Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MAYUKO INADA

     Pada pertengahan tahun 2021, satu kes pembunuhan kejam telah berlaku di Jepun yang melibatkan seorang wanita muda bernama Mayuko Inada. Mayuko yang berusia 25 tahun merupakan pemilik dan pengurus sebuah karaoke pub kecil bernama Gomachan yang terletak di kawasan Tenjinbashi, Ward Kita, Osaka yakni sebuah lokasi yang terkenal dengan kehidupan malam dan aktiviti hiburan. Mayuko dikenali sebagai seorang wanita yang rajin, berdikari dan berperwatakan ceria. 

     Diringkaskan cerita iaitu pada pagi 14 Jun 2021, seorang rakan sekerja Mayuko menjadi bimbang setelah gagal menghubunginya selama beberapa hari. Dia kemudian pergi ke pub tersebut dan menggunakan kunci pendua untuk membuka pintu yang dikunci dari dalam. Sebaik sahaja memasuki premis, dia dikejutkan dengan penemuan tubuh Mayuko yang terbaring dalam keadaan tidak bernyawa, berlumuran darah dengan kesan tikaman berulang kali di bahagian leher dan dada. Rakaman CCTV menunjukkan Mayuko terakhir kali dilihat memasuki pub itu pada petang 11 Jun namun tiada rakaman menunjukkan dia keluar selepas itu. Hal ini menyebabkan pihak polis percaya bahawa pembunuhan berlaku pada malam tersebut dan pelaku telah melarikan diri dengan membawa keluar kunci premis.


     Susulan siasatan yang dijalankan, pihak berkuasa berjaya mengenal pasti dan menahan seorang lelaki berusia 56 tahun bernama Hiroshi Miyamoto yang bekerja di Nishinomiya, Hyogo. Dia bukan sahaja pelanggan tetap di pub milik Mayuko malah dikatakan telah mengenali mangsa selama lebih empat tahun. Hiroshi sering mengunjungi pub tersebut sejak Mayuko bekerja sebagai pelayan lagi dan hubungan mereka diteruskan apabila Mayuko membuka perniagaannya sendiri. Hiroshi dilaporkan sanggup membelanjakan sehingga ¥300 000 sebulan (sekitar RM10 000) di pub tersebut. Sikapnya menjadi semakin pelik dan mencurigakan apabila dia mula menunjukkan tanda-tanda obsesi melampau terhadap Mayuko.

     Menurut beberapa orang rakan mangsa, Hiroshi sering menelefon Mayuko berulang kali dalam sehari, menghantar mesej tanpa henti dan muncul tanpa dijemput di tempat kerja mangsa. Apabila Mayuko bercakap tentang lelaki lain atau menyatakan ketidakselesaan, Hiroshi akan menunjukkan kemarahan dan bertindak secara emosional. Tindakannya yang terlalu mengongkong telah membuatkan Mayuko berasa tidak selesa dan takut hingga dia pernah meluahkan rasa tidak senang kepada kenalan rapatnya. Namun seperti kebanyakan kes gangguan, Mayuko tidak membuat laporan polis kerana beranggapan tiada bukti kukuh dan tiada siapa yang akan mempercayainya.

     Penyiasatan polis mendedahkan bahawa motif utama pembunuhan ini berpunca daripada perasaan cinta bertepuk sebelah tangan yang akhirnya berubah menjadi dendam dan kemarahan. Apabila Mayuko tidak membalas perasaan Hiroshi dan cuba menjauhkan diri, lelaki itu dipercayai hilang kawalan. Pada malam kejadian, dia dipercayai menunggu peluang ketika tiada pelanggan lain lalu menikam mangsa berulang kali sehingga mati. Selepas itu, Hiroshi mengunci pintu dari dalam dan melarikan diri dengan membawa kunci tersebut. Tiada senjata pembunuhan ditemui di lokasi tetapi bukti DNA daripada darah Mayuko yang ditemui pada pakaian suspek telah mengaitkannya secara langsung dengan jenayah tersebut.

     Pada bulan September 2022, Hiroshi dihadapkan ke Mahkamah Daerah Osaka. Dalam satu kenyataan mengejutkan semasa perbicaraan awal, dia secara terbuka meminta hukuman mati dijatuhkan ke atasnya sebelum tiba-tiba berhenti bercakap dan tidak memberikan sebarang keterangan lanjut. Tindakannya ini menimbulkan tanda tanya sama ada dia benar-benar menyesal atau sedang cuba memanipulasi sistem perundangan untuk mengelak hukuman lebih berat. Walaupun pihak pendakwa mempunyai bukti kukuh, perbicaraan terus berjalan dengan berhati-hati memandangkan keadaan mental suspek turut dipertikaikan.

     Kejadian yang menimpa Mayuko Inada telah mencetuskan kemarahan dan kesedaran dalam kalangan rakyat Jepun. Ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap kelemahan sistem undang-undang negara itu dalam menangani kes gangguan atau stalking. Walaupun undang-undang anti-stalker Jepun wujud sejak awal 2000-an, ia masih dianggap terlalu ringan dan tidak memberi kuasa secukupnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak sebelum sesuatu jenayah berlaku. 

Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM MAYUKO INADA"