Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

FAKTA YO SO BETTY, LA FEA YANG MUNGKIN RAMAI TIDAK TAHU


     Masih ingat dengan telenovela dari Colombia yang pernah menjadi fenomena di seluruh dunia iaitu Yo soy Betty, la fea? Disiarkan buat pertama kali pada tahun 1999, telenovela ini mengisahkan seorang wanita bijak tetapi dianggap tidak menarik yang bekerja di sebuah syarikat fesyen. Kisahnya telah membuka mata orang ramai terhadap isu diskriminasi, penilaian berdasarkan rupa paras serta cabaran yang dihadapi wanita dalam dunia korporat. Berikut ialah beberapa fakta menarik tentang telenovela ini yang mungkin anda belum tahu.


1. Telenovela Paling Banyak Diadaptasi Dalam Sejarah Televisyen Dunia

     Yo soy Betty, la fea bukan sahaja terkenal di negara asalnya Colombia malah ia memecah rekod dunia apabila dianugerahkan Guinness World Record sebagai telenovela paling banyak diadaptasi ke dalam versi tempatan di seluruh dunia. Dianggarkan lebih 28 negara telah menghasilkan versi mereka sendiri berdasarkan jalan cerita asal menjadikan Betty La Fea satu fenomena global dalam sejarah televisyen.

     Versi paling popular termasuk Ugly Betty dari Amerika Syarikat yang diterbitkan oleh pelakon terkenal Salma Hayek, Jassi Jaissi Koi Nahin dari India, La Fea Mas Bella dari Mexico, Verliebt in Berlin dari Jerman dan Sensiz Olmuyor dari Turki. Walaupun diubah mengikut budaya setempat, setiap versi mengekalkan tema utama iaitu wanita kurang menarik dari segi rupa tetapi memiliki bakat luar biasa yang akhirnya membuktikan nilai dirinya dalam dunia korporat.

 
2. Watak Betty Diilhamkan Daripada Individu Sebenar

     Fernando Gaitan iaitu penulis dan pencipta siri ini pernah mendedahkan bahawa watak Beatriz Betty Pinzon Solano diinspirasikan daripada seorang wanita sebenar yang pernah bekerja bersamanya. Individu tersebut ialah seorang wanita pintar, rajin dan sangat berwibawa dalam bidang ekonomi tetapi sering dipinggirkan kerana penampilannya yang sederhana. Gaitan mencipta watak ini sebagai satu bentuk kritikan halus terhadap persepsi umum terhadap kecantikan terutama dalam dunia kerja yang sering melebihkan penampilan berbanding kemampuan sebenar.

     Melalui watak Betty, Gaitan menyampaikan mesej bahawa kecantikan luaran bukanlah penentu nilai seseorang dan kebijaksanaan serta etika kerja yang kukuh jauh lebih penting.



3. Mengandungi Kritikan Sosial Terselindung Dalam Cerita Ringan

     Walaupun disajikan dalam bentuk hiburan ringan dan komedi romantik, Betty La Fea sebenarnya sarat dengan kritikan sosial terutamanya terhadap dunia perniagaan, fesyen serta korporat yang terlalu menyanjung nilai kosmetik dan permukaan. Ia membongkar cara wanita yang tidak memenuhi piawaian kecantikan arus perdana sering dinafikan peluang, diremehkan atau menjadi bahan jenaka. Selain itu, siri ini turut mengangkat isu seksisme di tempat kerja, manipulasi dalam syarikat korporat serta tekanan yang dihadapi wanita dalam mengekalkan identiti mereka. 


4. Transformasi Betty Berlaku Di Penghujung Cerita, Bukan Awal

     Tidak seperti kisah-kisah lain yang menonjolkan perubahan fizikal sebagai penentu kebahagiaan atau kejayaan, transformasi fizikal Betty hanya berlaku di penghujung cerita selepas dia berjaya membina semula keyakinan diri dan mendapat pengiktirafan atas kebolehannya. Transformasi tersebut juga tidak serta-merta menjadikan hidupnya sempurna malah penonton ditunjukkan bahawa penghormatan sebenar datang apabila orang sekeliling mula menghargai siapa dirinya sebelum rupa parasnya berubah.


5. Disiarkan Di Lebih 100 Negara Seluruh Dunia

     Kejayaan Betty La Fea tidak terhad kepada dunia berbahasa Sepanyol sahaja. Siri ini telah disiarkan di lebih 100 negara termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Perancis, Jepun, Rusia dan banyak lagi. Ia dialih suara ke dalam pelbagai bahasa dan diterbitkan dengan sari kata di negara-negara yang tidak menuturkan bahasa Sepanyol. Kejayaan ini menjadikan Betty La Fea sebagai salah satu produk hiburan Latin yang paling berjaya dalam sejarah eksport televisyen.


