang dianggap hebat itu menjadi titik hitam dalam hidup mereka.

Pada 26 Jun 2017, pasangan ini memutuskan untuk merakam satu aksi berisiko tinggi. Pedro ditembak dari jarak dekat menggunakan pistol sebenar kononnya sebagai ujian kalis peluru dengan menggunakan ensiklopedia tebal sebagai pelindung. Pedro meyakinkan Monalisa bahawa buku tersebut cukup kuat untuk menghentikan peluru kononnya dia telah melakukan ujian sebelumnya dengan buku lain dan ia berkesan. Malah menurut laporan kemudian, Pedro dilaporkan memberitahu ahli keluarganya beberapa jam sebelum kejadian bahawa video ini akan membuatkan mereka terkenal. Walaupun Monalisa ragu-ragu, dia akhirnya bersetuju kerana Pedro begitu yakin dan mendesaknya untuk melakukannya.
Pada petang itu, mereka memilih kawasan lapang di luar rumah keluarga Pedro di Halstad, Minnesota untuk menjalankan rakaman. Turut berada di lokasi adalah beberapa ahli keluarga mereka termasuk anak sulung mereka yang baru berusia tiga tahun. Pedro memegang buku ensiklopedia itu di dadanya manakala Monalisa berdiri kira-kira satu kaki darinya sambil mengacukan pistol jenis Desert Eagle .50 kaliber yakni antara pistol tangan paling berkuasa di dunia yang lazimnya digunakan untuk memburu haiwan besar seperti rusa dan beruang. Menggunakan kamera merakam detik yang mereka sangka akan membawa kejayaan, maka Monalisa menarik picu senjata api tersebut.

Apa yang berlaku selepas itu tidak seperti yang dijangkakan. Peluru dari pistol tersebut menembusi buku ensiklopedia itu tanpa sebarang halangan yang cukup untuk memperlahankannya. Ia menembusi dada Pedro hingga menyebabkan pendarahan serius dan kecederaan dalaman yang parah. Pedro rebah serta-merta. Monalisa yang terkejut dan panik segera menghubungi 911. Namun apabila paramedik tiba, Pedro sudah tidak dapat diselamatkan. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Seluruh keluarga yang menyaksikan kejadian itu hanya mampu terpaku dalam keadaan tidak percaya bahawa satu rakaman YouTube telah meragut nyawa orang yang mereka sayangi.
Pihak berkuasa segera menahan Monalisa Perez dan menjalankan siasatan lanjut. Dia didakwa atas tuduhan membunuh secara tidak sengaja (second-degree manslaughter). Walaupun ramai berpendapat bahawa dia hanya mangsa dalam eksperimen gila Pedro, sistem perundangan perlu mengambil kira bahawa dia secara fizikal telah menarik picu senjata. Namun penyiasatan juga menunjukkan bahawa Pedro benar-benar percaya bahawa percubaan itu selamat. Malah dia sendiri merancang segalanya dari pemilihan buku, pistol, sudut rakaman hinggalah kepada skrip yang bakal digunakan untuk video mereka. Mesej Twitter terakhir Monalisa beberapa jam sebelum kejadian bahkan berbunyi: "Me and Pedro are probably going to shoot one of the most dangerous videos ever. HIS idea not MINE."

Dalam perbicaraan mahkamah, pihak pendakwa berhujah bahawa penggunaan senjata api sebenar dalam eksperimen berbahaya adalah tindakan cuai yang melampau. Pohak pembela bagaimanapun menyatakan bahawa Monalisa bertindak di bawah tekanan daripada Pedro dan tidak pernah berniat untuk mencederakan, apatah lagi membunuh. Tambahan pula, mereka menyatakan bahawa pasangan itu benar-benar percaya aksi tersebut akan berjaya kerana Pedro telah mencubanya dengan buku lain sebelum ini.
Pada tahun 2018, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara selama 180 hari (6 bulan) ke atas Monalisa Perez. Hukuman itu dijalankan secara berselang-seli selama 30 hari setiap tahun selama enam tahun, di samping 10 tahun pengawasan probasi. Monalisa juga dilarang memiliki senjata api sepanjang tempoh pengawasan dan diwajibkan menghadiri kaunseling trauma. Hakim menyatakan bahawa hukuman ini mengambil kira keseriusan perbuatan tersebut tetapi juga mempertimbangkan situasi sebenar dan trauma yang dialami oleh Monalisa.
Catat Ulasan for "Gurauan YouTube yang Meragut Nyawa: Kisah Monalisa Perez dan Pedro Ruiz"