Kisah Khamar-Daban: Enam Pendaki Maut Dalam Keadaan Misteri

Di selatan Siberia yang berhampiran sempadan Mongolia, terdapat satu kawasan pergunungan indah bernama Khamar-Daban. Dikenali dengan landskap menghijau, sungai jernih dan denai yang mencabar, kawasan ini sering menjadi lokasi kegemaran para pendaki. Namun pada Ogos 1993, keindahan itu berubah menjadi latar kepada satu kejadian misteri. Enam orang muda rebah seorang demi seorang dalam keadaan yang tidak masuk akal seolah-olah ada kekuatan halus atau ancaman tersembunyi yang menyerang mereka. Kejadian ini dikenali dunia sebagai Insiden Khamar-Daban, satu kisah benar yang menghantui penyiasat, ahli keluarga dan pencinta misteri selama berdekad-dekad.
Pada 2 Ogos 1993, satu kumpulan pendaki muda dari Kazakhstan yang terdiri daripada enam remaja dan seorang jurulatih wanita memulakan ekspedisi ke gunung tersebut. Jurulatih itu ialah Lyudmila Korovina yang juga merupakan pendaki profesional dan pelatih sukan berpengalaman. Dikenali kerana ketegasannya dan disiplin tinggi, dia sering mengendalikan latihan ekstrem sebagai sebahagian daripada latihan survival. Enam orang anak didik Korovina yang turut serta ialah Sasha Krysin, Tatyana Filipenko, Denis Shvachkin, Victoria Zalesova, Timur Beletsky dan seorang lagi pelatih bernama Valentina Utochenko. Mereka menyertai pendakian ini sebagai ujian fizikal dan mental mereka.
![]() |
Lyudmila Korovina |
Kumpulan ini bukanlah satu-satunya kumpulan pendaki di kawasan itu. Malah satu lagi kumpulan yang juga di bawah seliaan Korovina tetapi diketuai oleh jurulatih lain turut memulakan pendakian secara berasingan dalam masa yang hampir sama. Menurut laporan, dua kumpulan itu dijadualkan untuk bertemu semula selepas ekspedisi tamat. Perjalanan awal berjalan lancar. Cuaca ketika itu menyenangkan dan para pendaki kelihatan gembira serta tidak menunjukkan tanda-tanda tekanan fizikal.
Walau bagaimanapun, semuanya berubah secara drastik pada 5 Ogos. Berdasarkan laporan daripada satu-satunya mangsa yang terselamat, Valentina Utochenko, pada hari tersebut cuaca tiba-tiba bertukar buruk. Ribut kuat, hujan lebat dan suhu yang menjunam dengan pantas menenggelamkan kawasan itu dalam suasana kacau-bilau. Ketika mereka cuba menuruni cerun di kawasan dataran tinggi, Sasha Krysin yakni seorang pendaki lelaki muda dalam kumpulan itu tiba-tiba rebah.

