Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

APA SEBENARNYA YANG BERLAKU KEPADA AMANDA BYNES?


     Amanda Laura Bynes merupakan salah seorang pelakon kanak-kanak terkenal di Amerika Syarikat. Dilahirkan pada 3 April 1986 di Thousand Oaks, California, Amanda ialah anak bongsu kepada pasangan Rick Bynes, seorang pakar pergigian dan Lynn Organ, seorang pembantu guru. Sejak usia muda, Amanda menunjukkan kecenderungan luar biasa terhadap dunia seni persembahan. Bakat semula jadin Amands mula bersinar ketika dia baru berumur tujuh tahun dengan muncul dalam iklan televisyen. 

    Nama Amanda mula dikenali menerusi rancangan All That iaitu sebuah program sketsa komedi remaja popular di saluran Nickelodeon. Persembahannya yang lincah dan spontan menjadikan Amanda antara watak paling diingati dalam rancangan tersebut. Kejayaan itu membawa kepada rancangan khasnya sendiri iaitu The Amanda Show yang bersiaran dari tahun 1999 hingga 2002. Rancangan ini mengukuhkan status Amanda sebagai bintang muda yang berbakat dan digemari ramai.


     Menginjak usia remaja, Amanda melangkah ke dunia lakonan arus perdana. Antara filem lakonannya termasuk Big Fat Liar (2002) bersama Frankie Muniz, What a Girl Wants (2003), She’s the Man (2006), Hairspray (2007) dan Easy A (2010). Wajahnya sering menghiasi poster-poster filem remaja dan dia mendapat pengiktirafan melalui pelbagai anugerah termasuk enam Kids' Choice Awards dan satu Critics’ Choice Award. Pada usia muda, Amanda telah disenaraikan oleh Forbes sebagai antara bintang muda paling menjanjikan di Hollywood.

     Namun pada tahun 2010, dalam satu pengumuman yang mengejutkan para peminat, Amanda Bynes mengisytiharkan persaraannya dari dunia lakonan. Melalui akaun Twitternya, Amanda menyatakan bahawa dia tidak lagi menikmati dunia lakonan dan ingin memberi tumpuan kepada kehidupannya sendiri. Pengumuman itu mengundang pelbagai spekulasi dan tidak lama kemudian, tanda-tanda awal kepada masalah yang lebih mendalam mula kelihatan.


    Tahun-tahun selepas pengundurannya menyaksikan transformasi dramatik dalam kehidupan Amanda. Dia terlibat dalam beberapa insiden undang-undang termasuk kes memandu dalam keadaan mabuk dan langgar lari. Amanda juga dilaporkan mengalami perubahan tingkah laku yang pelik seperti membakar sampah di hadapan rumah orang awam hingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.

     Kemerosotan ini dikaitkan dengan penggunaan bahan terlarang seperti Adderall (ubat ADHD yang sering disalahgunakan) serta masalah psikologi serius. Amanda sendiri pernah mengakui mengalami gangguan kesihatan mental termasuk tanda-tanda skizofrenia. Pada tahun 2013, dia dimasukkan ke hospital mental selepas menunjukkan tingkah laku yang tidak stabil. Dalam tempoh itu, ibu bapanya memohon hak konservator yakni kuasa sah untuk mengurus kehidupan dan kewangan Amanda sebagaimana kes Britney Spears. Konservatorship ini berkuatkuasa selama hampir sembilan tahun dari 2013 hingga ia ditamatkan pada Mac 2022.

     Walaupun menghadapi cabaran besar, Amanda tidak menyerah. Dalam tempoh konservator, dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen di Fashion Institute of Design and Merchandising (FIDM) di Los Angeles. Pada tahun 2019, Amanda berjaya menamatkan pengajiannya dalam pembangunan produk fesyen. Dalam satu temu bual bersama majalah Paper pada tahun 2018, Amanda tampil secara terbuka menceritakan kisahnya. Dia mengakui kesilapan lampau termasuk ketagihan dadah dan tindakan pelik di media sosial tetapi menyatakan keinginannya untuk memulakan hidup baharu. Imejnya juga berubah secara drastik daripada gadis ceria Nickelodeon kepada wanita yang lebih tenang dan introspektif.


     Pemulihan bagaimanapun bukanlah satu perjalanan yang lurus. Pada tahun 2023, Amanda sekali lagi menjadi tajuk utama media apabila ditahan di bawah akta psikiatri sebanyak dua kali. Kali pertama berlaku pada bulan Mac apabila dia didapati berkeliaran tanpa pakaian di Los Angeles dan mengalami episod psikosis. Amanda sendiri meminta bantuan dan dibawa ke pusat rawatan mental. Kali kedua berlaku pada bulan Jun. Kali ini dia menghubungi sendiri pihak berkuasa sendiri kerana mengalami tekanan emosi dan berfikir untuk mencederakan diri.

     Dalam perkembangan terkini, Amanda dilaporkan menjalani kehidupan yang lebih tertutup. Dia menetap secara bersendirian kerana masih bergelut dengan isu kesihatan mental tetapi kini lebih terbuka untuk mendapatkan rawatan dan bimbingan. Pada awal tahun 2025, Amanda dilaporkan memulakan saluran audio siar (podcast) bersama rakan lamanya Paul Sieminski dan turut membuka akaun OnlyFans namun tanpa sebarang kandungan eksplisit.

Catat Ulasan for "APA SEBENARNYA YANG BERLAKU KEPADA AMANDA BYNES? "