Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Wanita Tikam Suami Kerana Tidak Membersihkan Rumah


     AMERIKA SYARIKAT - Seorang wanita berketurunan India yang menetap di Amerika Syarikat ditahan pihak berkuasa selepas dipercayai menikam suaminya dengan pisau gara-gara pertengkaran kecil berkaitan kerja rumah. Kejadian yang berlaku di sebuah pangsapuri di kawasan Ballantyne, South Charlotte itu berpunca daripada suami yang enggan membersihkan rumah seperti yang diminta.

    Suspek yang dikenali sebagai Chandraprabha Singh, 44 tahun, bekerja sebagai pembantu guru di sebuah sekolah rendah tempatan itu dilaporkan menikam suaminya iaitu Arvind Singh di bahagian leher menggunakan sebilah pisau dapur. Menurut laporan polis, kejadian berlaku pada pagi 12 Oktober 2025 yakni ketika pasangan itu sedang berada di rumah mereka. Pertengkaran bermula selepas Chandraprabha menegur suaminya yang dikatakan tidak mengemas ruang tamu dan dapur seperti yang telah dijanjikan. Perbalahan tersebut bertukar menjadi tegang apabila Chandraprabha didakwa mencapai pisau dan menikam leher suaminya.

     Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius namun masih sedar ketika pihak polis tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada jiran yang mendengar jeritan dari dalam rumah. Arvind segera dikejarkan ke hospital berhampiran dan dilaporkan stabil selepas menerima rawatan kecemasan. Dalam kenyataannya kepada polis, mangsa menegaskan bahawa isterinya menikamnya dengan sengaja selepas berlaku pertengkaran mengenai kerja rumah.

     Walau bagaimanapun, Chandraprabha memberi keterangan sebaliknya. Wanita itu mendakwa bahawa kejadian tersebut hanyalah kemalangan. Jelasnya, ketika sedang menyediakan sarapan, dia berpaling sambil memegang pisau dan tanpa sengaja telah mencederakan suaminya. “Saya tidak berniat melukainya. Ia berlaku dengan pantas dan tidak disengajakan,” katanya kepada penyiasat.

     Polis bagaimanapun tidak menerima alasan tersebut sepenuhnya dan menahan Chandraprabha di tempat kejadian. Dia kini berdepan tuduhan menyerang menggunakan senjata berbahaya yang menyebabkan kecederaan parah. Kes itu diklasifikasikan sebagai jenayah keganasan rumah tangga di bawah undang-undang negeri Carolina Utara.

     Menurut laporan media tempatan, Chandraprabha kemudiannya dibawa ke balai polis Mecklenburg County sebelum dibebaskan dengan jaminan sebanyak USD 10 000 (sekitar RM47 000). Dia turut dikenakan syarat pengawasan elektronik dan dilarang menghubungi suaminya sehingga kes tersebut dibicarakan di mahkamah.

     Pihak sekolah tempat Chandraprabha bekerja juga dilaporkan telah menggantung tugasnya buat sementara waktu sementara siasatan dijalankan. Jurucakap sekolah berkata pihak pengurusan mengambil serius sebarang dakwaan melibatkan keganasan rumah tangga dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan maklumat lanjut.

     Hingga setakat ini, keadaan Arvind dilaporkan stabil dan sedang pulih daripada kecederaan di hospital. Pihak polis masih menyiasat sama ada terdapat sejarah keganasan atau masalah rumah tangga antara pasangan tersebut sebelum kejadian berlaku.



Catat Ulasan for "Wanita Tikam Suami Kerana Tidak Membersihkan Rumah"