Ant Hill Kids: Kultus Sesat yang Memaksa Pengikut Berbogel atas Nama Penyucian

Di kawasan pedalaman wilayah Ontario, Kanada yakni sekitar akhir tahun 1970-an hingga penghujung 1980-an, tersembunyi satu kisah hitam yang hampir tidak diketahui umum sehinggalah ia terbongkar pada tahun 1989. Di sinilah terbentuk sebuah kumpulan ajaran sesat dinamakan Ant Hill Kids yang diketuai oleh seorang lelaki bernama Roch Theriault. Kultus ini mencatat sejarah sebagai salah satu kumpulan paling kejam dan menyimpang di dunia moden kerana pengikutnya sanggup menurut segala arahan pelik termasuk berbogel secara berkumpulan atas alasan spiritual dan penyucian diri.
Roch Theriault dilahirkan pada tahun 1947 di Saguenay, Quebec. Dia dibesarkan dalam suasana Katolik yang konservatif dan dari usia muda telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap agama. Namun minat itu lama-kelamaan berubah menjadi obsesi. Theriault mula meyakini bahawa dia memiliki keistimewaan rohani dan kebolehan meramal masa depan. Semasa dewasa, Theriault menjadi penceramah separuh masa tetapi tidak lama kemudian dia mendakwa bahawa dia telah menerima wahyu dari Tuhan bahawa kiamat akan berlaku tidak lama lagi. Theriault memujuk sekumpulan kecil pengikut untuk meninggalkan kehidupan moden dan berpindah ke kawasan terpencil demi menyelamatkan diri daripada kehancuran dunia.

Pada tahun 1977, Theriault dan pengikutnya mula membina komuniti sendiri di luar bandar kecil Sainte-Marie, Quebec dan kemudian berpindah ke kawasan hutan terpencil di Burnt River, Ontario. Mereka membina penempatan kecil daripada kayu yang lengkap dengan ladang mini dan tempat ibadat di mana semuanya dikendalikan oleh pengikutnya yang dianggap sebagai tentera Tuhan. Mereka bekerja tanpa henti seperti semut dan dari sinilah nama kumpulan ini terhasil iaitu Ant Hill Kids yang bermaksud Anak-anak Bukit Semut.
Kehidupan dalam kultus ini dikawal sepenuhnya oleh Theriault. Dia melarang pengikutnya daripada membaca surat khabar, menonton televisyen atau berhubung dengan dunia luar. Sebarang maklumat hanya boleh datang daripada mulutnya. Dia memutarbelit ayat-ayat suci bagi menguatkan kuasanya dan membentuk suasana dengan sebarang persoalan terhadap arahannya dianggap sebagai dosa besar.
Salah satu aspek yang paling kontroversi dan mengganggu dalam ajaran sesat ini ialah ritual penyucian yang melibatkan pendedahan tubuh secara total. Dalam sesi-sesi tertentu, pengikut termasuk wanita dan lelaki dewasa diperintahkan untuk menanggalkan pakaian mereka di hadapan Theriault dan antara satu sama lain. Mereka kemudiannya diarahkan untuk mandi bersama-sama di sungai berhampiran walaupun dalam cuaca sejuk yang menggigit sambil menyanyikan lagu-lagu yang dicipta oleh Theriault sendiri. Ritual ini kononnya bertujuan untuk membersihkan roh dan tubuh daripada kekotoran dunia tetapi jelas sekali ia adalah manipulasi seksual dan mental.

Lebih mengerikan, Theriault mendakwa bahawa dia perlu melakukan sentuhan penyucian ke atas bahagian tubuh tertentu pengikutnya untuk mengusir roh jahat. Ramai wanita dan kanak-kanak perempuan menjadi mangsa gangguan seksual yang dihalalkan atas nama spiritualiti. Disebabkan mereka telah diprogramkan secara mental untuk mempercayai bahawa Theriault adalah wakil Tuhan, maka mereka tidak berani melawan.
Kekejaman Theriault tidak terhenti pada penyalahgunaan seksual. Dia turut menyeksa pengikutnya secara fizikal sebagai hukuman atas kesalahan kecil seperti mempertikaikan arahannya, lewat bangun atau tidak tersenyum. Antara bentuk penyiksaan yang dilakukan termasuk memukul dengan tukul besi atau kayu, membakar anggota tubuh bads dengan api, memaksa mangsa memakan najis mereka sendiri, melakukan pembedahan palsu tanpa ubat bius dan memotong bahagian tubuh badan secara manual.

Salah satu insiden paling mengerikan berlaku apabila Theriault memaksa seorang wanita bernama Solange Boilard menjalani pembedahan spiritual. Menggunakan hanya menggunakan alat-alat tajam dapur, dia mengoyakkan perut wanita itu kononnya untuk membuang roh jahat yang merasuknya. Solange meninggal dunia akibat kecederaan dalaman. Namun Theriault tidak berhenti di situ. Dia mendakwa boleh membangkitkan semula wanita itu dan memaksa pengikut lain menggali lubang sebelum mengebumikan mayat tanpa laporan kepada pihak berkuasa.
Apa yang lebih menyayat hati, terdapat lebih 20 orang kanak-kanak yang tinggal dalam komuniti ini dengan sebahagian besar daripada mereka adalah hasil hubungan Theriault dengan pengikut wanitanya sendiri. Kanak-kanak ini tidak pernah mendapat pendidikan formal, tidak mengenal dunia luar dan turut menjadi mangsa penderaan. Mereka diajar untuk menyembah Theriault seperti nabi. Dalam beberapa kes, mereka diseksa di hadapan ibu bapa mereka sebagai pengajaran kepada komuniti

Pada tahun 1989, salah seorang wanita dalam komuniti berjaya melarikan diri dan membawa dua orang anak bersamanya ke pihak berkuasa. Dia mendedahkan segala kekejaman yang berlaku di dalam kultus. Pihak polis segera menyerbu kawasan penempatan tersebut dan menemui keadaan yang sangat menyedihkan iaitu pengikut yang trauma, kanak-kanak yang kelaparan serta tidak terurus dan laporan pengakuan mangsa tentang kekejaman bertahun-tahun.
Roch Theriault akhirnya ditangkap dan didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk pembunuhan, penderaan seksual, rogol dan penculikan. Dia dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol dan dipenjarakan di Dorchester Penitentiary di New Brunswick. Kisahnya bagaimanapun tidak berakhir di situ. Pada tahun 2011, Theriault ditemui mati di dalam selnya akibat dibunuh oleh rakan sel yang tidak tahan melihat kelakuannya. Banduan tersebut kemudian mengaku bertanggungjawab dan menyatakan bahawa dia telah membunuh iblis.
Catat Ulasan for "Ant Hill Kids: Kultus Sesat yang Memaksa Pengikut Berbogel atas Nama Penyucian"