Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

DJ Koo Setia Kunjungi Kubur Isteri Setiap Hari Walau Hujan dan Panas Terik

    TAIWAN - Kisah cinta antara DJ Koo Jun-yup, bintang terkenal dari Korea Selatan dan mendiang isterinya, pelakon Taiwan iaitu Barbie Hsu terus menyentuh hati ramai meskipun pasangan itu telah dipisahkan oleh kematian. Sejak pemergian Barbie Hsu pada 2 Februari 2025 akibat pneumonia yang dicetuskan oleh jangkitan selesema ketika bercuti di Jepun, Koo dilaporkan telah mengunjungi kubur isterinya hampir setiap hari tanpa gagal tidak kira hujan atau panas.

     Menurut laporan beberapa portal hiburan termasuk Mothership, The Korea Times dan 8Days, DJ Koo dilihat berulang kali berada di kawasan tanah perkuburan mewah Chin Pao San yang terletak di Gunung Jinbaoshan, New Taipei City. Malah saksi menyatakan dia sering kali tiba awal pagi dan duduk diam di hadapan batu nisan isterinya. Koo dilaporkan membawa kerusi lipat sendiri dan kadang-kala duduk selama berjam-jam sambil menatap gambar isterinya di atas tablet atau telefon pintar.

     Penampilan fizikal Koo Jun-yup juga mengundang perhatian. Selepas lima bulan berada dalam fasa berkabung mendalam, tubuh DJ berusia 55 tahun itu kelihatan semakin kurus manakala warna kulitnya berubah menjadi lebih gelap dipercayai akibat kerap terdedah kepada cuaca panas. Ramai pengunjung tanah perkuburan tersebut meluahkan rasa sebak melihat kesetiaan Koo bahkan ada yang menggambarkan suasana itu seperti adegan dalam filem cinta tragis.

     "Dia adalah orang paling setia yang pernah saya lihat dalam hidup saya," ujar salah seorang pengunjung yang secara tidak sengaja bertemu DJ Koo di kawasan makam. "Kami tidak berani mengganggunya kerana rasa hormat. Namun perasaan kehilangan yang terpancar daripada wajahnya cukup menyayat hati."

     Selain itu, sumber melaporkan bahawa DJ Koo kini sedang mempertimbangkan untuk berpindah ke kediaman berhampiran tanah perkuburan tersebut. Dia dilaporkan telah melihat beberapa unit kediaman di kawasan perumahan mewah Four Seasons Garden yang terletak tidak jauh dari Chin Pao San. Tindakan itu dilihat sebagai usaha untuk sentiasa dekat dengan pusara isterinya dan meneruskan rutinnya tanpa halangan jarak.

     DJ Koo dan Barbie Hsu sebelum ini pada asalnya pernah menjalinkan hubungan cinta sekitar tahun 1998 tetapi terpaksa berpisah kerana tekanan industri hiburan dan jarak geografi. Namun selepas lebih dua dekad berpisah, mereka kembali berhubung semula pada tahun 2022 yakni selepas Barbie bercerai dengan bekas suaminya. Tanpa berlengah, mereka mendaftar perkahwinan secara rasmi di Korea dan Taiwan.

    Selepas pemergian isterinya, DJ Koo juga dilaporkan enggan menuntut bahagian daripada harta pusaka Barbie Hsu, yang dianggarkan bernilai lebih NT$600 juta (lebih RM88 juta). Dia sebaliknya menyerahkan sepenuhnya hak tersebut kepada ibu mentuanya selain menyatakan bahawa keutamaannya ialah untuk menjaga serta melindungi warisan dan kenangan Barbie bagi pihak anak-anak tirinya.

     Walaupun berada dalam fasa duka yang mendalam, DJ Koo tidak pernah mengeluarkan kenyataan emosi secara terbuka kepada media di mana dia memilih untuk menyendiri dan meluangkan masa secara peribadi bersama kenangan isterinya di tempat persemadian itu. Wartawan tempatan melaporkan bahawa Koo kelihatan tenang namun jelas masih bersedih, dan tidak menunjukkan sebarang tanda akan kembali ke dunia hiburan pada masa terdekat.

Catat Ulasan for "DJ Koo Setia Kunjungi Kubur Isteri Setiap Hari Walau Hujan dan Panas Terik"