Ibu Pergi Rawatan Spa, Anak Ditinggal Dalam Kereta dan Maut Akibat Haba

AMERIKA SYARIKAT– Satu kejadian menyayat hati berlaku di California apabila seorang bayi lelaki berusia satu tahun maut akibat kepanasan selepas ditinggalkan di dalam kereta yang enjin dan penyaman udaranya telah terhenti secara automatik. Mangsa yang dikenali sebagai Amillio Gutierrez adalah anak kepada Maya Hernandez, seorang wanita muda berusia 20 tahun.
Pada 29 Jun 2025, Maya Hernandez telah memandu ke sebuah pusat rawatan kecantikan (med-spa) di Porterville, sebuah bandar kecil yang terletak di daerah Tulare, California. Dia dijadualkan menjalani rawatan suntikan bibir (lip filler), satu prosedur kosmetik yang bersifat elektif dan bukan keperluan perubatan. Maya tiba bersama dua orang anak lelakinya di mana masing-masing berusia satu dan dua tahun. Cuma apa yang mengejutkan ialah keputusan Maya untuk meninggalkan kedua-dua anak kecilnya di dalam kereta manakala dia masuk ke dalam spa dan menjalani rawatan yang mengambil masa sekitar dua jam.
Menurut kenyataan awal yang diberikan oleh Maya kepada pihak polis, dia mendakwa telah meninggalkan enjin kereta dan sistem penyaman udara dalam keadaan hidup bagi memastikan anak-anaknya kekal sejuk dan selesa. Walalau bagaimanapun, sistem keselamatan kereta tersebut iaitu sebuah Toyota Corolla model 2022 dilaporkan telah mematikan enjin secara automatik selepas kira-kira satu jam tidak bergerak yakni satu fungsi biasa pada kenderaan moden untuk mengelakkan pembaziran bahan api dan risiko kerosakan enjin.
Akibat daripada kegagalan sistem penyaman udara itu untuk terus berfungsi, suhu dalam kereta yang diparkir di bawah terik matahari mula meningkat secara mendadak. Pada hari kejadian, suhu luar mencecah hampir 38 darjah Celsius (101°F). Menurut kajian, suhu dalam kereta boleh meningkat sehingga lebih 60 darjah Celsius (143°F) dalam masa kurang sejam apabila terdedah di bawah matahari langsung.

Kira-kira dua jam selepas Maya meninggalkan anak-anaknya, dia kembali ke kenderaannya sebelum mendapati kedua-dua anaknya itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mereka segera dikejarkan ke hospital namun Amillio disahkan meninggal dunia dengan suhu badan dalaman direkodkan pada sekitar 42 darjah Celsius (107°F). Anak yang lebih tua yang juga berada dalam kereta yang sama berjaya diselamatkan tetapi kini berada dalam penjagaan perlindungan kanak-kanak oleh pihak berkuasa kebajikan. Lebih menyedihkan, siasatan pihak berkuasa mendedahkan bahawa pihak med-spa sebenarnya telah menawarkan kepada Maya untuk membawa anak-anaknya masuk ke ruang menunggu yang berhawa dingin. Tawaran itu bagaimanapun ditolak olehnya.
Berikutan insiden tersebut, pihak pendakwaan telah menfailkan tuduhan terhadap Maya Hernandez atas satu pertuduhan membunuh tanpa niat dan dua pertuduhan mendera atau mengabaikan kanak-kanak secara sengaja. Maya telah dihadapkan ke mahkamah pada 1 Julai 2025 dan mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan. Dia kini ditahan tanpa jaminan dengan ikat jamin ditetapkan melebihi USD 1 juta. Perbicaraan awal dijadualkan berlangsung pada 11 Julai 2025.
Pihak keluarga mangsa terutama nenek kepada Amillio yang bernama Katie Martinez tampil memberikan kenyataan kepada media dalam keadaan sebak. Dia menyifatkan Maya sebagai seorang ibu yang sebelum ini cukup penyayang namun tidak dapat memaafkan keputusan yang membawa kepada kematian cucunya. Katanya, “Mereka terikat di kerusi bayi. Mereka tak mampu bergerak untuk menyelamatkan diri. Maya menutup pintu, mengunci kereta dan masuk ke dalam spa. Dia tak sepatutnya buat begitu.”
Catat Ulasan for "Ibu Pergi Rawatan Spa, Anak Ditinggal Dalam Kereta dan Maut Akibat Haba"