Kisah Pembunuhan Kejam Ella Bennet : Dibunuh Abang Sendiri yang Psikopat

Pada malam 4 Februari 2007, satu kejadian ngeri berlaku di bandar Abilene, Texas, Amerika Syarikat. Seorang budak perempuan berusia empat tahun, Ella Bennett, telah dibunuh dengan kejam oleh abangnya sendiri iaitu Paris Lee Bennett yang pada ketika itu baru berusia 13 tahun.
Charity Lee yakni ibu kepada Paris dan Ella, bukanlah wanita biasa. Dia merupakan waris kepada keluarga kaya di Texas yang menyimpan pelbagai rahsia gelap. Semasa kecil, dia hidup dalam suasana penuh tekanan emosi. Ibunya yang bernama Kyla Bennett pernah dituduh merancang pembunuhan suami sendiri (bapa Charity) tetapi akhirnya dilepaskan kerana kekurangan bukti kukuh. Kejadian ini menyebabkan Charity hidup dalam trauma dan mengalami tekanan emosi sejak awal kehidupan.
Charity mula terjebak dengan dadah ketika usia remaja sebagai satu bentuk pemberontakan senyap. Pada usia muda, dia sudah berdepan dengan ketagihan heroin dan kokain selain pernah menjalani pemulihan beberapa kali sebelum akhirnya insaf setelah mengandungkan Paris. Charity bertekad untuk memulakan hidup baru di mana dia ingin membesarkan anaknya dengan kasih sayang meskipun luka dalam dirinya belum sembuh sepenuhnya.

Tentang Paris, dia bukan remaja biasa. Paris mempunyai level IQ 141, lebih tinggi daripada Albert Einstein. Namun di sebalik kepintarannya itu, Paris menyimpan sisi gelap yang menakutkan. Menurut laporan psikologi selepas kejadian, Paris menunjukkan kecenderungan psikotik sejak kecil. Dia pernah mendera haiwan, menunjukkan fantasi ganas dalam lukisan dan menyimpan dendam mendalam terhadap ibunya. Walaupun Paris aktif dalam akademik dan sosial di sekolah, dunia dalam fikirannya adalah sangat berbeza yang penuh kemarahan, manipulatif dan sejuk tanpa empati. Lebih menyedihkan sebelum kejadian pembunuhan, Paris pernah beberapa kali menjalani sesi kaunseling dan terapi kerana masalah tingkah laku. Walau bagaimanapun, sistem kebajikan ketika itu gagal mengesan tahap bahaya sebenar yang ada dalam dirinya.
Pada malam kejadian, Charity sedang bekerja di restoran tempat dia menjadi pengurus. Kedua-dua anaknya berada di rumah di bawah jagaan seorang pengasuh. Paris bagaimanapun berjaya memujuk pengasuh itu untuk pulang awal dengan alasan dia sudah besar dan mampu menjaga Ella. Sebaik pengasuh keluar, Paris melaksanakan rancangannya. Menggunakan senjata tajam, dia masuk ke bilik Ella dan menikam adiknya sebanyak 17 kali dengan sebahagiannya ke bahagian dada dan leher. Serangan itu sangat ganas sehingga seorang penyiasat kemudian menggambarkannya sebagai perbuatan dilakukan dengan niat penuh kebencian dan bukan impuls sesaat.
Selepas membunuh, Paris menghubungi rakan selama enam minit dipercayai untuk menenangkan diri. Sesudah itu, barulah dia menelefon 911 dan berpura-pura panik. Dalam rakaman panggilan itu, Paris mendakwa dia melihat Ella sebagai raksasa dan berpura-pura memberi CPR mengikut arahan operator walhal dia tahu adiknya sudah tidak bernyawa.

Ketika disoal siasat, Paris akhirnya mengaku bahawa dia membunuh Ella bukan kerana benci pada adiknya, tetapi untuk menghukum ibunya. Kata-katanya yang mengerikan kepada pegawai penyiasat berbunyi, "If I killed her, my mother would suffer and I wanted her to suffer." (Untuk membuat ibu saya menderita, saya perlu membunuh adik saya. Dan saya mahu ibu saya menderita.) Paris sedar bahawa dengan membunuh Ella, dia akan menghancurkan jiwa ibunya dan itu adalah niat utamanya. Ia
Paris Lee Bennett mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 40 tahun. Hukuman tersebut ialah paling maksimum yang boleh dikenakan ke atas pesalah juvana di Texas. Disebabkan umurnya masih di bawah 14 tahun, dia tidak boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup. Pada usia 19 tahun, Paris dipindahkan ke penjara dewasa. Laporan psikiatri mendapati Paris menunjukkan ciri-ciri psikopati yang jelas iaitu tiada rasa bersalah, tinggi tahap manipulasi dan empati sifar. Paris sendiri mengakui bahawa sejak usia 7 tahun, dia sudah membayangkan untuk membunuh orang. Malah sebelum kejadian, dia telah menyusun pelan untuk membunuh beberapa guru di sekolahnya namun tidak diteruskan kerana berasa ia tidak akan cukup menyakitkan hati ibunya.

Selepas pembunuhan itu, dunia Charity Lee runtuh sepenuhnya. Dia kehilangan anak perempuan yang paling disayangi dan pada masa yang sama, anak lelaki yang dia besarkan dengan penuh kasih sayang menjadi pembunuh. Ironinya, Charity tetap cuba mengekalkan hubungan dengan Paris dengan harapan suatu hari anaknya akan berubah. Dia mengunjunginya secara tetap di penjara, menulis surat dan berdoa untuk perubahan.
Namun pada tahun 2021, Charity akhirnya memutuskan hubungan dengan Paris. Dia mendapati anak lelakinya itu menjalin hubungan dengan seorang wanita yang sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan merancang pembunuhan beramai-ramai di sekolah. Bagi Charity, itu bukti bahawa anaknya masih berbahaya dan tidak menunjukkan sebarang penyesalan sejati. Ketika ini, Charity hidup bersama anak lelaki keduanya (yang dilahirkan selepas kejadian) dan bersedia untuk berpindah ke tempat baru sekiranya Paris dibebaskan. Paris akan layak memohon parol pada tahun 2027 dan ketakutan terhadap kemungkinan dia bebas menghantui hidup Charity setiap hari.

Kisah mengerikan ini didokumentasikan dalam filem The Family I Had (2017) yang menceritakan perjuangan Charity sebagai seorang ibu yang terpaksa memilih antara cinta dan keadilan. Dokumentari ini menyelami sisi psikologi Paris dan trauma mendalam yang dialami ibunya. Charity juga telah menubuhkan The Ella Foundation, sebuah organisasi yang membantu keluarga mangsa jenayah ganas dan mereka yang mengalami trauma psikologi. Ia merupakan bentuk penghormatan kepada mendiang Ella.
Catat Ulasan for "Kisah Pembunuhan Kejam Ella Bennet : Dibunuh Abang Sendiri yang Psikopat"