6. Pelakon Ana Maria Orozco Sebenarnya Cantik dan Bergaya

     Pelakon utama, Ana Maria Orozco yang memainkan watak Betty sebenarnya seorang wanita yang sangat anggun dan cantik dalam kehidupan sebenar. Demi menjayakan peranannya sebagai wanita “hodoh”, dia perlu melalui proses solekan harian yang mengambil masa panjang setiap hari. Kebanyakan penonton yang melihat wajah sebenar Ana Maria Orozco di luar set penggambaran berasa terkejut kerana perbezaannya sangat ketara dengan watak Betty.


 7. Sambungan Siri: Ecomoda Tetapi Tidak Berjaya

Selepas kejayaan Yo soy Betty, la fea, penerbitan sambungan bertajuk Ecomoda dilancarkan pada tahun 2001. Siri ini memfokuskan kehidupan Betty dan Armando selepas berkahwin serta bagaimana mereka menguruskan syarikat fesyen mereka. Walau bagaimanapun, sambungan ini gagal menandingi populariti siri asal dan ramai peminat berpendapat bahawa ketiadaan elemen konflik dan tekanan sosial seperti dalam siri pertama menjadikan Ecomoda kurang menarik. Ecomoda hanya bertahan selama satu musim dan tidak diterbitkan dalam versi antarabangsa secara besar-besaran.


8. Memenangi Pelbagai Anugerah 

     Betty La Fea telah menerima pelbagai anugerah berprestij dalam dunia hiburan Latin termasuk TVyNovelas Award untuk Telenovela Terbaik, Anugerah bagi Lakonan Terbaik, Penulisan Skrip Terbaik dan Pengarah Terbaik.


9. Ana Maria Orozco & Jorge Enrique Abello: Kejayaan dan Cabaran Selepas Betty La Fea

     Dua pelakon utama siri ini, Ana Maria Orozco (Betty) dan Jorge Enrique Abello (Armando Mendoza) mencapai kemuncak kerjaya mereka menerusi siri ini. Namun kejayaan luar biasa ini turut membawa cabaran besar kepada mereka dalam jangka panjang.

     Ana Maroa Orozco menjadi wajah ikonik watak Betty di seluruh dunia. Kejayaan tersebut bagaimanapun menyebabkan dia sukar melepaskan bayangan watak itu dalam kerjaya lakonannya selepas itu. Ramai pengarah dan penonton hanya mengenalinya sebagai “Betty” walaupun dia telah membintangi pelbagai produksi lain. Selepas Betty La Fea, Ana Maria berpindah ke Argentina dan meneruskan kerjaya dalam bidang seni pentas dan drama tempatan. Dia tetap aktif berlakon tetapi tidak ada satu watak pun yang berjaya menyamai pengaruh Betty.

     Jorge Enrique Abello pula telah membintangi banyak telenovela lain di Colombia dan menjadi pelakon lelaki yang disegani. Sama seperti Ana Maria, watak Armando terlalu ikonik di mana dia sendiri pernah menyatakan dalam satu wawancara bahawa kesannya sangat besar: “Saya berjaya kerana Betty, tapi saya juga dikurung oleh bayangan Armando selama bertahun-tahun.


10. Reboot Terbaru: Betty la Fea, la historia continua (2024)

     Pada tahun 2024, Amazon Prime Video mengumumkan reboot rasmi bertajuk Betty la Fea, la historia continua yang merupakan sambungan langsung kepada siri asal selain menampilkan semula pelakon asal, Ana MarĂ­a Orozco dan Jorge Enrique Abello dalam peranan mereka sebagai Betty dan Armando.

     Siri ini ditetapkan 20 tahun selepas peristiwa asal serta emaparkan kehidupan Betty kini sebagai isteri, ibu dan wanita kerjaya yang masih berjuang dengan identiti dirinya. Ia menunjukkan bahawa walaupun sudah berubah dari segi penampilan dan status, Betty masih bergelut dengan dilema dalaman dan rasa tidak yakin terutamanya dalam perkahwinannya dan hubungan dengan anak perempuan mereka.

     Siri reboot ini dijangka menyuntik unsur drama lebih matang, berbeza daripada elemen komedi yang kuat dalam siri asal. Penggambaran dilakukan di Colombia, dan siri ini mula ditayangkan secara eksklusif di Amazon Prime Video mulai Julai 2024.

Catat Ulasan for "FAKTA YO SO BETTY, LA FEA YANG MUNGKIN RAMAI TIDAK TAHU"