Kisah Garry Hoy: Ketika Keyakinan Berakhir Dengan Kematian
![]() |
Wikipedia |
Garry Hoy adalah seorang peguam korporat yang cukup terkenal di Toronto, Kanada pada awal tahun 1990-an. Dia bekerja di sebuah firma guaman yang terletak di Menara Toronto-Dominion Centre iaitu sebuah bangunan pencakar langit yang menjadi mercu tanda di pusat bandar Toronto. Nama Garry Hoy bagaimanapun dikenang bukan kerana kejayaan profesionalnya tetapi akibat satu kejadian tragis yang berlaku pada 9 Julai 1993
Bercerita tentang latar belakang Garry Hoy, dia merupakan seorang peguam yang sangat berdedikasi dan berpengalaman dalam bidang undang-undang korporat. Firma guaman tempatnya bekerja terkenal dengan reputasi yang kukuh dan sering menerima pelatih undang-undang yang baru untuk belajar dan menjalani latihan praktikal. Sebagai seorang peguam yang berpengalaman, Garry sering mengambil inisiatif untuk memberi motivasi dan menghiburkan pelatih-pelatih muda tersebut dengan pelbagai demonstrasi yang menarik dan unik.
Pada 9 Julai 1993, Garry Hoy mengadakan lawatan khas untuk sekumpulan pelatih undang-undang yang baru sahaja memulakan latihan mereka di firma guamannya. Dalam usaha untuk mengagumkan para pelatih dan menunjukkan kekuatan serta keselamatan bangunan tempat mereka bekerja, Garry Hoy mengambil keputusan untuk melakukan satu demonstrasi yang agak berani. Dia ingin membuktikan bahawa kaca tingkap di Menara Toronto-Dominion Centre sangat kuat dan tidak akan pecah walaupun menerima hentakan yang kuat.
Garry telah beberapa kali melakukan aksi ini sebelum ini tanpa sebarang kecederaan. Dia akan berlari laju sebelum merempuh kaca tingkap dengan badannya untuk menunjukkan bahawa kaca tersebut tahan lasak dan selamat. Demonstrasi ini menjadi satu tarikan dan sering kali mendapat perhatian daripada pelatih dan rakan sekerja. Namun pada hari itu, nasib tidak menyebelahinya.

Ketika Garry Hoy berlari dan melanggar kaca tingkap di tingkat 24 bangunan tersebut, kaca itu memang tidak pecah seperti yang dijangkakan. Walau bagaimanapun, apa yang tidak dijangka ialah bingkai tingkap yang memegang kaca tersebut tercabut daripada struktur bangunan akibat tekanan yang dikenakan oleh badan Garry. Bingkai tingkap yang tercabut menyebabkan Garry kehilangan sokongan dan dia terjatuh dari ketinggian lebih 70 meter terus ke bawah lalu meninggal dunia di tempat kejadian. Para pelatih yang menyaksikan kejadian itu terkejut dan tidak berdaya untuk menyelamatkannya.
Setelah kejadian, siasatan forensik dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian Garry Hoy. Dapatan menunjukkan bahawa kaca tingkap yang digunakan di Menara Toronto-Dominion Centre memang direka untuk tahan hentakan dan tidak mudah pecah. Kaca tersebut memenuhi piawaian keselamatan yang ketat dan telah diuji untuk menahan tekanan yang tinggi.
Cumanya masalah utama bukan terletak pada kaca itu sendiri tetapi pada bingkai tingkap yang memegang kaca tersebut. Bingkai itu tidak direka untuk menahan beban secara tiba-tiba apabila seseorang melanggarnya dengan kekuatan penuh. Jurutera struktur yang mengkaji kejadian tersebut menjelaskan bahawa walaupun kaca itu kuat, keselamatan keseluruhan bergantung kepada ketahanan bingkai dan cara pemasangannya pada dinding bangunan.
Kisah Garry Hoy telah menjadi legenda urban yang terkenal bukan sahaja di Kanada, malah di seluruh dunia. Ia sering dijadikan bahan rujukan dalam rancangan televisyen seperti MythBusters dan 1000 Ways to Die di mana kejadian ini dibincangkan sebagai contoh kematian yang aneh dan tragis akibat tindakan yang tidak berfikir panjang.
Catat Ulasan for "Kisah Garry Hoy: Ketika Keyakinan Berakhir Dengan Kematian"