Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kisah Legenda Urban Mel’s Hole: Misteri Lubang Tanpa Dasar

Gambar sekadar hiasan (Janaan AI)

     Legenda urban yang dikenali sebagai Mel’s Hole merupakan salah satu kisah misteri paling terkenal di Amerika Syarikat dan hingga kini masih menjadi perbualan dalam kalangan penggemar fenomena paranormal. Kisah ini pertama kali mendapat perhatian umum pada 24 Februari 1997 apabila seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Mel Waters menelefon rancangan radio terkenal Coast to Coast AM yang dikendalikan oleh Art Bell. Program itu memang terkenal sebagai platform bagi individu yang ingin berkongsi pengalaman luar biasa, teori konspirasi dan kejadian yang sukar dijelaskan secara saintifik. Melbdengan suara yang tenang tetapi meyakinkan mendakwa dia menemui satu lubang yang luar biasa di tanah miliknya berhampiran Ellensburg, Washington.

     Menurut pengakuan Mel, lubang tersebut terletak di kawasan Manastash Ridge. Lubang itu digambarkan berbentuk bulat sempurna, berdiameter kira-kira tiga meter dan berdinding batu seperti perigi lama. Namun tidak seperti perigi biasa, lubang tersebut dikatakan tidak mempunyai dasar. Mel pernah cuba mengukurnya dengan tali pancing yang panjangnya lebih 24 000 kaki yakni kira-kira 7.3 kilometer tetapi hujung tali itu tidak pernah mencecah dasar. Dia juga mendakwa bahawa apabila penduduk kampung membuang pelbagai barangan lama ke dalam lubang itu seperti bangkai haiwan, sampah, atau peti sejuk rosak, mereka tidak pernah mendengar sebarang bunyi hentaman dari dasar lubang tersebut. Lubang itu seolah-olah menelan segala yang dilemparkan ke dalamnya tanpa jejak.

     Apa yang menjadikan kisah ini semakin aneh ialah dakwaan Mel tentang peristiwa luar biasa yang berlaku di sekitar kawasan tersebut. Dalam satu peristiwa yang sering disebut semula oleh pendengar, Mel menceritakan bahawa seekor anjing peliharaan jiran yang telah mati dan dibuang ke dalam lubang itu dilihat kembali hidup pada keesokan harinya. Anjing tersebut berjalan di sekitar kawasan ladang seperti tiada apa-apa yang berlaku. Selain itu, dia turut mendakwa bahawa isyarat radio berhampiran lubang sering terganggu dan barang logam yang dibawa berdekatan kawasan itu menunjukkan tingkah laku magnetik yang ganjil. Kadang kala, cahaya berwarna aneh akan keluar dari dalam lubang pada waktu malam disertai bunyi berdengung halus yang tidak dapat dikenal pasti puncanya.

     Selepas kemunculan pertama Mel dalam rancangan tersebut, kisah ini menarik perhatian ramai pendengar dan penyiasat bebas yang cuba mencari lokasi sebenar lubang itu. Walau bagaimanapun, keadaan menjadi lebih mencurigakan apabila Mel mendakwa bahawa kerajaan Amerika Syarikat telah campur tangan. Menurutnya, pihak berkuasa telah merampas tanah miliknya dan melarangnya kembali ke kawasan tersebut atas alasan terdapat aktiviti penyelidikan rahsia dijalankan di sana. Mel turut mendakwa bahawa dia diberi pampasan dalam bentuk wang serta diarahkan meninggalkan negara itu dan menetap di Australia. Sejak itu, Mel dikatakan menghilang dari perhatian umum untuk tempoh yang lama.

Gambar sekadar hiasan (Janaan AI)

     Beberapa tahun kemudian, Mel kembali muncul dalam rancangan radio yang sama dan mendakwa bahawa dia telah menemui lubang kedua yang serupa di Nevada. Mel bahkan membuat kenyataan yang lebih luar biasa di mana kononnya lubang tersebut mempunyai sifat luar alam seperti portal ke dimensi lain atau sumber tenaga misteri yang tidak diketahui asalnya. Kenyataan ini menimbulkan bagaimanapun keraguan dalam kalangan penyelidik dan peminat fenomena aneh kerana tiada bukti saintifik atau geografi yang menyokong dakwaan tersebut.

     Apabila wartawan tempatan dan penyelidik bebas cuba menjejaki identiti sebenar Mel Waters, mereka mendapati bahawa tiada rekod rasmi mengenai pemilikan tanah atas namanya di kawasan Ellensburg. Malah pihak Jabatan Geologi Amerika Syarikat tidak pernah merekodkan kewujudan sebarang lubang sedalam itu di wilayah berkenaan. Beberapa penduduk yang tinggal di kawasan tersebut juga tidak pernah mendengar tentang mana-mana lubang misteri seumpamanya sebelum kisah Mel disiarkan di radio. Keadaan ini menimbulkan kesimpulan bahawa cerita itu berkemungkinan besar direka sepenuhnya atau sekurang-kurangnya diperbesar-besarkan demi menarik minat pendengar.

     Cumanya kisah Mel’s Hole terus hidup sebagai sebahagian daripada mitos moden dan legenda urban Amerika. Ia sering disebut dalam forum dalam talian, dokumentari dan saluran YouTube yang membincangkan misteri dunia. Sesetengah penggemar teori konspirasi masih percaya bahawa lubang itu benar-benar wujud tetapi disembunyikan oleh kerajaan bagi tujuan rahsia tertentu manakala sebahagian lain menganggapnya sekadar kisah fiksyen yang kreatif.

Catat Ulasan for "Kisah Legenda Urban Mel’s Hole: Misteri Lubang Tanpa Dasar "