Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH SUNITA SEHRAWAT : Isteri Setia yang Dibunuh Demi Cinta Gelap Suami

Sunita Sehrawat

     Dari luar, rumah tangga antara Manjeet Singh dan Sunita Sehrawat kelihatan seperti mana-mana pasangan biasa di Delhi, India. Manjeet merupakan seorang pemaju hartanah yang berjaya manakala Sunita ialah seorang guru sekolah yang dihormati. Mereka sudah lama berkahwin dan menjalani kehidupan stabil bersama. Namun segala-galanya berubah apabila Manjeet menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita muda bernama Angel Gupta. 

    Angel Gupta atau nama sebenarnya Shashiprabha, merupakan seorang model dan pelakon filem gred B yang bercita-cita tinggi. Dia bertemu Manjeet sekitar tahun 2016 dalam satu kejadian luar jangka yakni ketika dia diserang di luar sebuah kelab malam di Gurugram. Manjeet hadir sebagai penyelamat dan bermula dari situ hubungan antara mereka mula berkembang. Walaupun Angel tahu Manjeet sudah berkahwin, hubungan mereka menjadi semakin intim manakala Manjeet pula mula semakin jauh daripada Sunita.

     Sunita sebenarnya sudah lama menyedari kecurangan suaminya. Dia bagaimanapun memilih untuk bertahan demi menyelamatkan rumah tangga mereka. Dalam diari peribadinya, Sunita mencatatkan perasaannya tentang rasa kecewa, pengkhianatan dan keinginannya untuk memperbaiki keadaan. Walau bagaimanapun, hasrat mulia itu langsung tidak diendahkan. Manjeet dan Angel sebaliknya menjadi semakin berani dan nekad. Mereka berdua mahu bersama tanpa gangguan dan dalam fikiran mereka, satu-satunya halangan yang perlu disingkirkan adalah Sunita sendiri.


     Maka bermulalah satu konspirasi yang sungguh kejam dan mengerikan. Manjeet dan Angel merancang pembunuhan Sunita dengan bantuan beberapa individu lain termasuk bapa angkat Angel iaitu Rajeev dan seorang pemandu bernama Deepak. Mereka turut mengupah dua pembunuh upahan yang dikenali sebagai Vishal alias Johny dan Shehzad Saifi dengan bayaran sebanyak ₹10 lakh (sekitar RM56 000) untuk melaksanakan pembunuhan tersebut. Mereka memantau pergerakan harian Sunita termasuk laluan yang dilalui ke tempat kerja serta waktu dia meninggalkan rumah.

     Percubaan pertama untuk membunuh Sunita tidak berjalan seperti yang dirancang. Pada hari yang ditetapkan, salah seorang pembunuh upahan yang telah diarahkan untuk menembak Sunita singgah sebentar di sebuah gerai makanan untuk membeli samosa, sejenis kuih popular di India. Waktu itu, kawasan sekitar menjadi sibuk dengan kehadiran orang ramai dan suasana menjadi terlalu terbuka untuk melakukan sebarang serangan. Melihat keadaan tidak sesuai dan terlalu ramai saksi berpotensi, pembunuh tersebut mengambil keputusan untuk menangguhkan serangan kerana bimbang identitinya terdedah. Empat hari kemudian, pada 29 Oktober 2018, mereka mencuba semula. Kali ini, ketika Sunita sedang menunggang skuternya untuk ke tempat kerja di Bawana, Delhi sebelum diserang dari jarak dekat dan ditembak hingga maut. Serangan itu berlaku secara mengejut sekali gus meninggalkan Sunita tidak bernyawa di tempat kejadian. 

     Polis Delhi segera melancarkan siasatan dan berjaya mengumpul pelbagai bukti penting. Antaranya ialah diari milik Sunita yang mendedahkan tekanan perkahwinannya, rakaman CCTV di sekitar lokasi kejadian, rekod pergerakan telefon bimbit suspek serta catatan transaksi kewangan berkaitan bayaran kepada pembunuh. Menerusi bukti-bukti ini, pihak berkuasa dapat merungkai keseluruhan konspirasi termasuk peranan setiap individu yang terlibat.

     Proses penangkapan para suspek berlaku secara berperingkat. Polis mula-mula menahan Vishal alias Johny iaitu salah seorang pembunuh upahan yang disyaki menembak Sunita. Siasatan awal terhadap Vishal membawa kepada penahanan Shehzad Saifi, pembunuh upahan kedua yang turut berada di lokasi ketika pembunuhan dilakukan. Melalui pengakuan mereka dan analisis data komunikasi, pihak polis berjaya mengaitkan pembunuhan ini dengan Angel Gupta dan Manjeet Singh.

     Angel ditahan tidak lama kemudian di kediamannya. Ketika disoal siasat, dia cuba menafikan keterlibatannya, namun bukti digital termasuk mesej WhatsApp dan panggilan telefon jelas menunjukkan lelaki itu terlibat secara aktif dalam merancang pembunuhan tersebut. Manjeet pula cuba berpura-pura sebagai suami yang berduka tetapi kelakuannya mencurigakan dan tidak sepadan dengan kesedihan seorang duda yang baru kehilangan isteri. Tidak lama selepas itu, Manjeet turut ditahan bersama Rajeev dan Deepak yang juga dikenal pasti sebagai penyampai maklumat pergerakan Sunita kepada pembunuh.

     Kesemua mereka akhirnya ditahan reman dan didakwa atas tuduhan membunuh dan berkonspirasi melakukan jenayah. Proses pendakwaan mengambil masa hampir tujuh tahun dengan pelbagai penangguhan dan pembelaan dari pihak peguam tertuduh. Namun bukti-bukti yang dikumpulkan pihak polis termasuk keterangan saksi, rekod transaksi wang dan nota dari buku harian Sunita terlalu kukuh untuk disangkal.

     Pada April 2025, Mahkamah Sesi Rohini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap kesemua enam tertuduh termasuk Manjeet Singh dan Angel Gupta. Tiada seorang pun dijatuhi hukuman mati namun pihak mahkamah menegaskan bahawa tindakan mereka adalah kejam, terancang dan tidak menunjukkan sebarang penyesalan. Disebabkan itu, hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan dianggap sebagai hukuman yang setimpal dan adil. Kini, mereka semua menjalani hukuman di penjara Tihar yang merupakan salah satu penjara paling ketat di India.

Catat Ulasan for "KISAH SUNITA SEHRAWAT : Isteri Setia yang Dibunuh Demi Cinta Gelap Suami"