Kisah Cinta Terlarang Long Island Lolita

Pada tahun 1992, Amerika Syarikat digemparkan dengan satu kes cinta terlarang yang berubah menjadi cubaan pembunuhan dan seterusnya menjadi skandal nasional. Ia melibatkan seorang remaja bawah umur yang terdesak untuk mendapatkan lelaki idamannya hingga sanggup menembak isteri lelaki itu di muka. Gadis itu ialah Amy Fisher, seorang pelajar berusia 17 tahun manakala lelaki tersebut ialah Joey Buttafuoco, seorang lelaki berusia 35 tahun yang sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak.
Hubungan antara Amy dan Joey bermula apabila Amy menghantar keretanya untuk dibaiki di bengkel milik Joey. Perkenalan itu membawa kepada hubungan sulit yang tidak sepatutnya berlaku memandangkan Amy masih di bawah umur dan Joey pula seorang suami dan bapa. Namun hubungan itu diteruskan secara diam-diam. Amy jatuh cinta dan mula terobsesi terhadap Joey. Dia menganggap Mary Jo sebagai penghalang dan mula mencari jalan untuk menghapuskan masalah tersebut. Beberapa kali Amy cuba menghubungi Mary Jo secara rahsia di mana dia memperkenalkan diri sebagai orang lain sebelum mendakwa bahawa Joey sedang curang. Tujuannya jelas supaya Mary Jo meninggalkan Joey dan membuka ruang untuk Amy mengambil tempatnya.

Segala usaha Amy bagaimanapun menemui jalan buntu. Mary Jo tidak mudah percaya dan Joey pula masih kekal dalam rumah tangganya. Obsesinya semakin memuncak hingga membawa kepada keputusan yang mengejutkan. Pada 19 Mei 1992, Amy Fisher memandu ke rumah keluarga Buttafuoco sambil membawa sepucuk pistol. Dia mengetuk pintu dan apabila Mary Jo membuka, Amy memperkenalkan diri sebagai seseorang yang ingin memberitahu perkara penting tentang suaminya. Mereka berbual seketika sebelum Amy mengeluarkan pistol dan menembak Mary Jo di muka. Peluru itu menembusi rahangnya dan hampir meragut nyawanya.
Mary Jo terselamat tetapi mengalami kecederaan serius pada wajah dan perlu menjalani beberapa pembedahan rekonstruktif. Dia juga mengalami trauma emosi yang mendalam. Pihak polis yang menjalankan siasatan akhirnya berjaya menangkap Amy Fisher selepas Mary Jo mengecam wajah penyerangnya. Lebih mengejutkan, penyiasatan mendedahkan bahawa Amy dan Joey memang menjalinkan hubungan sulit. Amy mengaku melakukan cubaan membunuh dan akhirnya dijatuhi hukuman penjara selama 5 hingga 15 tahun namun dibebaskan bersyarat selepas 7 tahun. Joey pula kemudian didakwa atas hubungan seksual dengan gadis bawah umur dan menerima hukuman penjara selama 4 bulan.

Selepas dibebaskan dari penjara pada tahun 1999, Amy Fisher mengejutkan ramai apabila dia dan Joey Buttafuoco kembali berhubung. Mereka muncul bersama dalam beberapa wawancara televisyen termasuk Entertainment Tonight, serta mempersembahkan diri mereka seolah-olah sudah berdamai dan bersedia untuk meneruskan kehidupan. Ramai yang berang dan keliru bagaimana mungkin seorang penjenayah dan mangsa skandal hubungan bawah umur boleh duduk bersama secara mesra di hadapan kamera?
Lebih mengejutkan, mereka juga menandatangani kontrak filem dokumentari mengenai kisah mereka sendiri. Walaupun mereka menafikan sedang menjalinkan hubungan romantik, keintiman dan kebersamaan mereka menimbulkan tanda tanya besar di kalangan orang awam. Tindakan ini dianggap sangat tidak sensitif terutama terhadap Mary Jo yang pernah hampir kehilangan nyawa akibat perbuatan Amy dan dikhianati suaminya sendiri.

Walaupun Mary Jo pernah mempertahankan perkahwinannya selepas kejadian tersebut, dia akhirnya memfailkan penceraian pada tahun 2003. Mary Jo menyatakan bahawa Joey tidak pernah benar-benar berubah. Kesan luka fizikal serta psikologi yang dialami Mary Jo akibat peristiwa tersebut tidak pernah sembuh. Selepas perceraian, Mary Jo tampil ke hadapan untuk berkongsi kisahnya kepada umum termasuk menerbitkan buku dan memberi ceramah tentang penderaan emosi dan pengkhianatan dalam rumah tangga.
Amy Fisher pula cuba membina semula kehidupannya. Dia menulis buku autobiografi selain muncul dalam rancangan realiti dan pada satu ketika mencetuskan kontroversi apabila menceburi industri hiburan dewasa. Joey Buttafuoco juga menggunakan populariti kes ini untuk muncul dalam pelbagai program media. Meskipun sering dikritik, Joey Buttafuoco kelihatan tidak pernah benar-benar menyesali peranannya dalam tragedi tersebut.
Catat Ulasan for "Kisah Cinta Terlarang Long Island Lolita"