Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Ralph Raines Jr. : Penipuan yang Merobohkan Warisan Keluarga


     Di kawasan Forest Grove, Oregon yang tenang dan terpencil, tinggal seorang lelaki bernama Ralph Raines Jr.. Dia merupakan pewaris tunggal kepada ladang keluarga seluas lebih 1200 ekar yang kaya dengan pokok bernilai tinggi. Dilahirkan pada tahun 1950, Ralph menjalani kehidupan yang sunyi sejak kecil. Ibunya meninggal dunia ketika dia masih kanak-kanak. Sejak itu, Ralph dibesarkan secara keras oleh bapanya iaitu Ralph Raines Sr., seorang lelaki konservatif dan tidak mesra sosial.

     Sejak remaja, Ralph Jr. hidup terasing. Dia tidak pernah meninggalkan ladang untuk mencari pendidikan tinggi atau pekerjaan lain. Hidupnya hanya berkisar antara menjaga ladang pokok, memotong kayu dan menjalankan urusan keluarga secara sederhana. Walaupun keluarganya memiliki harta jutaan dolar, Ralph hidup secara bersahaja yakni tanpa telefon pintar, tanpa rakan rapat dan tidak pernah berkahwin.


     Segalanya berubah pada awal tahun 2000-an apabila bapanya semakin tua dan nyanyuk. Ralph Jr. yang pada ketika itu berusia lebih 50 tahun mula mencari bantuan untuk menjaga bapanya. Ketika itulah muncul seorang wanita bernama Rachel Lee yang memperkenalkan dirinya sebagai seorang penjagabdan lebih pelik lagi, seorang psikik rohani.

     Rachel memulakan langkahnya secara halus. Dia muncul dengan wajah penuh simpati dan menonjolkan dirinya sebagai wanita yang kononnya bukan sahaja mempunyai pengalaman menjaga warga emas tetapi juga memiliki kebolehan istimewa. Rachel mendakwa kononnya dia dapat berasa aura dan berhubung dengan roh orang yang telah tiada. Dalam beberapa pertemuan awal, Rachel mendakwa bahawa dia dapat berasa roh ibu Ralph masih berada di ladang dan bahawa roh itu mahu Ralph mempercayai Rachel. 

     Ralph yang seumur hidupnya tidak pernah dekat dengan sesiapa mula terpesona. Rachel pandai bermain kata-kata selain menggambarkan dirinya sebagai penyelamat spiritual. Dia memberi nasihat rohani kononnya semesta sedang menghantar mesej agar Ralph tidak hidup bersendirian dan perlu mewariskan ladangnya kepada generasi baharu. 

     Beberapa bulan kemudian, Rachel memperkenalkan Ralph kepada seorang wanita muda bernama Sharreshe Turner yang didakwa sebagai kekasih Ralph dan mengaku sedang mengandungkan anaknya. Ralph yang lurus dan terpinggir selama inibmempercayai kata-kata mereka bulat-bulat. Dia menerima kehadiran anak itu dengan perasaan bangga walaupun tiada bukti kukuh tentang hubungan mereka.

     Rachel terus memainkan watak sebagai penasihat spiritual. Dia memberitahu Ralph bahawa alam ghaib merestui hubungan mereka dan anak itu kononnya akan menjadi pewaris yang akan menjaga ladang dengan penuh tanggungjawab. Dia mula mendesak Ralph agar membuat perancangan harta, dengan alasan untuk menjamin masa depan anak mereka. Ralph yang terbuai dalam ilusi cinta, keluarga dan rohani bersetuju menandatangani dokumen pemindahan hak milik ladang kepada seorang pemegang amanah yang sebenarnya dikawal sepenuhnya oleh Rachel.

     Selama lebih tujuh tahun, Rachel dan Sharreshe terus mengekalkan lakonan mereka. Mereka mengawal persekitaran Ralph dengan menjauhkan dia daripada jiran, melarang sebarang lawatan luar dan memastikan semua dokumen serta urusan kewangan dipegang oleh mereka. Pada masa sama, Rachel terus berlagak sebagai penasihat psikik dan spiritual dengan memberikan bacaan aura, mesej dari roh ibu dan kononnya petunjuk dari semesta yang memperkukuh manipulasi mereka terhadap Ralph. Ralph hidup dalam dunia ilusi. Dia benar-benar percaya bahawa dirinya sudah mempunyai keluarga, anak itu adalah warisnya, dan tentang Rachel adalah penjaga spiritual yang dihantar takdir. Namun semua itu hanyalah penipuan terancang yang licik.

     Penipuan mereka mula terbongkar pada tahun 2011 apabila jiran-jiran mula membuat aduan tentang pemindahan tanah secara tiba-tiba dan kehadiran orang luar yang mencurigakan di ladang itu. Siasatan oleh pihak berkuasa termasuk FBI mendedahkan penipuan identiti, pemalsuan dokumen, eksploitasi warga emas dan penyalahgunaan kuasa amanah yang dilakukan Rachel dan konco-konconya.

     Rachel Lee dan Sharreshe Turner akhirnya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah. Kes ini mendapat perhatian besar kerana bukan sahaja melibatkan wang dan tanah bernilai lebih USD 20 juta (sekitar RM94 juta) tetapi juga kerana cara penipuan itu berlaku di mana pelaku menggunakan perwatakan sebagai psikik dan spiritualis untuk memperdaya emosi seorang lelaki yang sunyi dan mudah percaya.

     Ralph Raines Jr. terpaksa menerima kenyataan yang amat pedih. Wanita yang disangkanya sebagai penjaga, kekasih, dan anaknya, semuanya satu pembohongan. Anak itu bukan darah dagingnya. Keluarga yang kononnya dibina adalah rekaan penuh penipuan. Dia telah menyerahkan segala harta dengan kepercayaan suci, hanya untuk dimusnahkan oleh tipu daya yang berselindung di sebalik jubah spiritual.

     Mahkamah akhirnya memulihkan sebahagian besar aset kepada Ralph tetapi kerosakan psikologi tidak mudah dibaiki. Dia menjadi lebih pendiam, lebih tertutup dan enggan bercakap panjang dengan wartawan. Walau bagaimanapun, komuniti tempatan dan peguam bela cuba membantu beliau pulih secara berperingkat. Kini pada usia 73 atau 74 tahun, Ralph masih tinggal bersendirian di ladang yang dipulihkan. Dia tidak aktif di media sosial, dan kehidupannya terus sunyi seperti dahulu tetapi dengan luka yang lebih dalam. Kisahnya dijadikan dokumentari oleh beberapa saluran media, termasuk liputan panjang oleh The Oregonian dan dokumentari tayangan Netflix yang berjudul The Bad Boy Millionaires.

Catat Ulasan for "Kisah Ralph Raines Jr. : Penipuan yang Merobohkan Warisan Keluarga"