Penyampai TV China yang Hilang dan Dakwaan Mayatnya Dipamerkan

Zhang Weijie merupakan seorang penyampai televisyen terkenal di China pada era 1990-an. Dia dikenali sebagai wanita yang bukan sahaja cantik tetapi juga bijak dan berkarisma sekali gus menjadikan dirinya antara personaliti yang disegani dalam dunia penyiaran tempatan. Kerjayanya sedang memuncak dan wajahnya sering terpampang di kaca televisyen dalam pelbagai program rasmi serta acara negara. Walau bagaimanapun, kemasyhuran Zhang Weijie tidak berpanjangan. Pada tahun 1998, satu peristiwa mengejutkan berlaku. Dia dilaporkan hilang secara misteri tanpa sebarang jejak. Lebih mencurigakan, kehilangannya berlaku ketika dia sedang hamil lapan bulan dan tidak ada satu pun laporan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa atau media tempatan berkenaan kehilangannya.
Desas-desus mula tersebar bahawa Zhang Weijie mempunyai hubungan sulit dengan seorang pegawai tertinggi Parti Komunis China (CPC). Dakwaan ini walaupun tidak disahkan memberi petunjuk kepada motif kehilangannya yang dianggap sangat mencurigakan. Ada yang percaya bahawa apabila kehamilannya mula kelihatan, ia menjadi ancaman kepada reputasi dan kedudukan politik pegawai terbabit. Lantaran itu, terdapat teori yang mengatakan Zhang Weijie mungkin telah dihapuskan bagi menutup aib dan menjaga rahsia perhubungan terlarang tersebut. Biarpun spekulasi demi spekulasi terus tersebar, tiada satu pun yang mampu dibuktikan secara sah. Zhang Weijie seolah-olah lenyap begitu sahaja seakan ditelan bumi.

Lebih satu dekad kemudian, kemunculan satu pameran anatomi yang dikenali sebagai Body Worlds menimbulkan semula minat orang ramai terhadap kisah kehilangan Zhang Weijie. Pameran yang diasaskan oleh ahli anatomi Jerman, Dr. Gunther von Hagens ini menampilkan mayat-mayat manusia sebenar yang diawet menggunakan teknik plastinasi yakni satu kaedah untuk menggantikan cecair badan dengan polimer agar tubuh kekal utuh dan tidak reput. Tujuannya adalah untuk pendidikan dan pembelajaran anatomi kepada orang awam. Namun dalam salah satu pameran tersebut, terdapat satu mayat yang mengejutkan ramai pengunjung iaitu seorang wanita Cina yang sedang hamil, dipamerkan dalam keadaan duduk dengan janin jelas kelihatan dalam kandungannya.
Ramai yang mula membuat andaian bahawa mayat wanita hamil tersebut sangat menyerupai Zhang Weijie daripada bentuk wajah, potongan rambut, struktur tubuh hinggalah kepada latar etniknya di mana kesemuanya hampir sama. Lebih menakutkan, mayat itu dikatakan berasal dari China, sebuah negara yang ketika itu sedang berdepan dengan dakwaan antarabangsa mengenai penggunaan mayat tahanan dan individu yang dihukum mati secara rahsia untuk tujuan perubatan dan komersial. Pihak penganjur pameran mendakwa bahawa semua mayat diperoleh secara sah dan dengan persetujuan tetapi penyiasatan bebas oleh wartawan dan aktivis hak asasi manusia mendedahkan kemungkinan besar bahawa mayat-mayat ini termasuk wanita hamil itu mungkin berasal dari penjara-penjara China tanpa sebarang kebenaran daripada si mati atau keluarga mereka.

B Teori tentang Zhang Weijie terus berkembang. Ada yang percaya bahawa dia telah diculik dan dibunuh secara rahsia oleh pihak tertentu dan mayatnya diserahkan atau dijual kepada organisasi luar untuk dijadikan bahan pameran. Para pengkritik mendesak agar penyiasatan lanjut dijalankan terhadap pameran tersebut serta asal-usul mayat-mayat yang digunakan. Cuma sehingga kini, tidak ada sebarang tindakan tegas yang diambil oleh kerajaan China mahupun pihak penganjur pameran. Malah mayat wanita hamil itu terus dipertontonkan kepada umum tanpa identiti sebenar yang dikenal pasti.
Kisah kehilangan Zhang Weijie kekal misteri sehingga ke hari ini. Tiada laporan polis dan tiada pengumuman rasmi. Malah keluarganya sendiri tidak pernah tampil di media. Keheningan ini menimbulkan lebih banyak persoalan. Adakah mereka diugut? Atau adakah mereka juga telah dilenyapkan dari pengetahuan umum? Semua ini kekal sebagai tanda tanya.
Catat Ulasan for "Penyampai TV China yang Hilang dan Dakwaan Mayatnya Dipamerkan"