Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

630 Pelajar Mogok Tidak Hadir ke Sekolah Selepas Rakan Ditampar Pengetua


     INDONESIA – Seramai 630 orang pelajar Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 1 Cimarga, di daerah Lebak, wilayah Banten dilaporkan mogok tidak hadir ke sekolah sebagai tanda protes terhadap tindakan pengetua yang didakwa menampar seorang pelajar lelaki. 

     Menurut laporan media tempatan pada 14 Oktober 2025, mogok beramai-ramai itu bermula selepas tersebar berita bahawa seorang pelajar telah ditampar oleh pengetua iaitu Dini Fitria kerana didapati merokok di kawasan sekolah. Insiden tersebut berlaku pada awal minggu namun merebak menjadi isu besar apabila rakan-rakan pelajar terbabit menuduh pihak sekolah bertindak kasar dan tidak profesional.

    Difahamkan pelajar-pelajar berkenaan enggan hadir ke sekolah dan sbagai tanda bantahan, mereka menggantung kain rentang besar di hadapan pagar utama sekolah dengan tulisan yang bertulis, “Kami tidak akan ke sekolah sehingga pengetua dipecat".


     Dalam kenyataan kepada pihak media, Dini Fitria mengakui dia menegur pelajar berkenaan selepas mendapati remaja itu berbohong ketika ditanya mengenai perbuatannya. Menurutnya, tamparan itu dilakukan secara spontan dan tidak kuat selain tidak bertujuan mencederakan pelajar tersebut. Dini Fitria turut menegaskan bahawa tindakannya adalah sebahagian daripada usaha mendisiplinkan pelajar yang melanggar peraturan sekolah.

     Namun penjelasan tersebut tidak meredakan kemarahan pelajar dan ibu bapa. Ramai yang mendakwa bahawa tindakan fizikal terhadap pelajar sudah tidak boleh diterima dalam sistem pendidikan masa kini. Beberapa waris telah tampil membuat laporan kepada pihak Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Polres Lebak mendesak siasatan lanjut dijalankan terhadap pengetua terbabit.

     Sementara itu, pihak polis daerah Lebak mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes berkenaan dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat unsur kekerasan dalam tindakan pengetua tersebut. Pihak sekolah juga dilaporkan telah dipanggil untuk memberi keterangan. Pada masa sama, Pejabat Pendidikan Daerah Lebak turut turun padang bagi menyelesaikan kemelut tersebut. Pegawai pendidikan menyatakan bahawa mereka sedang mencari jalan damai antara pihak sekolah, pelajar dan ibu bapa bagi memastikan sesi pembelajaran dapat diteruskan dengan aman.
     
Hingga kini, belum ada keputusan rasmi mengenai tindakan lanjut terhadap pengetua terbabit. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan menegaskan bahawa setiap bentuk keganasan di institusi pendidikan perlu disiasat secara telus dan semua pihak diminta bertenang bagi mengelakkan situasi menjadi lebih tegang.

Catat Ulasan for "630 Pelajar Mogok Tidak Hadir ke Sekolah Selepas Rakan Ditampar Pengetua"