Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KES KIRA COUSINS: WANITA YANG MEREKA KEHAMILAN DAN BAYI PALSU


     Nama seorang wanita muda bernama Kira Cousins dari Airdrie, Scotland mendapat perhatian selepas terbongkarnya penipuan besar yang dilakukannya iaitu mereka-reka keseluruhan kisah kehamilan, kelahiran dan kematian seorang bayi yang sebenarnya tidak pernah wujud. 

     Segalanya bermula di Instagram di mana Kira kerap memuat naik gambar dirinya dengan perut mengandung, lengkap dengan catatan yang penuh emosi tentang perjalanan kehamilan dan keterujaannya menanti kelahiran anak perempuan pertamanya yang dinamakan Bonnie-Leigh. Dia turut berkongsi gambar imbasan (ultrasound) yang kononnya menunjukkan janin yang sedang membesar serta mengadakan majlis gender reveal bersama rakan-rakan terdekat. Melalui hantaran-hantaran tersebut, Kira berjaya meyakinkan ramai bahawa dia benar-benar sedang mengandung.

     Beberapa bulan kemudian, Kira memuat naik satu lagi hantaran besar, memaklumkan bahawa dia telah melahirkan bayinya. Gambar seorang bayi perempuan dibalut selimut merah jambu dikongsikan berserta kapsyen penuh kasih sayang. Ramai pengikut di media sosial termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan mengucapkan tahniah atas kelahiran bayi tersebut. Ada yang turut mengirim hadiah, mesej sokongan dan kata-kata semangat untuknya.

     Walau bagaimanapun, kebahagiaan itu hanya sementara. Tidak lama selepas itu, Kira mula mendakwa bahawa bayinya meninggal dunia secara mengejut akibat masalah kesihatan. Kenyataan itu mengundang gelombang simpati dan doa daripada warganet. Namun beberapa pengguna TikTok mula mempersoalkan kesahihan gambar bayi yang dimuat naik. Mereka menyedari bahawa bayi tersebut kelihatan terlalu sempurna seperti anak patung lalu mula melakukan siasatan sendiri.

     Tidak lama kemudian, beberapa pengguna TikTok berjaya mengesan bahawa gambar bayi Kira sebenarnya sepadan dengan gambar anak patung realistik yang dijual dalam talian yakni dikenali sebagai reborn doll, sejenis boneka bayi yang direka menyerupai bayi sebenar dengan ketepatan luar biasa. Video-video pendedahan itu segera tular di TikTok dengan jutaan tontonan di bawah tanda pagar #KiraCousins dan #BonnieLeighHoax

     Setelah tekanan awam semakin memuncak, Kira akhirnya tampil membuat pengakuan rasmi di Instagram. Dalam kenyataan panjang yang dimuat naik ke akaun peribadinya, dia menulis,

Saya tidak pernah mengandung. Tiada bayi. Semuanya saya reka dan saya tahu saya telah melampaui batas. Saya palsukan imbasan, saya reka cerita dan saya berpura-pura seolah-olah anak patung itu adalah bayi sebenar. Saya sangat menyesal dan saya memohon maaf kepada semua yang percaya pada saya.”

     Kira turut menyatakan kekesalannya kepada keluarga dan rakan-rakan yang tertipu terutama kepada seorang individu bernama Neave yang dikatakan telah banyak membantunya sepanjang tempoh kehamilan palsu itu. Menurut laporan beberapa portal, ini bukan kali pertama Kira dikaitkan dengan dakwaan penipuan. Beberapa individu mendakwa pernah tertipu oleh cerita-cerita rekaan lain yang diciptanya sebelum ini termasuk kisah kesihatan dan kehilangan ahli keluarga. Media antarabangsa kemudian melabelnya sebagai penipu bersiri yang cenderung mencipta naratif dramatik untuk menarik perhatian serta simpati umum.

     Sejak pengakuannya tersebar, tiada tindakan undang-undang yang dilaporkan dikenakan terhadap Kira Cousins. Pihak berkuasa Scotland juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan kes ini mungkin kerana tiada unsur jenayah jelas yang menyebabkan kerugian kewangan atau fizikal kepada pihak lain. Cuma tindakan Kira tetap dianggap melampau kerana melibatkan pembohongan yang menyentuh isu sensitif seperti kehamilan dan kematian bayi. Kini Kira Cousins dilaporkan sedang mendapatkan bantuan profesional untuk memulihkan keadaan dirinya. Dalam satu catatan terbaharu di Instagram, dia menulis bahawa dirinya sedang cuba menjadi insan yang lebih baik dan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan sama. 

Catat Ulasan for "KES KIRA COUSINS: WANITA YANG MEREKA KEHAMILAN DAN BAYI PALSU "