Menurut Valentina, Sasha mengerang kesakitan sebelum mula berdarah dari mata, telinga dan mulut. Dia menggigil, menggelepar dan memuntahkan buih berdarah sambil menjerit. Simptomnya sangat ekstrem dan pantas. Dalam beberapa minit, dia mati di hadapan semua orang dan ia hanyalah permulaan. Tidak lama kemudian, seorang demi seorang daripada ahli kumpulan itu mula mengalami simptom serupa. Mereka menjerit kesakitan, mengalami sawan, memegang dada dan tekak seperti sukar bernafas. Mata mereka merah dan berdarah dengan beberapa orang daripada mereka memukul kepala sendiri seolah-olah dilanda kegilaan. Salah seorang remaja dilaporkan cuba menggigit tangannya sendiri sebelum rebah. Dalam tempoh masa kurang dua jam, lima nyawa sudah melayang dalam keadaan yang sangat aneh dan menyayat hati.
Sementara itu, Korovina sendiri cuba menyelamatkan anak didiknya tetapi tubuhnya tidak dapat lagi menahan tekanan emosi. Dia dilaporkan mengalami serangan jantung ketika memeluk salah seorang remaja yang sedang meregang nyawa lalu mati di tempat kejadian.
Valentina Utochenko yang menyaksikan semua itu menjadi histeria. Dia berlari keluar dari kawasan kejadian dengan tidak membawa barang keperluan asas seperti makanan, khemah atau kompas. Berpakaian nipis dan dalam keadaan basah kuyup, Valentina bersembunyi di dalam semak dan hutan selama beberapa hari. Dia hidup dengan minum air sungai dan makan beri liar. Valentina tidak tidur malam kerana diburu ketakutan dan bayangan wajah-wajah rakan-rakannya yang mati secara menyeksakan. Pada hari keempat selepas kejadian yakni pada 9 Ogos, Valentina terserempak dengan sekumpulan pengayuh kayak berhampiran sungai dan diselamatkan. Dia yang dalam keadaan trauma dan dehidrasi hanya mampu menyebut bahawa semua kawannya sudah mati.
![]() |
Valentina Utochenko |
Apabila pasukan penyelamat tiba di lokasi, mereka menemui mayat keenam-enam mangsa. Kedudukan mayat-mayat itu menambahkan lagi tanda tanya dengan ada yang terbaring rapat, ada yang berasingan jauh dari kumpulan dan semuanya menunjukkan ekspresi wajah ketakutan dan kesakitan. Korovina sendiri mati dalam posisi seperti sedang melindungi remaja lelaki yang meninggal dalam pelukannya. Pemeriksaan awal mendapati tidak ada tanda kecederaan luaran yang mencurigakan selain pendarahan dan lebam pelik pada beberapa mayat. Hasil bedah siasat kemudian menyatakan lima pendaki mati akibat hipotermia manakala Korovina disahkan mati akibat serangan jantung. Namun simptom seperti muntah darah, pendarahan dari organ dalaman dan kejang otot tidak dijelaskan dalam laporan rasmi.
Kejadian ini telah mengejutkan kerajaan Rusia dan komuniti pendaki. Pelbagai teori dikemukakan. Salah satunya ialah keracunan makanan atau tumbuhan liar. Ada kemungkinan mereka memakan tumbuhan beracun seperti hellebore atau cendawan toksik. Valentina sendiri bagaimanapun menafikan mereka makan sesuatu yang pelik dan dia sendiri tidak mengalami sebarang simptom.

Teori kedua ialah pendedahan kepada gas atau bahan kimia berbahaya. Ada kemungkinan kumpulan itu secara tidak sengaja melintasi kawasan ujian tentera rahsia atau bahan sisa toksik dari kawasan industri. Namun ini hanyalah spekulasi kerana tiada bukti atau pencemaran yang direkodkan secara rasmi di kawasan berkenaan. Ada juga yang berpendapat bahawa Korovina menolak penggunaan peralatan moden dan gagal mengesan perubahan cuaca serta tekanan fizikal remaja-remaja tersebut hingga menyebabkan badan mereka "diserang" secara serentak. Cuma penjelasan ini gagal menyelesaikan keanehan simptom yang terlalu ekstrem untuk hanya dikaitkan dengan cuaca sejuk. Lebih pelik lagi, ada juga teori yang mengatakan kejadian ini mungkin berpunca daripada gangguan paranormal atau kewujudan tenaga magnetik luar biasa di kawasan gunung itu. Teori ini timbul kerana keadaan mayat-mayat yang mati dalam cara yang ganjil selain adanya persamaan dengan kes Dyatlov Pass, satu insiden misteri lain yang berlaku kira-kira 30 tahun sebelum itu.
Hari ini bersamaan dengan lebih tiga dekad selepas insiden itu, misteri kematian enam pendaki di Khamar-Daban masih belum terjawab. Valentina Utochenko tidak pernah lagi mendaki dan hidupnya dikaburkan oleh trauma yang tidak dapat dihapuskan. Dia jarang muncul di media dan hanya sesekali berbicara tentang pengalaman mengerikan yang dialaminya.
Catat Ulasan for "Kisah Khamar-Daban: Enam Pendaki Maut Dalam Keadaan Misteri"