Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

THE BELL WITCH: Legenda Kisah Seram Benar yang Menghantui Tennessee Sejak 200 Tahun Lalu

     Kisah The Bell Witch merupakan salah satu kisah gangguan paranormal paling terkenal dan mengerikan dalam sejarah Amerika Syarikat. Ia dicatatkan dalam pelbagai dokumen sejarah sebagai satu-satunya kes yang dikaitkan secara langsung dengan kematian seseorang akibat gangguan entiti ghaib. Insiden yang berlaku antara tahun 1817 hingga 1821 di Red River (kini Adams) ini melibatkan sebuah keluarga petani yang dihormati, iaitu keluarga John Bell Sr.

     John Bell Sr. ialah seorang petani yang berpindah ke Tennessee dari North Carolina pada awal tahun 1800-an bersama isteri dan anak-anaknya. Mereka menjalani kehidupan yang aman di kawasan ladang yang subur. Walau bagaimanapun, ketenangan itu mula diganggu apabila John melihat seekor makhluk pelik di ladangnya. Makhluk itu mempunyai kepala anjing dan badan seperti arnab, satu penampakan yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Tidak lama selepas kejadian itu, ahli keluarga Bell mula mendengar bunyi-bunyi aneh di luar rumah termasuk bunyi ketukan, cakaran pada dinding dan rantai besi yang diseret walaupun tiada sesiapa atau apa-apa yang ditemui di luar.


     Gangguan tersebut kemudiannya berpindah ke dalam rumah. Keluarga Bell kerap kali diganggu pada waktu malam seperti selimut ditarik, bantal dicampak dan suara halus yang berbisik di telinga mereka. Anak-anak mereka, khususnya anak perempuan bernama Elizabeth Betsy Bell menjadi sasaran utama gangguan itu. Betsy sering mengalami serangan fizikal, termasuk ditampar, dicakar dan ditarik rambutnya oleh sesuatu yang tidak kelihatan. Dia juga mendengar suara-suara yang mengutuknya, mengancam nyawanya hingga menyebabkan tekanan emosi yang melampau. Keadaan ini bertambah buruk apabila Betsy bertunang dengan seorang pemuda tempatan bernama Joshua Gardner. Gangguan itu menjadi lebih kerap dan ganas seolah-olah entiti tersebut tidak merestui pertunangan mereka.

     Keanehan itu tidak berakhir di situ. Entiti tersebut yang sebelum ini hanya berkomunikasi dalam bentuk bisikan akhirnya mula bercakap dengan jelas. Ia memperkenalkan dirinya sebagai Kate yang dipercayai merujuk kepada seorang wanita bernama Kate Batts yakni seorang jiran yang dikatakan pernah bertelagah dengan John Bell berkenaan urusan tanah. Walaupun tiada bukti bahawa Kate Batts benar-benar menjadi punca gangguan, nama Kate kekal sinonim dengan entiti tersebut, dan sejak itu digelar sebagai The Bell Witch.

     Entiti tersebut turut berhubung dengan tetamu yang datang ke rumah keluarga Bell. Suara ghaib itu menjawab soalan, menyanyi lagu gereja dan kadang-kadang membongkar rahsia tetamu yang membuatkan mereka malu atau ketakutan. Ramai tetamu yang pada awalnya ragu-ragu akhirnya akur dengan kewujudan makhluk tersebut selepas mengalami sendiri gangguan secara fizikal atau auditori. Seorang paderi tempatan, Pendeta James Johnstonbyang dijemput untuk menyiasat gangguan tersebut, turut mengesahkan keanehan yang berlaku. Malah terdapat laporan bahawa Presiden Amerika Syarikat masa itu, Andrew Jackson pernah melawat kawasan tersebut dan diganggu oleh entiti berkenaan sehingga dia dan pasukannya meninggalkan tempat itu dengan segera.

     Dalam tempoh beberapa tahun, John Bell mula mengalami masalah kesihatan yang pelik. Dia sering berasa lemah, lidahnya terasa berat dan sukar bercakap. Keadaannya semakin merosot dan pada bulan Disember 1820, beliau ditemui tidak sedarkan diri. Dia meninggal dunia pada keesokan harinya. Di sebelah katilnya, keluarga menemui sebotol kecil cecair hitam yang tidak dikenali. Salah seorang ahli keluarga mencium cecair itu dan tiba-tiba terdengar suara yang berkata, "Itu aku yang beri kepada dia!". Satu pengakuan bahawa entiti ghaib tersebut telah meracuni John Bell. Kematian ini menyebabkan kisah The Bell Witch menjadi kes pertama dan satu-satunya dalam sejarah Amerika yang didakwa berpunca daripada gangguan roh.

     Selepas kematian John Bell, gangguan terhadap Betsy mula berkurangan. Beberapa bulan kemudian, entiti itu menyatakan akan meninggalkan keluarga tersebut tetapi berjanji akan kembali selepas 107 tahun. Pada tahun 1935 iaitu tepat 107 tahun kemudian, seorang keturunan keluarga Bell dilaporkan mengalami gangguan misteri dan melihat bayangan aneh di rumah warisan mereka. Gua yang terletak berhampiran ladang asal keluarga Bell, kini dikenali sebagai Bell Witch Cave masih dikunjungi dan didakwa menjadi tempat kediaman entiti tersebut.

     Kisah The Bell Witch ini telah menginspirasi pelbagai dokumentari dan filem seram sejak awal abad ke-20. Dokumentari seperti The Bell Witch Legend dan America’s Hauntings: The Bell Witch menggali lebih dalam tentang latar belakang sejarah, temubual dengan pengkaji paranormal dan keturunan keluarga Bell. Lokasi sebenar seperti gua Bell Witch turut menjadi subjek kajian dan eksperimen paranormal oleh pelbagai rancangan televisyen termasuk episod khas dalam siri Ghost Adventures.

     Dalam bidang perfileman pula, kisah ini dijadikan asas kepada beberapa filem seram terkenal. Filem An American Haunting (2005) adalah antara yang paling dikenali dengan menampilkan pelakon tersohor seperti Donald Sutherland dan Sissy Spacek serta mengadaptasi kisah Bell Witch secara dramatik. Filem Bell Witch: The Movie (2007) dan The Bell Witch Haunting (2013) pula menggunakan pendekatan rakaman gaya dokumentari palsu (mockumentary dan found footage) yang menampilkan watak-watak moden tetapi masih berpusat pada legenda lama tersebut. Malah filem kultus The Blair Witch Project (1999) walaupun tidak secara langsung mengakui kaitan dipercayai mendapat inspirasi daripada kisah Bell Witch terutama dari segi konsep legenda penyihir yang menghantui hutan dan penggunaan gaya rakaman realistik.

Catat Ulasan for "THE BELL WITCH: Legenda Kisah Seram Benar yang Menghantui Tennessee Sejak 200 Tahun Lalu"