Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Fakta Menarik Telenovela Rosalinda yang Ramai Tidak Tahu


     Kalau anda membesar pada era awal 2000-an, besar kemungkinan anda pernah mendengar atau menonton telenovela Rosalinda lakonan Thalia. Disiarkan di kaca TV dengan lagu nyanyian Thalia sendiri, telenovela Rosalinda telah mencetuskan fenomena hampir di seluruh dunia termasuk Malaysia. Berikut adalah beberapa fakta menarik tentang telenovela Rosalinda ini yang mungkin ramai tidak tahu :

1. Thalia Hampir Tolak Watak Rosalinda

     Ramai tidak tahu bahawa Thalia sebenarnya berat hati untuk menerima tawaran sebagai Rosalinda. Pada ketika itu, dia sudah cukup dikenali menerusi trilogi Maria (Marimar, Maria la del Barrio, Maria Mercedes) dan bercadang untuk memberi tumpuan kepada kerjaya muziknya. Namun Televisa memberikan jaminan bahawa projek ini akan menjadi penutup yang gah kepada kerjaya telenovelanya, lalu Thalia bersetuju.


2. Rosalinda Adalah Adaptasi Semula

     Telenovela Rosalinda bukan karya asli sepenuhnya. Ia adalah adaptasi daripada telenovela Venezuela bertajuk Maria Teresa yang ditulis oleh penulis terkenal Delia Fiallo pada tahun 1972. Namun versi Mexico ini ditulis semula dan diolah agar lebih sesuai dengan penonton moden serta budaya Mexico.


3. Watak Rosalinda Hampir Diberi kepada Pelakon Lain

     Sebelum Thalia dimuktamadkan sebagai pelakon utama, pihak produksi pernah mempertimbangkan dua pelakon wanita lain untuk memegang watak Rosalinda di mana salah satunya ialah Itati Cantoral yang sebelum itu berjaya memegang watak Soraya dalam Maria la del Barrio. Walau bagaimanapun, penerbit Juan Osorio akhirnya memilih Thaia kerana imejnya yang lebih baik serta lembut sesuai dengan karakter Rosalinda yang polos dan menderita.

4. Thalia Menyanyi Lagu Tema Sendiri

     Lagu tema telenovela Rosalinda yang juga bertajuk Rosalinda dinyanyikan sendiri oleh Thalia. Lagu ini menjadi hit antarabangsa dan sering dimainkan di radio walaupun selepas siri tamat tayangan. Ini menjadikan Rosalinda satu-satunya telenovela yang menampilkan Thalia sebagai pelakon utama dan penyanyi lagu temanya serentak.


5. Populariti Luar Jangka di Asia dan Eropah Timur

     Walaupun berasal dari Mexico, Rosalinda mencatat kejayaan luar biasa di tempat yang tidak dijangka termasuk di Filipina, Indonesia, Malaysia, Rusia dan bahkan China. Di China, ia merupakan telenovela Mexico pertama yang ditayangkan di negara itu secara rasmi sekali gus membuka jalan kepada banyak telenovela Hispanik lain selepas itu.


6. Rosalinda Mencatat Rekod sebagai Telenovela Paling Diedarkan di Dunia

     Menurut rekod Televisa, Rosalinda telah dijual dan disiarkan di lebih 180 negara menjadikannya antara telenovela paling banyak diedarkan dalam sejarah televisyen Hispanik. Ia disiarkan dalam bahasa asal (Sepanyol) dengan sarikata tempatan di kebanyakan negara Asia termasuk Malaysia, Indonesia dan Filipina. Sementara itu, negara seperti Brazil, China dan Rusia menayangkan versi yang telah dialih suara. Di Malaysia, ia pernah mencapai rating tontonan yang tinggi di TV3 dan watak Rosalinda serta lagu temanya menjadi fenomena.

7. Watak Rosalinda Berdasarkan Stereotaip Wanita Tersakiti

     Penulis skrip membentuk watak Rosalinda sebagai simbol klasik wanita teraniaya yang bangkit semula. Watak ini mengikuti formula melodrama Hispanik iaitu wanita miskin + cinta dengan lelaki kaya + konflik kelas + penderitaan + kebangkitan + pengampunan. Formula ini terbukti berkesan dan menjadi acuan kepada banyak telenovela selepasnya.


8. Thalia Tidak Selesa dengan Fernando Carrillo di Set

     Walaupun mereka kelihatan mesra di skrin, laporan media dan beberapa temu bual menyatakan bahawa Thalia dan Fernando Carrillo tidak serasi di belakang tabir. Terdapat ketegangan antara mereka sepanjang penggambaran namun kedua-duanya kekal profesional demi kejayaan produksi.

9. Telenovela Ini Tidak Ada Sambungan Rasmi

     Berbeza dengan beberapa telenovela lain yang memiliki sekuel atau spin-off, Rosalinda tidak mempunyai sambungan rasmi. Cuma disebabkan popularitinya, ada penerbit dari negara lain (seperti Filipina) yang mencipta versi adaptasi atau parodi bebas berasaskan jalan cerita asal.


10. Thalia Tidak Mahu Kembali Berlakon Selepas Rosalinda

     Selepas kejayaan besar Rosalinda, Thalia secara rasmi mengundurkan diri daripada dunia lakonan telenovela. Dia memberi tumpuan sepenuhnya kepada muzik dan kehidupan peribadinya. Thalia pernah menyatakan bahawa Rosalinda ialah penutup sempurna untuk kerjayanya sebagai pelakon drama bersiri.

Catat Ulasan for "Fakta Menarik Telenovela Rosalinda yang Ramai Tidak Tahu"