KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CARLIE BRUCIA

Pada 1 Februari 2004, sebuah kes penculikan dan pembunuhan kanak-kanak telah berlaku di Amerika Syarikat. Mangsa iaitu seorang pelajar perempuan berusia 11 tahun bernama Carlie Jane Brucia telah diculik secara terang-terangan di sebuah kawasan awam di Sarasota, Florida. Apa yang menjadikan kes ini sangat luar biasa adalah kerana kejadian penculikan itu berjaya dirakam sepenuhnya oleh kamera litar tertutup (CCTV) di mana rakaman tersebut kemudiannya disiarkan secara meluas dalam berita serta digunakan sebagai bahan bukti utama dalam perbicaraan jenayah.
Carlie merupakan seorang pelajar sekolah rendah yang dikenali dalam kalangan rakan-rakan dan keluarganya sebagai anak yang baik, bertanggungjawab dan tidak suka melanggar peraturan. Pada hari kejadian bersamaan dengan hari Ahad, 1 Februari 2004, Carlie sedang berjalan kaki pulang ke rumah selepas melawat rumah kawannya yang terletak tidak jauh dari kediaman keluarganya. Dalam perjalanan pulang, Carlie mengambil jalan pintas melalui sebuah kawasan yang mempunyai tempat mencuci kereta bernama Evie’s Car Wash di Bee Ridge Road.

BbbPada waktu yang hampir sama, seorang lelaki bernama Joseph Peter Smith yang juga merupakan seorang mekanik berusia 37 tahun dilihat berada di kawasan sekitar pusat cuci kereta itu. Berdasarkan rakaman CCTV yang kemudian menjadi bukti penting, Joseph Smith menghampiri Carlie lalu memegang lengannya dan membawa dia pergi dari kawasan rakaman. Kejadian itu berlaku dalam masa yang sangat singkat tetapi cukup jelas untuk membolehkan pihak polis mengenal pasti pelaku dan menerbitkan wajahnya dalam siaran media sebagai orang yang dikehendaki.
Pihak keluarga Carlie mula bimbang apabila Carlie tidak pulang ke rumah seperti kebiasaannya. Kehilangannya dilaporkan kepada pihak berkuasa dalam tempoh kurang satu jam. Operasi pencarian besar-besaran dimulakan serta-merta dengan bantuan sukarelawan, pasukan penyelamat tempatan dan unit anjing pengesan. Rakaman CCTV itu kemudian disiarkan oleh media tempatan dan nasional dalam usaha mendapatkan bantuan orang ramai untuk mengenal pasti identiti penculik. Tidak lama kemudian, beberapa orang awam tampil memberikan maklumat kepada pihak polis sekali gus membawa kepada penahanan Joseph Smith.

Joseph Smith merupakan individu yang mempunyai rekod jenayah lampau termasuk penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga dan beberapa pelanggaran syarat pengawasan jenayah. Pada masa kejadian, Joseph Smith sedang berada dalam tempoh percubaan (probation) akibat salah laku berkaitan dadah. Dia telah beberapa kali melanggar syarat yang ditetapkan oleh mahkamah termasuk gagal hadir ke sesi kaunseling dan ujian dadah, namun tiada tindakan tegas diambil terhadapnya sebelum ini.
Setelah ditahan dan disoal siasat oleh pihak berkuasa, Joseph Smith akhirnya mengaku telah menculik Carlie dan membawa polis ke lokasi mayatnya. Pada 5 Februari 2004, mayat Carlie ditemui di kawasan semak berhampiran Central Church of Christ yakni kira-kira tiga batu dari tempat dia diculik. Ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan separuh berpakaian dengan hanya satu stoking masih di kaki. Hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pakar forensik mengesahkan bahawa Carlie telah dicekik hingga mati dan terdapat bukti serangan seksual. Ujian DNA yang dijalankan terhadap bukti di lokasi kejadian dan tubuh mangsa mengesahkan penglibatan Joseph Smith.

Berikutan itu, Joseph Smith didakwa atas tiga pertuduhan utama iaitu pembunuhan tahap pertama, penculikan kanak-kanak dan serangan seksual terhadap kanak-kanak bawah umur. Perbicaraan bermula pada 7 November 2005 dan berlangsung selama lebih seminggu. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa raya mengemukakan pelbagai bukti termasuk rakaman CCTV penculikan, laporan forensik, bukti DNA serta kenyataan saksi yang menunjukkan bahawa Smith berada di lokasi kejadian dan mengakui perbuatannya.
Pada 17 November 2005, juri mendapati Joseph Smith bersalah atas semua pertuduhan termasuk pembunuhan, penculikan dan serangan seksual terhadap Carlie Brucia. Juri kemudian mencadangkan hukuman mati dengan undian 10–2 dan menurut undang-undang Florida ketika itu, keputusan majoriti seperti ini masih dibenarkan. Pada 15 Mac 2006, hakim menjatuhkan hukuman mati ke atas Smith bagi kesalahan membunuh serta dua hukuman penjara seumur hidup bagi kesalahan lain.

Beberapa tahun kemudian, berlaku perubahan dalam undang-undang berkaitan hukuman mati yang menyatakan bahawa ia hanya sah jika keputusan juri adalah sebulat suara. Disebabkan keputusan dalam kes Smith tidak sebulat suara, hukuman matinya dianggap tidak sah dan perlu dikaji semula. Mahkamah negeri kemudian membatalkan sementara hukuman mati tersebut dan merancang perbicaraan baharu.
Namun pada tahun 2020, undang-undang negeri Florida sekali lagi berubah dan membenarkan hukuman mati dikekalkan walaupun keputusan juri tidak sebulat suara. Proses untuk menetapkan semula hukuman terhadap Joseph Smith pun diteliti. Pada 26 Julai 2021, Joseph Smith dilaporkan meninggal dunia di penjara. Punca kematiannya bagaimanapun tidak diumumkan secara rasmi tetapi beberapa laporan media menyatakan bahawa dia menghidap kanser hati dan sedang menjalani rawatan. Maka dengan kematiannya, perbicaraan semula tidak diteruskan dan kes ini dianggap telah selesai dari sudut undang-undang.
Catat Ulasan for "KISAH PEMBUNUHAN KEJAM CARLIE BRUCIA"