Kisah Sanda Dia: Pelajar Pintar yang Mati Dalam Ritual Rahsia Anak-Anak Elit

Sanda Dia ialah seorang pelajar muda berusia dua puluh tahun yang menuntut dalam jurusan kejuruteraan di Universiti Katolik Leuven (KU Leuven), Belgium. Dia berasal dari Edegem, wilayah Antwerp dan merupakan anak kepada Ousmane Dia, seorang imigran dari Sierra Leone yang datang ke Belgium untuk mencari kehidupan lebih baik. Sanda dikenali sebagai seorang pelajar yang bijak, berdisiplin dan disenangi ramai. Namun di sebalik kehidupannya sebagai pelajar universiti, dia menyimpan hasrat untuk diterima dalam kalangan pelajar elit di kampus. Hasrat itulah yang akhirnya membawa Sanda kepada persatuan pelajar eksklusif bernama Reuzegom iaitu kumpulan yang hanya dianggotai oleh pelajar lelaki daripada keluarga kaya dan berpengaruh.
Reuzegom sudah lama terkenal di KU Leuven sebagai kumpulan pelajar elit yang menjalankan ritual penyertaan yang keras dan memalukan terhadap calon ahli baru. Ritual atau inisiasi itu dianggap sebagai tradisi turun-temurun bagi menguji ketahanan fizikal dan mental seseorang. Ritual tersebut bagaimanapun sering melampaui batas kemanusiaan. Calon-calon yang ingin menyertai persatuan berkenaan akan dipaksa menahan lapar, menjalani penghinaan dan ada yang diseksa secara fizikal. Bagi mereka yang sudah bergelar ahli, ritual ini dianggap sebagai satu ujian yang mesti diterima untuk membuktikan kesetiaan dan kehormatan dalam kumpulan. Bagi Sanda, ia mungkin dilihat sebagai satu peluang untuk diterima dalam kelompok sosial yang berpengaruh di universiti tanpa menyedari bahawa keputusannya itu bakal meragut nyawanya.

Pada awal Disember 2018, Sanda bersama dua calon lain menjalani proses kemasukan Reuzegom. Ritual itu diadakan di dua lokasi yang bermula di rumah salah seorang ahli di Leuven dan kemudian berpindah ke kawasan terpencil di Hasselt. Di sanalah penderaan terhadap mereka berlaku. Sanda dipaksa menelan pelbagai bahan menjijikkan seperti minyak ikan, alkohol, makanan anjing dan campuran kotor lain termasuk air kencing. Dia juga dipaksa minum air garam dalam kuantiti besar sehingga tahap natrium dalam badannya meningkat ke paras yang sangat berbahaya. Sepanjang hari, Sanda dibiarkan berendam dalam parit berisi air sejuk dalam suhu hampir beku tanpa diberikan makanan secukupnya. Badannya menggigil, tenaganya semakin lemah dan dia muntah berulang kali. Ahli-ahli Reuzegom hanya mentertawakannya dan menganggap penderitaan itu sebagai sebahagian daripada ujian.
Beberapa jam kemudian, keadaan Sanda semakin tenat. Dia hampir tidak sedarkan diri akibat hipotermia dan keracunan garam dalam darah. Ketika itu barulah ahli Reuzegom membawa Sanda ke hospital berhampiran. Walau bagaimanapun, segala-galanya sudah terlambat. Sanda disahkan meninggal dunia akibat kegagalan organ pelbagai dan penurunan suhu badan yang ekstrem. Pihak hospital kemudian memaklumkan kepada polis dan siasatan pun bermula. Apa yang ditemui pihak berkuasa amat mengejutkan. Sebahagian ahli Reuzegom didapati cuba menghapuskan bukti termasuk memadam mesej di telefon, membersihkan lokasi kejadian selain berpakat supaya memberi kenyataan palsu. Walaupun bukti-bukti penderaan masih jelas, usaha mereka hampir berjaya menutup punca sebenar kematian Sanda.

Siasatan yang mengambil masa lama itu akhirnya membawa kepada pendakwaan terhadap lapan belas orang ahli Reuzegom. Mereka dituduh menyebabkan kematian tanpa niat, cuai hingga membawa maut dan mengabaikan mangsa dalam keadaan kecemasan. Cuma tiada seorang pun didakwa atas tuduhan membunuh dengan sengaja. Kes ini menjadi perhatian di Belgium kerana ia memperlihatkan bagaimana undang-undang seolah-olah gagal menegakkan keadilan terhadap mangsa yang berasal daripada latar belakang sederhana manakala pelaku-pelakunya berasal daripada keluarga berpengaruh termasuk anak kepada peguam serta ahli politik. Perbicaraan yang berlarutan selama bertahun-tahun akhirnya berakhir pada tahun 2023 dan keputusan mahkamah mengejutkan banyak pihak. Semua tertuduh dibebaskan daripada hukuman penjara dan hanya dikenakan khidmat masyarakat selama dua ratus jam serta denda kecil sekitar empat ratus euro (sekitar RM2000).

Keputusan itu mencetuskan gelombang kemarahan besar dalam kalangan rakyat Belgium. Ramai melihat perkara tersebut sebagai bukti nyata bahawa sistem keadilan di negara itu berat sebelah dan masih terpengaruh oleh perbezaan kelas serta warna kulit. Sanda Dia, seorang pelajar keturunan Afrika, mati diseksa dalam ritual yang dijalankan oleh pelajar-pelajar kaya berkulit putih. Pelakunya pula terlepas daripada hukuman berat. Protes awam tercetus di beberapa bandar utama manakala media sosial dibanjiri dengan tanda pagar #JusticeForSanda. Bapanya, Ousmane Dia turut meluahkan rasa kecewa yang mendalam terhadap keputusan mahkamah. Baginya, bukan sahaja anaknya diragut secara kejambtetapi sistem keadilan juga gagal menghukum mereka yang bertanggungjawab. Katanya dalam satu wawancara, dia tidak marah kerana anaknya dibunuh tetapi marah kerana keadilan tidak ditegakkan.
Catat Ulasan for "Kisah Sanda Dia: Pelajar Pintar yang Mati Dalam Ritual Rahsia Anak-Anak Elit"