Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH JUSTIN MOHN: Bapa Dibunuh Demi Ideologi

     Pada awal tahun 2024 bertempat di Levittown, Pennsylvania, seorang lelaki bernama Justin David Mohn yang berusia 33 tahun telah ditahan dan didakwa kerana membunuh dan memenggal kepala bapanya sendiri iaitu Michael F. Mohn, 68 tahun. Motif pembunuhan ialah berkaitan dengan fahaman politik ekstrem yang dipegang oleh pelaku.

     Michael Mohn yang juga merupakan seorang pesara dan bekas pegawai kerajaan dibunuh dengan kejam di rumah keluarganya pada 30 Januari 2024. Siasatan awal mendapati dia telah ditembak di kepala dan kemudian kepalanya dipotong menggunakan senjata tajam. Namun perkara paling mengejutkan ialah tindakan susulan anaknya yang memuat naik video berdurasi lebih 14 minit ke YouTube yang memperlihatkan kepala mangsa serta ucapan penuh retorik anti-kerajaan. Dalam video itu, Justin merujuk kepada bapanya sebagai pengkhianat kepada rakyat Amerika dan mengaku bahawa dia telah menjalankan apa yang dipanggilnya sebagai penangkapan rakyat.

     Pihak berkuasa bertindak segera setelah menerima laporan mengenai video berkenaan yang telah tersebar di internet di mana kandungannya mengandungi elemen grafik serta mesej ekstrem yang jelas melanggar dasar kandungan platform dan video tersebut telah dipadam oleh YouTube dalam tempoh beberapa jam selepas dimuat naik. Apabila polis tiba di tempat kejadian, mereka menemui tubuh Michael dalam keadaan terbaring berlumuran darah dan terpisah dari kepalanya. Di lokasi sama, polis merampas pelbagai bahan bukti termasuk senjata api, pisau besar serta pemacu USB yang mengandungi dokumen mencurigakan. Dokumen-dokumen itu memperincikan pelan pembinaan bahan letupan, gambar bangunan kerajaan persekutuan dan nota berbentuk manifesto anti-kerajaan yang ditulis oleh Justin sendiri.

     Selain itu, siasatan juga mendapati bahawa Justin telah lama menunjukkan tingkah laku ganjil dan mempunyai kecenderungan terhadap teori konspirasi serta fahaman anti-pemerintah yang melampau. Dia didapati telah menghantar surat kepada pelbagai kedutaan asing, termasuk Kedutaan Rusia dan mendakwa dirinya adalah Tsar Rusia yang sah (pemerintah diraja Rusia yang digulingkan pada 1917). Justin juga aktif dalam beberapa forum dalam talian yang mempromosikan fahaman radikal serta gerakan sovereign citizen iaitu satu kumpulan yang menolak autoriti kerajaan Amerika Syarikat.

    Walaupun Justin tidak mempunyai sejarah penyakit mental yang formal, banyak pihak mempersoalkan tahap kewarasannya ketika kejadian berlaku. Namun selepas menjalani penilaian forensik psikiatri, dia telah disahkan waras dan layak untuk dibicarakan. Mahkamah memutuskan bahawa walaupun tingkah laku Justin dianggap ekstrem dan pelik, dia memahami sepenuhnya akibat perbuatannya dan melakukannya dengan penuh kesedaran. Hakikat bahawa merancang pembunuhan tersebut, merakam video dan memuat naiknya ke internet adalah bukti bahawa Justin tahu apa yang sedang dilakukannya dan niatnya adalah untuk menghantar mesej ideologi.

     Perbicaraan bermula pada awal tahun 2025 di Mahkamah Tinggi Bucks County, Pennsylvania. Disebabkan kerumitan dan sensitiviti kes ini, perbicaraan dijalankan dalam bentuk bench trial (tanpa juri) dengan Hakim Stephen A. Corr memimpin perbicaraan. Sepanjang perbicaraan, pendakwa raya membentangkan pelbagai bukti fizikal serta digital termasuk rakaman video, nota tulisan tangan, bahan letupan buatan sendiri yang tidak aktif dan sejarah carian internet Justin berkaitan serangan terhadap pegawai kerajaan. Pihak pendakwa juga menekankan bahawa Justin tidak menunjukkan sebarang penyesalan selepas melakukan jenayah itu. Bahkan semasa perbicaraan, Justin tetap mempertahankan tindakannya dan merujuknya sebagai tindakan patriotik.

     Pada 3 Jun 2025, Hakim Corr memutuskan bahawa Justin Mohn bersalah atas semua pertuduhan termasuk pembunuhan tahap pertama, penyalahgunaan mayat, ugutan jenayah terhadap institusi kerajaan, keganasan berkaitan terorisme domestik dan pemilikan senjata api secara haram. Hukuman dijatuhkan secara rasmi pada 11 Julai 2025. Dalam keputusannya, Hakim Corr menyifatkan kes ini sebagai satu contoh keganasan domestik yang paling mengerikan dan menghinakan. Dia menjatuhkan dua hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol sambil menegaskan bahawa Justin tidak seharusnya dibenarkan kembali ke masyarakat kerana kekejaman dan ideologi berbahayanya. Pendakwa daerah Bucks County, Jennifer Schorn dalam kenyataan medianya menyatakan bahawa Justin adalah ancaman kepada keselamatan awam dan bahawa masyarakat harus sedar akan bahaya ideologi ekstrem yang tumbuh dalam senyap.

     Perbicaraan juga menyaksikan detik penuh emosi apabila ahli keluarga Michael tampil memberikan kenyataan mangsa di mahkamah. Isteri Michael menyatakan bahawa suaminya adalah seorang lelaki yang lembut, berdedikasi dan penyayang yang sepanjang hidupnya menyokong Justin meskipun anak itu tidak bekerja dan sering bermasalah. Anak-anak lain Michael turut berkongsi kesedihan mereka atas kehilangan bapa mereka dengan cara yang sangat tragis.

Catat Ulasan for "KISAH JUSTIN MOHN: Bapa Dibunuh Demi Ideologi"