Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM EMMALEIGH BARRINGER

     Pada awal pagi 3 Oktober 2016, suasana tenang di sebuah apartmen kecil di Ripley, West Virginia bertukar menjadi ngeri apabila seorang ibu muda menemui anak perempuannya yang masih bayi dalam keadaan tidak sedarkan diri, penuh darah dan tidak berpakaian di ruang bawah tanah rumah mereka. Bayi itu dikenali sebagai Emmaleigh Elizabeth Barringer yang baru berusia 9 bulan dan merupakan cahaya mata tunggal wanita berkenaan. 

     Semasa kejadian, ibu Emmaleigh iaitu Amanda Adkins sedang tidur bersama anaknya. Saat Adkins terjaga sekitar jam 5:45 pagi, dia menyedari Emmaleigh tiada di sebelahnya. Adkins kemudian mencari ke seluruh pelusuk rumah sehinggalah dia turun ke ruang bawah tanah sebelum menemui bayinya dalam keadaan yang sangat menyayat hati di mana Emmaleigh berada dalam keadaan tidak sedarkan diri, berlumuran darah dan tubuh kecilnya menunjukkan tanda-tanda penderaan fizikal yang serius. Tanpa berlengah, Adkins menghubungi talian kecemasan dan paramedik segera membawa Emmaleigh ke hospital. Keadaan Emmaleigh kritikal dengan doktor melaporkan pendarahan dalaman di kepala, tanda dicekik serta kecederaan serius di kawasan kemaluan.

     Individu utama yang berada di rumah sewaktu kejadian adalah Benjamin Taylor, teman lelaki kepada Adkins. Semasa disoal siasat oleh polis, Taylor mendakwa dia tidak tahu menahu apa yang berlaku dan menyatakan bahawa dirinya mabuk teruk malam sebelumnya. Siasatan awal bagaimanapun mencetuskan kecurigaan besar terhadapnya. Polis mendapati seluar Taylor basah dengan darah dan terdapat kesan air mani pada tubuh bayi serta kawasan sekitar tempat kejadian. Ujian DNA kemudian mengesahkan cecair tersebut sepadan dengan profil genetik Taylor. Lebih menyakitkan, hasil pemeriksaan forensik menunjukkan bahawa bayi Emmaleigh telah dirogol, dicekik dan didera secara fizikal sebelum dia mengalami kerosakan otak yang membawa kepada kematiannya.

     Pada awalnya, Benjamin Taylor didakwa atas tuduhan serangan seksual tahap pertama terhadap kanak-kanak. Namun selepas Emmaleigh menghembuskan nafas terakhir di hospital dua hari kemudian, pada 5 Oktober 2016, pertuduhan tersebut dinaik taraf kepada pembunuhan tahap pertama, penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian dan serangan seksual oleh penjaga. Peguam pendakwa menyifatkan kes itu sebagai satu daripada jenayah paling kejam pernah berlaku di daerah tersebut. Taylor tidak mempunyai rekod jenayah sebelum ini tetapi hasil siasatan menunjukkan corak tingkah laku ganjil dan mengelak daripada menjawab soalan polis dengan jujur. Rakaman kamera pengawasan (CCTV) sekitar kawasan apartmen turut diperiksa. Tiada bukti menunjukkan kehadiran individu lain selain Taylor dan ibu mangsa di dalam rumah pada malam kejadian.

     Perbicaraan penuh bermula pada awal tahun 2019 yakni hampir tiga tahun selepas kejadian. Dalam keterangannya di mahkamah, Benjamin Taylor menafikan bahawa dia berniat mencederakan Emmaleigh. Taylor mendakwa tidak ingat apa-apa kerana pengaruh alkohol dan berkata dia tidak pasti bagaimana bayi itu boleh mengalami kecederaan sebegitu. Namun hujahnya dibidas keras oleh pihak pendakwa yang menampilkan bukti DNA, laporan perubatan forensik dan gambar-gambar keadaan mangsa yang mengesahkan kekejaman yang berlaku.


     Salah satu saksi utama dalam perbicaraan adalah pakar perubatan forensik yang merawat Emmaleigh. Dia menjelaskan bahawa kecederaan yang dialami oleh bayi itu bukanlah kemalangan atau disebabkan jatuh tetapi tindak balas ganas oleh individu dewasa yang berniat mencederakan secara seksual dan fizikal. Pakar tersebut turut menyatakan bahawa tekanan pada leher mangsa cukup kuat untuk menyebabkan otaknya tidak menerima oksigen selama beberapa minit hingga menyebabkan kerosakan otak kekal sebelum dia koma dan akhirnya meninggal dunia.

     Juri mengambil masa hanya beberapa jam untuk mencapai keputusan. Benjamin Taylor disabitkan bersalah atas semua pertuduhan termasuk pembunuhan tahap pertama. Hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol berserta tambahan 40 tahun untuk penderaan kanak-kanak yang membawa maut, dan 10 hingga 25 tahun lagi atas kesalahan serangan seksual.

     Kes ini membangkitkan kemarahan besar di kalangan rakyat Amerika Syarikat khususnya penduduk West Virginia. Ribuan orang menandatangani petisyen menuntut agar Taylor dikenakan hukuman mati, walaupun hukuman mati tidak dilaksanakan di negeri tersebut. Mereka juga mendesak agar undang-undang lebih ketat diperkenalkan untuk melindungi kanak-kanak yang berada di bawah jagaan individu bukan ibu bapa kandung. Desakan itu akhirnya membuahkan hasil apabila pada tahun 2018, kerajaan negeri West Virginia meluluskan satu pindaan undang-undang dikenali sebagai Emmaleigh’s Law. Di bawah undang-undang baharu ini, sesiapa yang didapati bersalah menyebabkan kematian kepada kanak-kanak di bawah jagaan mereka akan berdepan hukuman lebih berat termasuk hukuman maksimum tanpa peluang parol.

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM EMMALEIGH BARRINGER "