Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Beyond Scared Straight : Program Realiti Kehidupan Penjara yang Mengubah Nasib Remaja


     Beyond Scared Straight merupakan sebuah rancangan dokumentari realiti dari Amerika Syarikat yang disiarkan oleh saluran A&E. Program ini mula ditayangkan pada 13 Januari 2011 dan berakhir pada 3 September 2015. Diinspirasikan daripada dokumentari asal berjudul Scared Straight! yang memenangi Anugerah Academy pada tahun 1978, rancangan ini memberi pendekatan lebih moden dan meluas kepada isu remaja bermasalah yang terjebak dalam perlakuan jenayah kecil, gaya hidup geng jalanan, penagihan dadah serta perbuatan melawan ibu bapa dan guru. Secara keseluruhan, rancangan ini telah menyiarkan sebanyak 9 musim dengan jumlah 83 episod.

     Konsep utama rancangan ini ialah mempertemukan remaja-remaja nakal dan bermasalah dengan suasana penjara sebenar. Mereka dibawa masuk ke institusi pemulihan dan penjara remaja ataupun penjara dewasa bergantung kepada negeri dan struktur program yang dilaksanakan. Di sana, mereka akan berdepan dengan banduan sebenar yang sedang menjalani hukuman atas jenayah berat seperti rompakan bersenjata, pengedaran dadah, serangan bersenjata dan pembunuhan. Para banduan yang dipilih ini akan menengking, mengherdik serta mengasak mental para remaja dalam suasana yang tegang dengan tujuan untuk menyedarkan mereka tentang betapa buruk dan kerasnya kehidupan di sebalik jeriji besi. Segalanya disampaikan secara terus-terang dan tanpa tapis termasuk butiran tentang penderaan, kehilangan maruah, kekangan kebebasan serta ancaman fizikal harian.

     Setiap episod biasanya memfokuskan kepada 4 hingga 6 remaja dari latar belakang yang berbeza. Ada yang berperangai ganas di rumah, terlibat dengan aktiviti geng atau sudah terjebak dengan kes jenayah ringan. Para peserta bukan sekadar dibawa melawat penjara malah turut terlibat dalam simulasi kehidupan banduan termasuk diberi pakaian seragam, diletakkan dalam sel, diberi makanan penjara dan berdepan dengan peraturan ketat. Selain itu, mereka turut melalui sesi perbualan dengan banduan yang berkongsi kisah peribadi tentang masa lalu, penyesalan dan akibat daripada keputusan buruk mereka. Terdapat juga sesi khas antara remaja dengan ibu bapa yang sering mencetuskan adegan penuh emosi apabila mereka saling meluahkan perasaan buat pertama kali.


     Walau bagaimanapun, rancangan ini tidak lepas daripada kritikan. Banyak pihak termasuk ahli psikologi dan organisasi kanak-kanak, mempersoalkan keberkesanan serta etika pendekatan menakut-nakutkan remaja. Kajian akademik termasuk daripada Office of Juvenile Justice and Delinquency Prevention di Amerika Syarikat menyimpulkan bahawa pendekatan scare tactics seperti ini tidak membawa kesan jangka panjang yang berkesan. Malah ada kes menunjukkan peserta kembali kepada gaya hidup jenayah selepas program tamat atau menjadi lebih memberontak akibat trauma. Kritikan juga timbul terhadap penggunaan banduan dewasa untuk mengasak remaja bawah umur dengan maki hamun dan ancaman lisan yang mungkin memberi kesan psikologi yang tidak diingini.

     Cuma tidak dinafikan bahawa ada peserta yang benar-benar berubah selepas mengikuti program ini. Rancangan ini biasanya diakhiri dengan kemas kini kehidupan para remaja setelah beberapa bulan berlalu. Dalam beberapa kes, peserta yang sebelum ini liar dan degil telah kembali ke sekolah, meninggalkan geng, mula menghargai ibu bapa selain bercita-cita untuk membantu orang lain. Malah ada juga yang kelak menyertai pasukan polis, menjadi sukarelawan kaunseling remaja atau menyampaikan ceramah kesedaran kepada golongan muda.

     Sehingga tamat siarannya pada tahun 2015, Beyond Scared Straight telah menjelajah ke pelbagai fasiliti penjara di Amerika Syarikat termasuk di Georgia, South Carolina, Maryland dan Florida. Menerusi jumlah 83 episod sepanjang sembilan musim, rancangan ini memberi gambaran luas dan pelbagai tentang sistem keadilan juvana dan kehidupan banduan di Amerika. Setiap penjara menampilkan pendekatan yang sedikit berbeza tetapi semua berkongsi matlamat yang sama untuk menyedarkan remaja sebelum mereka benar-benar terjerumus ke dunia jenayah yang tidak mengenal belas kasihan.

Catat Ulasan for "Beyond Scared Straight : Program Realiti Kehidupan Penjara yang Mengubah Nasib Remaja"