Kisah Zhang Koukou: Dendam Berdarah Selepas 22 Tahun

Zhang Koukou ialah seorang lelaki dari wilayah Shaanxi, China yang namanya menjadi perhatian umum selepas terlibat dalam kes pembunuhan tiga orang jiran pada tahun 2018. Cuma untuk memahami sepenuhnya latar belakang kes ini, ia perlu ditelusuri semula kejadian yang berlaku pada tahun 1996 yakni ketika Zhang masih berusia 13 tahun. Waktu itu, ibunya terlibat dalam satu pertengkaran dengan jiran mereka iaitu Wang Zhengjun yang ketika itu berumur 17 tahun.
Pertengkaran antara ibu Zhang Koukou dan Wang Zhengjun dipercayai berpunca daripada isu remeh tetapi berakhir dengan kejadian tragik. Wang Zhengjun memukul ibu Zhang menggunakan kayu sehingga menyebabkan kecederaan parah di kepala. Wanita itu dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya. Wang Zhengjun kemudiannya didakwa dan dikenakan hukuman penjara selama tujuh tahun kerana menyebabkan kematian.

Walaupun tindakan undang-undang telah diambil, keluarga Zhang berasa tidak puas hati dengan hukuman tersebut. Mereka menganggap bahawa hukuman penjara selama tujuh tahun tidak setimpal dengan kehilangan nyawa seorang ibu. Zhang Koukou yang masih remaja pada ketika itu menyimpan rasa marah dan dendam yang mendalam terhadap Wang Zhengjun dan keluarganya. Kejadian itu memberi kesan besar kepada kehidupan Zhang dan membentuk persepsi negatifnya terhadap keadilan undang-undang.
Selepas kejadian tersebut, Zhang Koukou meneruskan kehidupannya seperti biasa. Dia menamatkan persekolahan dan bekerja di bandar. Walau bagaimanapun, dendam terhadap keluarga Wang tidak pernah padam. Dia dilaporkan sering memikirkan insiden yang menyebabkan kematian ibunya terutama apabila kembali ke kampung halaman pada musim perayaan. Setiap kali melihat keluarga Wang menjalani kehidupan seolah-olah tiada apa yang berlaku, perasaan tidak puas hati semakin membuak-buak.
Hinggalah pada 15 Februari 2018 iaitu malam sambutan Tahun Baharu Cina, Zhang Koukou kembali ke kampung untuk melawat pusara ibunya seperti kebiasaan. Namun kali ini, dia membawa bersama sebilah pisau. Pada malam tersebut, Zhang telah bertindak menyerang rumah keluarga Wang. Dalam kejadian itu, dia membunuh tiga orang ahli keluarga berkenaan. Mereka yang dibunuh ialah Wang Zhengjun (yang bertanggungjawab atas kematian ibunya), abang Wang Zhengjun dan bapa mereka. Ketiga-tiga mangsa ditikam hingga mati.

Selepas melakukan pembunuhan itu, Zhang Koukou tidak melarikan diri jauh. Keesokan harinya, dia hadir sendiri ke balai polis dan menyerahkan diri. Zhang turut membawa pisau yang digunakan dalam kejadian tersebut sebagai bukti. Dalam siasatan, dia mengaku bahawa pembunuhan itu berpunca daripada dendam lama akibat kematian ibunya yang tidak pernah mendapat keadilan sewajarnya.
Kes ini menjadi tumpuan media tempatan kerana melibatkan unsur dendam jangka panjang serta persoalan mengenai keadilan sistem perundangan. Ramai netizen di China melahirkan simpati terhadap Zhang Koukou terutama selepas mengetahui latar belakang kisahnya. Ada yang melihat tindakannya sebagai satu bentuk keadilan yang gagal ditegakkan oleh sistem undang-undang dan ada yang menyifatkannya sebagai perbuatan yang tidak wajar walau apa pun alasannya.
Namun dari sudut perundangan, tindakan Zhang tetap diklasifikasikan sebagai pembunuhan dengan niat. Pada 27 Julai 2018, Mahkamah Rakyat Pertengahan di Hanzhong menjatuhkan hukuman mati ke atas Zhang Koukou atas tiga pertuduhan membunuh. Zhang membuat rayuan namun Mahkamah Tinggi Wilayah Shaanxi menolak rayuan tersebut dan mengesahkan hukuman mati. Mahkamah Agung Rakyat China kemudian mengesahkan keputusan itu. Pada 3 Januari 2020, hukuman mati terhadap Zhang dilaksanakan.
Catat Ulasan for "Kisah Zhang Koukou: Dendam Berdarah Selepas 22 Tahun"