Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

PEMAIN TENIS INDIA DITEMBAK MATI BAPA SENDIRI

     INDIA – Seorang bekas pemain tenis peringkat negeri iaitu Radhika Yadav, 25 tahun telah ditemui mati ditembak di kediamannya di Sushant Lok, Sector 57, Gurugram pada 10 Julai 2025. Lebih memilukan, pelaku yang bertanggungjawab dalam kejadian ngeri ini merupakan bapa kandung mangsa sendiri, Deepak Yadav, 52 tahun. 

     Menurut siasatan awal pihak polis, kejadian berlaku sekitar jam 10.30 pagi ketika mangsa sedang berada di dapur dipercayai sedang menyediakan sarapan. Suspek telah melepaskan lima das tembakan menggunakan sepucuk pistol berlesen jenis revolver .32 yang mengenai badan Radhika sebanyak tiga hingga empat kali. Mangsa dilaporkan rebah di tempat kejadian dan disahkan meninggal dunia di lokasi. Ibu mangsa, Manju Yadav yang turut berada di rumah ketika kejadian menyatakan bahawa dia tidak menyedari perkara itu serta-merta kerana menyangka bunyi tembakan tersebut berasal daripada periuk tekanan (pressure cooker) yang meletup di dapur. Pada waktu itu, dia sedang berehat di bilik kerana kurang sihat.

     Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sivil Gurugram mendedahkan bahawa semua peluru menembusi mangsa dari arah hadapan sekali gus bercanggah dengan laporan awal polis yang mendakwa tembakan dilepaskan dari arah belakang. Perbezaan ini sedang disiasat bagi menentukan kesahihan kronologi kejadian sebenar.

     Motif pembunuhan ini dipercayai berpunca daripada gabungan tekanan sosial dan konflik keluarga yang telah lama berlarutan. Menurut kenyataan pihak berkuasa, Deepak dikatakan berasa amat terhina dan malu apabila menjadi bahan ejekan oleh penduduk kampung asal mereka di Wazirabad. Orang ramai mempersoalkan kewibawaannya sebagai ketua keluarga kerana bergantung kepada pendapatan anak perempuan. Radhika yang sebelum ini merupakan pemain tenis profesional telah mengundur diri daripada arena sukan akibat kecederaan namun tetap aktif dalam bidang kejurulatihan dengan menubuhkan sebuah akademi tenis kecil untuk melatih kanak-kanak dan remaja di kawasan Gurugram.

     Akademi yang dikendalikan oleh Radhika ini bukanlah sebuah institusi rasmi. Dia menyewa gelanggang tersebut untuk memberi tunjuk ajar kepada pelajar. Walaupun perniagaan tersebut dijalankan secara sah selain bertujuan mendidik generasi baharu, bapanya tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan beberapa kali menggesa Radhika agar menghentikan operasinya. Menurut polis, konflik mengenai akademi tenis tersebut telah berlangsung selama beberapa bulan dan ketegangan memuncak apabila Deepak dikatakan kerap menerima ejekan serta tohmahan berkaitan gaya hidup anak perempuannya termasuk kandungan di media sosial.

     Tiga hari sebelum kejadian, Deepak dilaporkan pernah mengancam untuk membunuh anaknya atau membunuh diri sendiri. Malah dalam tempoh dua minggu terakhir sebelum kejadian berlaku, keadaan dalam rumah menjadi semakin tegang. Pihak keluarga dan jiran terdekat turut menyedari perubahan sikap suspek yang dilihat semakin murung, tertekan dan cepat marah. Motif utama pembunuhan disimpulkan sebagai gabungan faktor tekanan sosial, rasa malu, dendam dan ketidakpuasan hati terhadap kedegilan anak yang dianggap mencemarkan nama baik keluarga.

    Pihak polis telah menahan Deepak Yadav sejurus selepas kejadian dan membawanya ke lokap untuk siasatan lanjut. Pada 11 Julai, suspek telah dibawa ke mahkamah dan dikenakan tahanan reman selama 14 hari. Siasatan masih diteruskan termasuk pemeriksaan balistik, analisis senjata dan keterangan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan.

     Radhika sebelum ini pernah menjadi pemain terkemuka dalam kategori bawah 18 tahun dan mencatatkan ranking ke-113 dalam senarai pemain remaja antarabangsa. 


Catat Ulasan for "PEMAIN TENIS INDIA DITEMBAK MATI BAPA SENDIRI"