Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Isteri Rancang Pembunuhan Suami Ketika Bulan Madu – Cinta Terlarang Jadi Motif

     Perkahwinan sepatutnya menjadi kebahagiaan dan permulaan kehidupan baharu yang indah antara dua insan. Namun bagi pasangan pengantin iaitu Raja Raghuvanshi dan Sonam, majlis perkahwinan mereka pada 11 Mei 2025 hanya menjadi permulaan kepada satu kejadian yang menyayat hati. Tidak sampai dua minggu selepas bergelar suami isteri, Raja dibunuh dalam percutian bulan madu mereka di Meghalaya yakni sebuah negeri yang terkenal dengan keindahan semula jadi. 

     Raja Raghuvanshi, 29 tahun, berasal dari Indore, Madhya Pradesh. Dia berkahwin dengan Sonam, 25 tahun dalam satu majlis yang disambut meriah bersama keluarga dan rakan-rakan. Selepas perkahwinan, pasangan ini merancang untuk berbulan madu ke Meghalaya khususnya ke kawasan Nongriat dan air terjun terkenal Wei Sawdong di Cherrapunji. Pada 20 Mei, mereka berangkat ke destinasi itu. 

     Walau bagaimanapun, sesuatu yang aneh berlaku pada 23 Mei. Pasangan itu dilaporkan telah keluar dari inap desa yang mereka tempah tetapi selepas itu mereka hilang tanpa jejak. Telefon kedua-duanya gagal dihubungi. Keesokan harinya, sebuah skuter sewaan yang digunakan mereka ditemui ditinggalkan di kawasan Sohrarim yang berhampiran lokasi pelancongan dalam keadaan mencurigakan. Tiada tanda-tanda pergaduhan atau kecederaan namun ketiadaan mereka mula menimbulkan kebimbangan.


     Keluarga Raja segera membuat laporan polis. Pasukan penyelamat dan penyiasat dikerah ke kawasan hutan dan air terjun. Selepas pencarian selama hampir 10 hari, satu mayat lelaki ditemui pada 2 Jun 2025 di dasar air terjun Wei Sawdong. Keadaan mayat yang sudah mula mereput mengesahkan bahawa kematian berlaku beberapa hari sebelumnya. Hasil siasatan forensik menunjukkan dua kecederaan parah di kepala akibat hentakan objek tajam dipercayai parang. Turut ditemui berhampiran lokasi ialah senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu. Mayat dikenal pasti sebagai Raja Raghuvanshi.

     Polis segera mengesyaki wujudnya unsur jenayah. Pencarian terhadap Sonam, isteri mangsa segera dijalankan. Apa yang mengejutkan, Sonam sendiri dilaporkan menghilangkan diri sejak hari kejadian. Dia tidak pulang ke kampung, tidak membuat laporan kehilangan dan tidak menghubungi keluarga mangsa. Setelah lebih dua minggu dikesan berada di Ghazipur, Uttar Pradesh, Sonam akhirnya ditahan polis dan dibawa ke Meghalaya untuk disoal siasat.

     Siasatan awal mendedahkan satu komplot pembunuhan yang dirancang secara terperinci. Sonam didakwa menjadi dalang utama dalam merancang pembunuhan suaminya. Polis menahan tiga lelaki lain yang dikenali sebagai Raj Singh Kushwaha, Vishal Chauhan dan Akash Rajput. Raj Singh merupakan bekas pekerja kepada bapa Sonam dan dipercayai pernah menjalin hubungan cinta dengan Sonam sebelum perkahwinannya dengan Raja. Menurut siasatan, hubungan itu berterusan secara rahsia walaupun selepas Sonam berkahwin dan Raja dianggap sebagai penghalang kepada hubungan mereka.

     Polis mendedahkan bahawa Sonam telah mengatur perjalanan bulan madu ini sebagai peluang untuk melaksanakan rancangan pembunuhan bersama Raj Singh dan dua rakannya. Ketiga-tiga mereka menyamar sebagai pelancong dan berada di lokasi yang sama dengan pasangan itu. Rakaman CCTV dan keterangan pemandu pelancong tempatan mengesahkan bahawa Sonam dan Raja dilihat bersama tiga lelaki berbahasa Hindi sebelum hilang. Selepas pembunuhan berlaku, suspek meninggalkan kawasan kejadian dan kembali ke tempat masing-masing manakala Sonam pula berpura-pura hilang sebelum muncul semula di tempat lain beberapa minggu kemudian.

     Antara elemen yang menguatkan teori pembunuhan terancang ialah apabila Sonam dikatakan menyuruh Raja memakai rantai dan cincin emas semasa percutian itu. Hal ini menimbulkan spekulasi bahawa Sonam mungkin bercadang menjadikan kejadian itu seperti rompakan bermotifkan harta. Tambahan pula, tiada tiket perjalanan pulang ditempah menunjukkan bahawa percutian itu tidak dirancang untuk pulang secara normal dengan seolah-olah sesuatu telah dirancang berlaku.

     Motif pembunuhan ini dikaitkan secara langsung dengan hubungan cinta terlarang antara Sonam dan Raj Singh. Polis percaya Sonam mahu menghapuskan Raja agar dapat bersama kekasih lamanya tanpa melalui proses penceraian yang memalukan atau dipersoal masyarakat. Ada juga spekulasi bahawa unsur harta turut menjadi motivasi sampingan memandangkan Raja berasal dari keluarga yang berkemampuan.

     Keluarga Raja sangat terkesan dengan kejadian ini. Ibunya, Uma Raghuvanshi berkata bahawa Sonam kelihatan seperti menantu yang baik dan tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa semasa bersama mereka. Dia menyatakan bahawa jika terbukti Sonam bersalah, wanita terbabit harus dihukum setimpal termasuk hukuman mati. Sementara itu, keluarga Sonam pula menafikan dakwaan tersebut dan mendesak agar siasatan diserahkan kepada pihak CBI bagi memastikan tidak berlaku ketidakadilan atau manipulasi fakta.

     Kes ini mendapat liputan meluas di seluruh India termasuk di media sosial di mana ramai netizen mengecam tindakan Sonam dan menyatakan rasa simpati terhadap keluarga mangsa. Ada juga yang mempersoalkan bagaimana cinta boleh berubah menjadi kejahatan sedemikian rupa. Kini kesemua suspek termasuk Sonam berada dalam tahanan reman. Siasatan masih dijalankan dan proses perbicaraan dijangka akan bermula pada masa terdekat. 

Catat Ulasan for "Isteri Rancang Pembunuhan Suami Ketika Bulan Madu – Cinta Terlarang Jadi Motif"